kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Membentuk modal insan bermula dari sekolah

PEMBANGUNAN modal insan bermula dari rumah dan alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing sama ada di peringkat sekolah, para ibu bapa serta pihak-pihak lain yang berkepentingan.


Negara kita sedang menghadapi pelbagai gejala dan masalah sosial seperti keruntuhan akhlak, ancaman dadah yang serius, salah laku juvana dan jenayah serta keganasan terhadap kanak-kanak, pembuangan bayi dan lain-lain.

Semua ini adalah petanda penurunan nilai-nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mendokong nilai budaya murni yang tinggi.

Apabila sekolah dibelenggu kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai nilai-nilai murni dan kemanusiaan.

Kita perlu mendidik dan melatih anak-anak kita dan memastikan supaya mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat persefahaman dan kesederhanaan, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya.

Sejak kebelakangan ini, masyarakat di seluruh negara telah didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.

Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid-murid lain, memeras ugut wang malah ada yang berani hingga mengancam para guru dan lain-lain.

Penglibatan murid sekolah dalam kegiatan salah laku, disiplin dan jenayah merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pihak pengurusan sekolah.

Gejala tersebut boleh memberikan impak yang negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan secara berkesan di peringkat awal.

Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran yang kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka.

Menurut statistik jenayah Polis Bukit Aman pada 2013 jumlah pelajar yang terlibat dalam jenayah adalah sebanyak 1,632 atau 1.10 % daripada jumlah indeks jenayah yang dicatatkan di seluruh Malaysia.

Seramai 1,855 pelajar juga ditangkap untuk pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu, mereka yang berumur 16 hingga 18 tahun adalah yang paling ramai ditangkap iaitu 1,009 orang dengan 819 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun.

Bagi kategori bukan pelajar pula sebanyak 6,184 kes atau 4.2% jumlah indeks jenayah dicatatkan pada tahun 2013. Seramai 6,455 bukan pelajar ditangkap dengan 5,073 daripadanya berumur di antara 16 hingga 18 tahun manakala 1,364 lagi yang berumur 13 hingga 15 tahun.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, sebanyak 2,553 kes jenayah kekerasan iaitu melibatkan 542 pelajar dan 2,011 bukan pelajar. Kebanyakan jenayah kekerasan yang dilakukan adalah jenayah rogol, bunuh dan samun berkawan tanpa senjata api.

Sementara itu, bagi jenayah harta benda dalam tempoh kajian yang sama, sebanyak 1,090 kes melibatkan pelajar dan 4,173 kes melibatkan bukan pelajar yang majoritinya terlibat dalam jenayah curi motosikal dan kecurian lain.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemunculan gejala negatif semakin serius melanda golongan pelajar iaitu:-

* Keruntuhan institusi kekeluargaan dalam memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

* Kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat arus pembangunan negara dan era ICT.

* Masalah tekanan ekonomi dan sosiobudaya yang mengakibatkan krisis di dalam keluarga sehingga mempengaruhi remaja sekolah,

* Pengaruh negatif rakan sebaya.

Memandangkan kes-kes salah laku dan kadar jenayah di kalangan remaja masa kini meningkat, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah difikirkan perlu bagi memberi kesedaran pencegahan jenayah di peringkat awal.

Kelab Pencegahan Jenayah mampu melahirkan ahli yang kreatif dan inovatif, mempunyai ketahanan diri, berani bersaing, prihatin terhadap bidang yang diceburi, mempunyai wawasan dalam bidang kokurikulum dan juga sahsiah, serta menggembleng kreativiti diri secara global demi memartabatkan nama kelab dan sekolah.

*Lee Lam Thye ialah Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Utusan/Rencana/20140508

Tags: sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments