kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pak Cik Jamal insan kecil berjiwa besar

BELIAU seorang insan yang berjiwa besar walaupun fizikalnya kecil. Kental sema­ngatnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak. Beliau berjaya mempengaruhi pemikiran sebahagian besar rakyat menerusi program berunsurkan pendidikan suatu ketika dahulu.

Sedari awal menjejak kaki ke dunia seni, Allahyarham Jamal Muhamad atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Jamal ialah legenda dalam dunia penyiaran yang tidak harus dilupakan.

Kehebatan, semangat dan kerja keras beliau yang sinonim dengan rancangan kanak-kanak di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mini Parlimen perlu diabadikan pemikir pada hari ini.

Perjuangannya kekal dengan matlamat utama mahu mencipta sebuah rancangan televisyen bermaklumat bagi membina sikap positif kanak-kanak.


Kenangan terakhir Pak Cik Jamal bersama peserta program Mini Parlimen terbitan RTM dari
sekitar 1970-an yang kini telah dewasa, baru-baru ini.

Ya. Itulah yang diakui. Tanggungjawab mengasuh kanak-kanak menjadi seorang yang berkarisma bukanlah mudah. Apa lagi melatih mereka untuk bertutur dengan fasih menggunakan bahasa yang baik. Semua itu memerlukan kesabaran. Jamal punya sikap itu.

Dalam rancangan tersebut beliau berjaya membawa peranan sebagai Speaker. Allahyarham melakukan tugas dengan baik, memberikan seluruh jiwa dan raga.

Kelmarin, sekitar pukul 11 pagi, Pak Cik Jamal kembali menghadap Pencipta pada usia 75 tahun.

Menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Put­rajaya, Allahyarham telah menderita selama 14 tahun akibat penyakit ankylosing spondylitis. Disebabkan itu tulang belakangnya membengkok hingga mengganggu paru-paru, lantas menyukarkannya untuk bernafas.

Rancangan Mini Parlimen, yang cukup sinonim dengan beliau merupakan paparan aksi kanak-kanak dalam sidang Parlimen yang diilhamkan oleh isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Rancangan yang mula bersiaran pada 1983 itu menjadi tumpuan disebabkan telatah kanak-kanak yang berlagak seperti ahli Parlimen membahaskan isu semasa di samping membuat keputusan dan meluluskan pelbagai dasar.

Majoriti kanak-kanak Malaysia sekitar 1970-an hingga 90-an memang mengenali Allahyarham selaku pengacara rancangan terbitan RTM Taman Kanak-kanak.

Selain itu, Allahyarham menjadi penerbit rancangan Pesta Pop dan Pentas Aneka. Dalam bidang penyiaran, beliau mula bertugas di RTM pada 1960 dan bersara pada 1995 selepas mencurahkan bakti hampir 30 tahun.

Selepas meninggalkan dunia penyiaran, Jamal bersama keluarga menetap di Dengkil, Selangor.

Impian tidak kesampaian

Anak Allahyarham, Shahila, 47, agak terkilan kerana impian bapanya untuk membuka sebuah inap desa (homestay) bagi mengumpul semula peserta yang terlibat dengan program Mini Parlimen, tidak kesampaian.

"Arwah ayah memang seorang yang sangat mementingkan ikatan silaturahim dengan sesiapa sahaja. Sejak akhir-akhir ini, arwah sering bercakap tentang pe­rancangannya membuka homestay Kelab Mini Parlimen memandangkan ayah mempunyai sebidang tanah di Dengkil (Selangor).

"Malah arwah berpesan kepada saya agar tidak lupa menjemput semua orang yang terlibat dengan program itu serta para media jika homestay itu siap dibuka nanti. Tapi apakan daya... hajat arwah tidak kesampaian," katanya.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Dengkil sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kawasan itu selepas solat Asar.

Allahyarham Jamal meninggalkan seorang isteri Zainab Serat, 67, tiga orang anak iaitu Shahila, Muhammad Shahan, 45, Muhammad Eskandar, 30, serta sembilan orang cucu.

Bagi mengimbas semula populariti rancangan berkenaan, RTM menerbitkan semula program itu yang dikenali sebagai Mini Parlimen 2014. Ia bersiaran sebanyak 13 episod bermula 8 Mac lalu dan dihoskan oleh pelawak Azrul Zaidi.

Sesungguhnya Pak Cik Jamal ialah pelopor rancangan kanak-kanak yang terus berjuang sehingga ke hujung nyawanya.

Tidak pernah sekalipun beliau meng­alah atas kekurangan diri.

Bersemadilah dikau dalam penuh ketenangan. Kami akan terus mengenang dirimu sebagai seorang insan yang sentiasa hadir menghadiahkan senyuman melalui bakat senimu yang akan terus lestari sepanjang zaman. Al-Fatihah. GARRET DAWUM garret.dawum@utusan.com.my     Utusan/Rencana/20140509

Tags: rtm, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments