Mao menganggap ucapan Khrushchev bukan sahaja tidak berpatutan, malah menuduh pemimpin Soviet itu menempelak dirinya (Mao) menerusi ucapan itu sebab beliau adalah penyokong kuat Stalin. Ini kerana, pada pertengahan tahun 1950-an, Mao di ambang memulakan dasar The Great Leap Forward' (Melompat Ke Depan Dengan Hebat) dalam bidang pertanian dan perindustrian sebagai mengikuti jejak Stalin dengan matlamat untuk mendapat pulangan tinggi dalam sekelip mata. Hasrat Mao ditentang sebilangan pemimpin kanan PKC tetapi anehnya, Mao tidak menghiraukannya walaupun beliau tahu dasar Stalin telah menemui kegagalan. Pergeseran-pergeseran sebeginilah yang menyebabkan pucuk pimpinan PKC berpecah dua kepada kumpulan yang menyokong dan kumpulan yang menentang kepimpinan Mao Tse-tung.
Sebelum saya menyentuh lebih luas dasar Great Leap Forward' Mao dan kesan-kesan buruknya terhadap kehidupan rakyat China dan perihal perpecahan pucuk kepimpinan PKC gara-gara politiking Mao Tse-tung, saya rasa sesuai jika saya menceritakan lebih lanjut kisah kehidupan masyarakat Soviet semasa dasar collectivisation secara paksaan yang dilaksanakan di zaman Stalin. Anda kelak akan dapat membandingkannya dengan dasar sama yang dilaksanakan oleh Mao Tse-tung di China pada tahun 1958 hingga 1962.
Dasar collectivisation di negara Soviet bermula dari tahun 1928 hingga 1940, kira-kira dua puluh tahun sebelum Mao Tse-tung dan PKC memerintah China. Tujuan utama collectivi-sation adalah untuk menyatukan semua tanah pertanian milik persendirian dan semua petani yang mengerjakan tanah tersebut ke dalam satu sistem yang dinamakan collective farm (perladangan milik bersama).
Ada tiga jenis collective farm di Soviet pada dasarnya. Yang pertama ialah jenis Tsoz di mana petani memiliki tanah mereka tetapi berkongsi menggunakan jentera pertanian dan bekerjasama dalam kerja-kerja menabur benih dan menuai. Jenis ini banyak wujud sebelum tahun 1930 dan dihapuskan selepas collectivisation. Kedua, jenis Sovkhoz yang dimiliki dan diusahakan oleh kerajaan. Petani yang bekerja dengan Sovkhoz dibayar gaji seperti mereka yang bekerja di kilang. Ketiga, jenis Kolkhoz di mana tanah-tanah milik persendirian disatukan menjadi milik bersama dan diuruskan oleh jawatankuasa yang dipilih oleh peserta.
Jenis Kolkhoz menjadi pilihan Stalin untuk collectivisation. Bagi sebuah Kolkhoz, perlu disatukan antara 50 hingga 100 pemilik tanah. Bukan sahaja penyatuan tanah, malah alat-alat pertanian dan haiwan ternakan diletakkan di bawah pengurusan jawatankuasa yang dilantik itu. Menjelang akhir tahun 1930-an, Stalin telah memaksa collectivisation ke atas semua tanah pertanian Soviet jenis Kolkhoz. Stalin begitu yakin collectivisation sebagai ganti amalan pertanian berasaskan pemilikan tanah perseorangan, boleh memberi pulangan pertanian lebih tinggi dan cepat untuk dibekalkan kepada penduduk bandar selain memenuhi keperluan bahan mentah untuk diproses oleh kilang-kilang dan untuk memenuhi permintaan luar negeri.
Collectivisation secara paksaan, sebetulnya, adalah bertentangan dengan dasar V.I. Lenin sendiri sebagai pengasas negara Soviet. Menurut Lenin: Adalah sangat tidak munasabah jika kita mengubah ladang-ladang mereka (petani Soviet) secara mendadak dengan mengeluarkan sesuatu perintah atau mengenakan tekanan ke atas mereka. Kita perlu sedar, kita hanya boleh mempengaruhi berjuta-juta petani secara beransur-ansur dan menerusi contoh-contoh kita yang praktikal." Lenin menamakan pendekatan ini
Penentang
Prinsip Penyertaan Sukarela oleh Petani" dalam laporannya kepada Kongres Parti Komunis Kesatuan Soviet pada tahun 1919 yang berjudul Laporan Kerja di Daerah-Daerah".
Penentang utama dasar collectivisation Stalin ialah Nikolai Bukharin, salah seorang anggota Politburo PKKS. Beliau dibantu oleh beberapa anggota lain dari puak kanan kepimpinan PKKS. Mereka bimbang collectivisation boleh membangkitkan bantahan-bantahan ganas dalam kalangan petani dan situasi ini boleh menjejaskan pengeluaran pertanian. Malah, Bukharin meramalkan, jika Stalin meneruskan collectivisation secara paksaan, kesannya terhadap keutuhan negara Soviet akan berpanjangan dan akhirnya boleh mengakibatkan perpecahan negara itu. Bukharin ialah sahabat karib Lenin semasa Revolusi Bolshevik yang sangat tersohor serta berbeza dengan Stalin dari segi kecerdasan dan kefahaman teori Marxisme. Beliau merupakan seorang intelektual yang sangat petah (eloquent), dianggap paling tajam akal dalam kalangan pakar-pakar teori Marxisme Bolshevik yang seangkatan dengannya. Malah, beliau mengatasi keunggulan Leon Trotsky dari segi kepetahan berhujah berlandaskan ideologi Marxisme. Bukharin dikatakan banyak mempengaruhi Lenin semasa memerintah negara Soviet. Draf laporan berjudul Laporan Kerja di Daerah-Daerah" oleh Lenin itu dikatakan telah disediakan oleh Bukharin.
Namun, bukan saja pendapat Bukharin tidak diendahkan oleh Stalin, beliau telah dikenakan show trial (perbicaraan palsu) oleh Stalin pada Mac 1938 atas tuduhan kononnya telah bersubahat untuk memecahbelahkan negara Kesatuan Soviet dan berniat menghidupkan semula dasar kapitalis. Beliau telah dipaksa mengaku bersalah dan ditembak mati sebaik sahaja selesai perbicaraan itu.
Pembunuhan Bukharin pada tahun 1938 itu berlaku pada saat kemuncak keganasan Stalin menerusi tindakan The Great Purges. Dalam hal ini, setakat penghujung tahun 1930-an, sebilangan besar pemimpin Revolusi Bolshevik yang berjuang bersama-sama Lenin pada tahun 1916 hingga 1917 telah dibunuh oleh Stalin. Pembunuhan Bukharin kerana pendiriannya menentang collectivisation secara paksaan adalah semacam pelengkap langkah Stalin menangkap dan membunuh lebih daripada 800,000 warga Soviet sepanjang tahun 1936 hingga 1938 dengan mengenakan tuduhan-tuduhan melulu terhadap mangsanya seperti menjadi musuh kepada negara.
Apakah rumusan yang boleh dibuat terhadap dasar collectivisation Soviet? Tentulah collective farm' adalah cara Stalin menyelesaikan masalah-masalah pertanian Soviet. Bagi Stalin, beliau mahu mengubah dengan cepat status petani Soviet supaya menjadi seperti agroworkers, tidak lagi bersifat individualistik yang mengejar kemewahan menerusi cara kapitalis. Stalin mahu petani Soviet diselia lebih rapi supaya bidang pertanian Soviet memberi hasil mencukupi bagi penduduk bandar. Ini kerana pemerintah Soviet pada masa itu sedang giat mewujudkan kawasan-kawasan perindustrian untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Malangnya, Stalin telah menggunakan kekerasan, keganasan dan dakyah secara menyeluruh untuk menegakkan sistem collectivisation dengan kelajuan (speed) yang sangat kencang. Berbagai bentuk kekejaman telah dilakukan terhadap petani yang menentang atau yang culas mengikuti sistem collectivisation. Contohnya, tangkapan besar-besaran, pembunuhan beramai-ramai dan deportasi beratus-ratus ribu petani ke wilayah-wilayah terpencil.
Kesan dasar collectivisation'terhadap bidang pertanian di Soviet adalah sangat buruk. Hasil gandum, misalnya, jatuh menjunam, berkesudahan dengan berlakunya bencana kebuluran sepanjang tahun 1932 hingga 1934. Kesan buruk ini tidak reda sampai pertengahan tahun 1950-an apabila kegiatan pertanian di Soviet mula menunjukkan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Tetapi, ini hanya berlaku selepas kematian Stalin pada tahun 1953.
Nikita Khrushchev, yang menggantikan Stalin, menyedari sepenuhnya harga kemanusiaan yang amat tinggi gara-gara collectivisation corak Stalin itu. Dalam ucapannya kepada majlis perasmian Kongres ke-20 PKKS pada bulan Februari 1956, Khrushchev berkata : Kesengsaraan manusia akibat kekejaman dasar pertanian Stalin tidak mudah diukur secara kuantitatif, apatah lagi bagi mereka yang bukan hanya telah kehilangan rumah-tangga malah terhumban ke kem-kem tahanan Gulag serta menjadi buruh paksa." ABDUL RAHIM NOOR Utusan/Rencana/20140511