kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pembetulan atau penambahbaikan Akta Perhimpunan Awam

SEMBANG dalam ruang siber dalam ka­langan pengamal undang-undang (termasuk sembang santai antara rakan facebook saya) menunjukkan ramai yang bertanya apakah keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini merupakan satu death blow (pukulan maut) untuk Akta Perhimpunan Awam 2012 (Akta 736)?


Dalam keputusan yang dibuat pada 25 April itu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan bahawa seksyen 9(5) Akta 736 itu, yang mengenakan hukuman denda maksimum RM10,000 sekiranya notis 10 hari tidak diberi penganjur kepada pihak polis sebelum satu perhimpunan awam diadakan, adalah menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah tidak sah dan batal.

Mahkamah menyatakan bahawa pe­runtukan itu merupakan satu sekatan yang tidak munasabah Kewajipan penganjur memberi notis 10 hari kepada “Pegawai yang menjaga Daerah Polis" ada disebutkan secara jelas dalam seksyen 9(1). Kegagalan memberi notis itulah menjadi kesalahan di bawah seksyen 9(5), dan jika sabit kesa­lahan boleh dikenakan denda RM10,000.

Keputusan mengejut itu dibuat oleh tiga hakim yang menganggotai panel hakim, tetapi setiap seorang mereka membuat penghakimannya sendiri.

Lazimnya penghakiman sebulat suara dibuat oleh ketiga-tiga hakim dalam satu penghakiman yang sama. Kadangkala ada penghakiman yang dibuat oleh majoriti (dua hakim), manakala hakim ketiga membuat penghakiman menentang (dissenting judgment) sekiranya dia tidak setuju de­ngan keputusan majoriti.

Situasi tiga hakim menulis tiga penghakiman berasingan jarang berlaku, tetapi ia bukan satu keluarbiasaan. Mengikut Datuk Mohamad Arif Md. Yusof, kes ini melibatkan satu isu perlembagaan yang penting, justeru perlu bagi semua ketiga-tiga hakim membuat penghakimannya sendiri.

Mengikut Arif, seksyen 9(1) Akta itu adalah sah di sisi Perlembagaan. Jelasnya lagi, bukan tugas atau peranan mahkamah memberi pandangannya mengenai panjang pendek tempoh notis yang wajar diberi.

Bagaimanapun, seksyen 9(5) yang me­ngenakan hukuman denda maksimum itu menimbulkan sedikit masalah konseptual. Hakim itu selanjutnya menegaskan pihak penganjur perhimpunan awam mesti memberi notis 10 hari itu, tetapi hukuman denda berkenaan “tidak boleh dikuatkuasakan".

Hakim itu menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam akta itu yang menyatakan satu perhimpunan aman boleh bertukar sifat menjadi tidak sah (perhimpunan haram) sekiranya notis yang disebutkan itu tidak diberi kepada pihak berkenaan.

Hakim Datuk Mah Weng Kwai pula berkata bahawa keperluan penganjur memberi notis 10 hari di bawah seksyen 9(1) itu adalah “tidak sepadan" (disproportionate). Tambahan pula, perhimpunan berkenaan telah berjalan secara aman dan tidak mendatangkan apa-apa mudarat.

Oleh demikian, adalah “tidak konsisten" untuk penganjur dihukum di bawah sek­syen 9(5) itu. Hakim itu menyatakan bahawa keperluan penganjur memberi notis 10 hari di bawah seksyen 9(1) telah menjadikan kebebasan me­ngadakan perhimpunan “secara spontan dan segera" tidak bermakna langsung.

Weng Kwai juga menyatakan bahawa perhimpunan berkenaan bukan satu “perarakan jalanan" dan tidak menggugat aktiviti harian serta tidak menyebabkan apa-apa kesesakan lalu lintas. Apa pun, kepen­tingan mereka yang berhimpun secara aman itu sewajarnya me­ngatasi kepentingan pengguna kenderaan.

Perhimpunan aman yang dimaksudkan oleh panel hakim itu adalah perhimpunan Blackout 505 yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya pada kira-kira jam 8.30 malam, 8 Mei 2013 lalu.

Hakim ketiga, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer, menyatakan bahawa hak berhimpun dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, dan hak ini tidak boleh di­sekat dengan pertuduhan jenayah sekiranya perhimpunan itu aman.

“Mahkamah diberi kuasa mengisytiharkan apa-apa undang-undang sebagai tidak sah dan batal sekiranya ia berten­tangan dengan Perlembagaan Persekutuan", tegasnya lagi.

Sambil menyatakan dia sependapat de­ngan Hakim Mohamad Arif bahawa Akta 736 itu tidak mengandungi apa-apa peruntukan menghukum (penal sanctions) sekiranya sesuatu perhimpunan itu berjalan de­ngan aman, Hakim Hamid menegaskan bahawa undang-undang negara ini mestilah konsisten dengan undang-undang antarabangsa yang Malaysia ada menjadi signatori kepadanya.

Kesimpulannya, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa rayuan perayu (Nik Nazmi) untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam diluluskan. Dalam keputusan terdahulu itu (pada 1 November 2013), Mahkamah Tinggi menolak permohonan Nik Nazmi untuk membatalkan pertuduhan yang dibuat oleh Pendakwa Raya terhadapnya.

Pendek kata, di bawah keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April ini, Nik Nazmi (perayu) berjaya membatalkan pertuduhan yang dibuat ke atasnya.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April ini sudah pun memberi tempias kepada kes-kes lain di mana ada pihak dituduh di bawah peruntukan yang sama. Misalnya, terbaru pada 28 April lalu, tiga ahli Solida­riti Anak Muda Malaysia (SAMM) dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur. Mereka bertiga, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian dan Edy Nor ­Reduan, dituduh menganjurkan “perhim­punan Turun" pada malam tahun baru lalu.

Saya ditanya oleh seorang peguam muda apakah faedahnya kita ada undang-undang jika kita tiada kuasa mengenakan hukuman atau penalti (sanction or penalty) bila undang-undang itu diingkari, tidak dipedulikan atau sengaja dilanggar? Tidakkah suatu undang-undang yang tidak boleh diperuntukkan sanction atau penalti itu serupa umpama tidak ada undang-undang langsung?

Saya jawab ini sudah menjadi satu isu jurisprudence, dan saya bukan orang yang mampu memberi jawapan yang terbaik.

Pihak yang terlibat dalam penggubalan akta ini wajar memberi perhatian segera perkara ini, ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang pasti mengejutkan banyak pihak, termasuklah pihak polis.

Andainya perkara ini dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan “pembetulan atau penambahbaikan", saya tidak terkejut jika orang terus menganggap keputusan Mahkamah Rayuan ini benar-benar merupakan satu death blow kepada akta berkenaan.

Tidak mustahil ia akan menggalakkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menganjurkan perhimpunan haram, termasuk “perarakan jalanan".

Salleh Buang ialah Penganalisis undang-undang Utusan Rencana 20140505

Tags: akta, undang-undang
Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments