kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Hudud, Cap Ayam, Polis, Gay dan Ayam-Ayam

Brunei dan hudud

Awang menerima permintaan daripada seorang sahabat agar menyiarkan teks penuh Sultan Brunei berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah di negara tersebut.

Bagi tujuan rekod maka disiarkan teks tersebut, yang sudah tentu juga buat renungan kita bersama. Lebih-lebih lagi ketika isu hudud hangat diperkatakan di negara ini.

Pada 22 Oktober 2013 lalu, beta telah mengumumkan pewartaan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 maka pada hari ini setelah berlangsung enam bulan beta dengan bertawakal kepada Allah SWT serta bersyukur mengisytiharkan bahawa esok hari Khamis 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014 adalah tarikh mulanya berkuat kuasa perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 fasa pertama, yang kemudian diikuti dengan fasa selanjutnya.

Tidak berbangkit sama sekali kita menangguhkan sebagaimana yang dinukilkan oleh media. Kita perlu memahami ungkapan enam bulan selepas akta digazetkan di mana sehingga ke hari ini pun ia masih lagi di dalam lingkungan enam bulan tersebut.

Alhamdulilah dengan ini kita mengulangi sejarah perundangan Islam yang pernah diamalkan beberapa kurun terdahulu di negara ini.

Semua itu adalah berkat keazaman kita untuk menolong agama Allah di bumi bertuah ini, Allah telah berjanji untuk menolong kita jika kita menolong agamanya.

Ini pasti berlaku sebagaimana firmannya dalam surah Muhammad Ayat 7 tafsirnya; "Wahai orang-orang beriman jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah akan menolong dan membela kamu untuk mencapai kemenangan serta menetapkan pendirian kamu dalam membela kebenaran."

Dengan mengembalikan segala pujian kepada Allah maka kewajipan beta dan kewajipan kita semua dihadapan-Nya dalam perkara perundangan sudah pun kita sempurnakan. Tinggal sahaja lagi peranan masing-masing terutama agensi-agensi berkaitan hendaklah melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berhemah.

Ingatlah fokus kita hanyalah kepada Allah jua, untuk mencari redhanya jua semata-mata bukan melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak.

Kita tidak pernah melihat orang lain dengan kaca mata yang buruk kerana itu adalah hak dan pilihan mereka. Kita juga tidak mengharapkan mereka menerima dan mempersetujui kita tetapi memadailah jika mereka menghormati kita sahaja sebagaimana kita juga menghormati mereka.




SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah

Adapun andaian-andaian berupa pelbagai teori adalah perkara lumrah yang tidak pernah berkesudahan, kita tidak boleh berpegang dengan teori yang statusnya tidak lebih daripada teori berbanding dengan apa yang kita pilih adalah tuntutan agama.

Sesungguhnya tuntutan Allah itu bukanlah teori tetapi hukum wajib yang tidak ada keraguan padanya.

Kalau teori mengatakan undang-undang Allah kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri telah menegaskan undang-undangnya itu adil maka di manakah harga teori itu di sini berhadapan dengan wahyu Allah.

Dengan ikhlas kita tegaskan bahawa keputusan untuk melaksanakan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 ini bukanlah untuk suka-suka tetapi adalah atas dasar mematuhi perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran dan al-hadis. Beta amatlah bangga dan sukacita atas pendirian rakyat dan penduduk negara ini yang telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi termasuk daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Lebih-lebih lagi sokongan padu turut diambil oleh ahli-ahli majlis mesyuarat negara di dalam sidangnya yang berlangsung baru-baru ini.

Parti cap ayam

Belum pun hilang daripada ingatan terhadap kekecohan dan pergaduhan di banyak cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) empat tahun lalu, musim pemilihan kali ini juga dilanda pelbagai masalah. Padanlah kepimpinan PKR berkerut dahi setiap kali menjelang pemilihan.

Semalam, pemilihan di Sungai Petani tegang sehingga proses pengundian bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) terpaksa ditangguhkan.

Awang sekadar senyum. Cabang tersebut diketuai oleh Johari Abdul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP). Cabang sendiri pun bermasalah bagaimana mahu memantau cabang lain.

Baru-baru ini, cabang Batang Sadong di Sarawak dan Kemaman, Terengganu turut kecoh dengan pelbagai insiden termasuk dakwaan manipulasi undi ketika bekalan elektrik terputus. Pada pemilihan lalu, insiden yang sama pernah berlaku di cabang tersebut.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), PKR agresif menyebarkan fitnah dan tohmahan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rupa-rupanya parti itu sendiri yang mengamalkan cara kotor. Memalukan.

Seorang pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin mendakwa masalah pemilihan di Batang Sadong adalah angkara puak Azmin Ali dan mahu kelayakan calon Timbalan Presiden itu dibatalkan. Awang jangkakan Azmin dapat pertahankan jawatan, pengaruhnya masih kuat.

Pemilihan di Kemaman, turut tegang yang menyaksikan ketua cabangnya, Rafizi Ramli dilaporkan hampir tewas di tangan pencabarnya, Mohd. Ramlee Hamzah tetapi ‘diselamatkan’ oleh tindakan provokatif dan dakwaan masalah teknikal. Rafizi yang selalu menggambarkan dirinya hebat, kena minta nyawa di cabangnya sendiri.

Setakat ini, jika tidak silap Awang, pemilihan di lapan cabang terpaksa ditangguhkan. Nampaknya reputasi PKR yang tidak tahu mengurus pemilihan parti, masih tebal. Budaya ganas, suka mencetuskan kekecohan dan menipu semasa pemilihan, terus menjadi-jadi.

Awang melihat permasalahan ini berpunca daripada kegagalan kepimpinan Anwar Ibrahim dan isterinya, Wan Azizah Ismail selaku presiden. Inilah akibat memilih pemimpin yang dilingkari masalah moral dan integriti. Lebih-lebih lagi PKR telah dibina atas asas songsang dan ekstrem maka nilainya rendah dan rapuh. Soalan Awang kepada Anwar, bagaimana mahu memimpin negara jika tidak cekap mengurus parti politik.

Begitu hebat beliau melobi di negara Barat untuk mengangkat imejnya tetapi parti pimpinan sendiri bertaraf cap ayam.

Tabik polis

Tidak terlewat bagi Awang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan polis kerana mengendalikan kawalan keselamatan dengan baik sepanjang perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semasa cuti Hari Pekerja, Khamis lepas.

Hasrat penganjur iaitu sebahagian ahli parti pembangkang diketuai oleh Anwar Ibrahim untuk melihat polis terikut rentak mainan provokasi perhimpunan itu, sekali lagi tidak kesampaian. Maka tidak berlaku huru-hara. Tetapi Awang kasihan kerana hampir semua yang menyertai perhimpunan itu ialah orang Melayu. Seperti biasa Melayu mudah makan hasutan dan terpedaya sedangkan kaum lain terutama Cina bijak dalam percaturan politik mereka.

Syabas juga kepada polis atas kejayaan menahan sekumpulan militan di tanah air ini. Ini termasuk pendedahan berpuluh-puluh rakyat Malaysia yang mengangkat senjata untuk mati syahid dalam perang saudara di Syria.

Mengejutkan apabila melihat bekas pemuzik rock, pelajar dan aktivis kemanusiaan Malaysia berjuang bersama tentera pemberontak di negara bergolak itu. Ada yang sampai terbunuh.

Cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu tentang aktiviti militan di negara ini?

Ada desas-desus terdapat ramai lagi suspek termasuk yang sedang dilatih menjadi militan, bergerak secara senyap. Mereka bukan setakat mahu berjihad di Syria malah menjadikan kelompok tertentu di Malaysia terutama yang menghina Islam sebagai sasarannya. Awang berharap dan berdoa agar desas-desus itu tidak benar. Keganasan bukan cara Islam.

Perarakan gay

Tanpa disedari ramai, perhimpunan membantah GST telah dicemari oleh aktivis dan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Setiap kali perhimpunan seperti itu, makin ramai individu LGBT tampil, sama ada yang berani mengaku status sebenar ahupun yang sebaliknya.

Ketua Delegasi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin melihat hal tersebut dengan menjangkakan suatu hari nanti akan berlangsungnya perarakan gay di Malaysia.

Awang sependapat. Sememangnya aktivis LGBT kini memperhebatkan usaha menuntut banyak perkara termasuk berarak sebagaimana di banyak negara Barat.

Bayangkan nanti perarakan bogel dan sesama jantina bercium dalam perarakan depan Dataran Merdeka?

Apa sudah jadi?

Jalan Gelang, Pudu di ibu negara suatu ketika dahulu kelihatan tenteram dan ‘bersih’. Yang menghairankan Awang, ia sudah menjadi kawasan hitam dengan aktiviti pelacuran.

Sekumpulan aktivis sosial memberikan maklumat tersebut, yang disifatkan mereka sebagai menakutkan. Mereka mendakwa, pada malam-malam tertentu terutama hujung minggu, hampir 400 pelacur kebanyakannya warga China dan Vietnam berlegar mencari pelanggan di kawasan tersebut dan sekitarnya.

Awang terganggu apabila diberitahu sebahagian pelanggan adalah remaja termasuk pelajar sekolah. Aktivis tersebut menunjukkan gambar dalam simpanan mereka, sebagai bahan bukti.

Awang geleng kepala sambil meronta pertanyaan apa sudah jadi dengan pihak berkuasa kita?


Utusan Rencana 20140504
Tags: polis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments