kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengimpikan kehidupan tanpa pagar besi dan jeriji

MEMBACA dan menonton berita kadang-kala membuatkan kita merasa seolah-olah sudah tidak selamat lagi.


Ada sahaja kes jenayah yang dilaporkan.

Bahkan yang tidak dilaporkan pun sampai juga ke telinga kita.

Dua minggu lepas, rumah jiran selang dua pintu dimasuki pencuri. Komputer riba, jam dan barang kemas lesap disapunya. Ketika itu, tuan rumah keluar bekerja.

Jumaat minggu lalu, kakak sebelah rumah menjadi mangsa ragut di dalam kawasan rumahnya sendiri. Dia yang sedang menyiram bunga (selepas catuan berakhir kira-kira pukul 11.30 pagi) hanya mampu menjerit meminta tolong sambil menyimbah air ke arah peragut.

Peragut yang tersentak dengan jeritan itu cuba melarikan diri namun sanggup berpatah balik dan `menunaikan hajat’ meragut gelang tangan kakak jiran sebelah setelah mendapati tidak ada siapa yang datang membantu.

Maklumlah hari Jumaat, orang lelaki ke masjid.

Kakak mangsa ragut tidak dapat berbuat apa-apa. Peragut datang berkumpulan dengan dua buah motosikal. Masing-masing penunggang dan pembonceng ialah lelaki muda yang sasa.

Baru dua hari lepas jiran belakang rumah pula yang kena. Lelaki dengan muka separuh bertutup datang mengacu pisau ketika dia mengangkat baju di ampaian.

Beberapa kejadian jenayah ragut, curi dan pecah rumah yang berlaku di sekitar kejiranan kadang-kala membuatkan kita tidak lagi merasa selamat tinggal di rumah.

Tidak tahu di mana silapnya.

Benarkah pihak polis tidak lagi memfokus kepada masalah jenayah seperti yang didakwa The Malaysian Insider dalam laporan portal propembangkang itu pada 21 Februari lalu?

Atau mungkinkah kadar jenayah sudah terlalu tinggi sehinggakan pihak polis tidak menang tangan untuk membendungnya?

Namun jika benar, apakah puncanya?

Adakah ekoran ketegasan Kementerian Dalam Negeri menjalankan operasi ‘menghalau’ pendatang asing tanpa izin (PATI) yang selama ini banyak terlibat jenayah, menyebabkan timbul pula kumpulan penjenayah dalam kalangan orang tempatan.

Adakah gara-gara pembangunan bercampur yang tidak lagi menjaga identiti bandar raya elit ini, menjadi puncanya?

Atau budaya tidak menghormati undang-undang dan penguat kuasa undang-undang yang semakin menular, sebagai penyebabnya?

Bukan lagi rahsia, semacam ada kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak termasuk pembangkang meremehkan tugas polis dan memperlekehkan undang-undang sehingga timbul tanggapan seolah-olah mereka menyetujui budaya antipolis dan antipenguat kuasa.

Atau mungkinkah ketaksuban terhadap filem-filem barat yang mendewakan perompak, penyamun atau nama lainnya penjenayah seperti Ocean Eleven, The Italian Job dan Too Fast Too Furious - menjadi penyumbang peningkatan penjenayah?

Penulis tidak ada jawapan untuk soalan-soalan di atas.

Namun penulis tertarik dengan saranan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa rakyat Malaysia terutama golongan muda perlu mewujudkan budaya antijenayah dengan menghormati undang-undang serta menjadikan aspek keselamatan sebagai cara hidup.

Dengan kata lain, beliau membayangkan bahawa tiadanya budaya antijenayah terutama dalam kalangan orang muda menjadi punca jenayah keganasan semakin menular dalam masyarakat sekarang.

Jika benarlah apa yang beliau bayangkan itu, keadaan ini amat membimbangkan dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk menanganinya.

Menuding jari kepada pihak polis bukan penyelesaian dan tidak akan menyelesaikan masalah pun.

Cabaran jenayah terkini dengan ancaman militan dan keganasan di samping kecanggihan penjenayah siber membuatkan tugas polis menjadi semakin rencam dan mencabar.

Mungkin benar saranan Lam Thye yang memang pakar dalam isu ini, bahawa asasnya adalah dengan mewujudkan budaya antijenayah dalam kalangan kita, dalam komuniti dan dalam keluarga kita sendiri.

Berapa banyak anggota polis pun, berapa kerap operasi dan serbuan pun, tidak mampu menghapuskan jenayah jika masyarakat `memberi muka’ kepada pelaku dan pesalahnya.

Hanya dengan menyemai budaya antijenayah, kita mampu menjadi mata dan telinga kepada keadaan yang berlaku di sekeliling dan kejiranan kita, bagi memastikan keselamatannya.

Namun penulis akui menuturkan tidak semudah melakukan. Ia memerlukan iltizam dan yang penting, sokongan daripada pihak berkuasa untuk menjayakannya.

Mungkin sudah tiba masanya kempen antijenayah besar-besaran digerakkan dengan penglibatan semua pihak - baik agensi kerajaan, swasta, pemimpin politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, pusat pengajian tinggi, sekolah dan apa jua organisasi.

Hanya apabila masyarakat daripada pelbagai lapisan menolak dan membenci jenayah, kita dapat menikmati kehidupan dengan rasa selamat tanpa perlu memenjara diri dengan pagar dan jeriji. Coretan Marhaen Utusan Rencana 20140506

Tags: jenayah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments