kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rakyat Malaysia kurang minat bahan ilmiah

Kebimbangan mengenai kurangnya minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini sudah disuarakan sejak sekian lama. Malangnya, kebimbangan ini berterusan meskipun pelbagai usaha dan kempen dijalankan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Semua faham bahawa membaca menjadikan mereka orang berilmu, yakin diri, kreatif dan tidak kekok berbual dengan sesiapa saja. Program yang dianjurkan untuk murid sekolah rendah hinggalah majlis penerangan kepada ibu bapa diadakan dari semasa ke semasa untuk tujuan itu.


Setiap tahun pelbagai pameran dan pesta buku diadakan di seluruh negara untuk merapatkan masyarakat dengan buku. Pada masa ini pun berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sambutan orang ramai juga menggalakkan.

Di Malaysia, usaha meningkatkan kadar minat membaca dalam kalangan rakyat sangat mendesak. Sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia tidak selesa jika tahap kadar membaca kalangan rakyat masih tidak berganjak sejak sekian lama.

Berbanding dengan tahap minat membaca rakyat di negara lain seperti di negara Barat, Jepun, Korea dan China, Malaysia masih ketinggalan.

Pelbagai alasan diberikan sebagai punca rakyat negara ini tidak minat membaca. Ada yang mendakwa anak tidak digalakkan berdamping dengan buku sejak kecil. Ibu bapa juga dikatakan tidak memberi perhatian serius untuk membimbing anak mereka supaya menjadikan buku sebagai kawan karib.

Galak anak membaca

Ibu bapa hanya membebel bila anak mereka tidak belajar pelajaran sekolah. Bila anak membaca bahan bacaan lain selain buku teks sekolah, mereka dianggap membazirkan masa. Keadaan ini berlaku walaupun mereka tahu apa juga bahan bacaan adalah ilmu.

Bagi membuktikan komitmen kerajaan, perkara berhubung minat membaca ini dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan melihat isu ini dari pelbagai sudut. Ini termasuk membaca dari perspektif Islam, kepekaan masyarakat negara Barat terhadap buku, tradisi Timur dan tamadun dunia.

Malangnya, walaupun begitu banyak penegasan mengenai galakan minat membaca dalam kalangan masyarakat, ia belum berkesan. Mungkin sudah sampai masanya menilai semula punca sebahagian besar rakyat negara ini tidak gemar membaca.

Pemerhatian di PBAKL 2014, menunjukkan ramai anak-anak membeli buku di gerai buku yang disediakan. Ada yang datang bersama ibu bapa, rakan dan guru. Kebanyakan mereka membeli buku yang nipis daripada pelbagai tajuk sama ada agama, sains dan teknologi, komputer, cerita pendek, buku ulang kaji dan sebagainya.

Di sudut dan rak yang lain pula, kelihatan buku yang tebal tidak kurang daripada 200 atau 300 halaman dan ke atas. Sudah tentu bilangan mereka yang berkunjung di bahagian ini agak berkurangan. Ia hanya dikunjungi oleh profesional, pensyarah dan pelajar.


Tak berani belek buku tebal

Walaupun tidak sepatutnya berlaku, kebanyakan rakyat biasa, tidak berani membelek buku yang tebal. Pada fikiran mereka, harga buku seperti itu tentulah mahal. Mereka juga tidak yakin akan dapat membaca buku tebal itu sampai habis. Pada peringkat awalnya, mereka ghairah membaca tetapi separuh jalan, ia ditinggalkan.

Bagi sesetengah orang, mereka tidak berminat membaca novel terlalu tebal kerana ia mengambil masa panjang untuk menghabiskannya. Ketebalan sesebuah buku khasnya buku fiksyen, tidak semestinya menggambarkan mutu. Yang pasti, lebih tebal sesebuah buku itu, harganya lebih mahal. Untuk mendapatkan ketebalan sesebuah buku, penulis terpaksa memerah otak untuk memanjangkan cerita dalam novelnya. Ini bermakna jalan cerita novel direka-reka supaya ia menjadi tebal.

Novel Ombak Rindu, umpamanya, apabila difilemkan, berakhir dalam tempoh sejam setengah saja, tetapi jika membaca novel itu, mengambil masa beberapa hari, minggu atau bulan dan tidak kurang juga yang tidak menghabiskannya.

Membaca kandungan novel dan jalan cerita berbelit-belit hanya menjadikan buku itu seperti filem Hindustan. Adakalanya ia dilakukan secara berlebihan hingga hilang logiknya. Tetapi, disebabkan panjang filem itu sudah ditetapkan, pengarah terpaksa mencari jalan memanjangkan cerita itu.

Begitu juga dengan buku, ada buku yang tidak perlu tebal kerana sebahagian besar kandungannya adalah maklumat yang tidak perlu. Ada buku yang prakata saja menggunakan halaman yang banyak sedangkan tidak ramai yang membaca prakata seperti itu.

Pengecualian mungkin boleh diberikan kepada buku akademik dalam pelbagai bidang, sejarah, biografi dan sebagainya yang kandungannya tidak boleh diubah sesuka hati. Tetapi, jika buku akademik ini boleh dipermudahkan, ia mungkin boleh menarik minat lebih ramai orang membacanya.

Hari ini orang ramai tidak mempunyai masa untuk membaca bahan-bahan yang meleret-leret. Mereka lebih suka kepada fakta.

Apa yang penting maklumat yang disampaikan mestilah jelas. Itulah sebabnya mereka lebih suka membaca majalah ringan daripada membaca buku tebal dengan tajuk yang berat.

Bahan daripada majalah lebih pendek berbanding buku. Mereka mempunyai pilihan untuk membaca di dunia maya. Kanak-kanak minat kepada buku sewaktu mereka kecil terutama buku bergambar dan berwarna warni. Tetapi, apabila besar, mereka dapati buku tidak lagi menjadi bahan yang menarik perhatian mereka.

Tujuan buku ditulis ialah untuk menggalakkan orang ramai membeli dan membacanya. Tetapi, jika buku terlalu tebal, ia mungkin lebih sesuai untuk diletakkan pada rak almari di rumah sebagai bahan perhiasan.

Berita Harian Rencana Kolumnis 2014/05/04 - 17:22:44 PM Mior Kamarul Shahid
Tags: baca, buku
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments