kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

5 permintaan buat si gadis takut

SAAT bergelar pasangan kekasih memang membahagiakan, apatah lagi jika si jejaka atau si gadis adalah orang yang menjadi idaman hati selama ini.

Ketika bercinta kalau boleh semua permintaan si dia mahu dipenuhi bagi membuktikan dalamnya cinta anda.

Namun dalam tempoh itu, sebagai gadis anda mungkin pernah berasa takut saat mendengar permintaan si dia.

Tentunya, ada beberapa permintaan daripada si dia yang mungkin tidak mampu anda turuti dan terpaksa memikirkannya berulang-kali sebelum memenuhinya.

Berikut adalah lima permintaan si jejaka yang boleh membuatkan si gadis berada dalam dilema.

1. Ajak bernikah tatkala belum bersedia

Si dia mengajak anda menikah, sedangkan anda berasa belum bersedia untuk melakukannya. Tentunya, ketika itu anda akan berasa serba salah, sangat bingung dan takut. Dari satu sudut, anda mungkin masih ada banyak rancangan atau impian yang belum dicapai dan anda sangat ingin untuk menggapainya sebelum menikah, namun ternyata si dia sudah sangat ingin menikahi anda.

Di sudut lain pula, anda tidak boleh langsung menolak lamarannya kerana akan menyakiti hatinya dan anda sendiri memang mencintainya sepenuh hati.

Dilema seperti ini sering dialami oleh sebahagian besar wanita moden yang masih ingin fokus untuk mengejar kerjaya.

Jalan keluar terhadap dilema ini ialah berusaha mencari jalan tengah agar anda dan kekasih tidak bermasam muka hingga menjejaskan hubungan.

Bincang dari hati ke hati, beritahu si dia apa impian dan rancangan yang anda ingin capai.

Anda memang ingin berkahwin tetapi anda memerlukan tempoh yang munasabah untuk anda mencapai impian anda dahulu. Awas, jangan biarkan kekasih anda menunggu terlalu lama kerana takut dia akan menjauh.

2. Diajak berjalan jauh hanya berdua

Permintaan ini kadang kala membuatkan si gadis berada dalam dilema atau gundah-gulana. Ketika ikatan di antara anda dan si dia masih terbatas sebagai kekasih, berjalan jauh dengan hanya berdua tentunya tidak manis kerana ditakuti akan terjadi hal-hal yang tidak diinginkan.

Selain itu, ibu bapa anda tentunya tidak akan membenarkan anda pergi bersama untuk waktu yang lama, apatah lagi jika harus menginap selama berhari-hari dan anda hanya berdua saja.

Apa yang anda perlu lakukan, tolak dengan baik ajakan kekasih anda itu dengan alasan seperti di atas. Jika perlu pergi juga, katakan padanya, lebih manis jika ditemani dengan rakan-rakan lain, bukan sahaja tidak menimbulkan pandangan serong masyarakat, bahkan lebih ramai lebih meriah.

Jika kekasih anda seorang yang ikhlas, pasti dia akan memahami dan menerima cadangan anda itu.

3. Bertemu ibu bapa si jejaka

Ada kalanya, si gadis juga memerlukan masa untuk mempersiapkan diri sebelum bersedia untuk bertemu ibu bapa kekasihnya.

Seorang gadis akan mempersiapkan dirinya secara matang bagi memastikan pertemuannya dengan calon mertua tidak akan berakhir dengan memalukan.

Ibu bapa si dia sudah tentu akan melihat keperibadian calon isteri anak lelaki mereka dan menentukan apakah gadis itu layak untuk bersanding dengan anak mereka.

Sebab itu, si gadis kadang kala menolak untuk diajak bertemu ibu bapa kekasihnya kerana berasa belum bersedia secara mental dan sangat gugup.

Membawa kekasih bertemu calon mertua, merupakan gambaran bahawa hubungan anda sedang melangkah ke peringkat seterusnya, iaitu peringkat yang lebih serius dan mungkin membawa kepada perkahwinan.

Justeru, ia memang perlu dilakukan dalam keadaan masing-masing sudah bersedia agar pertemuan berlangsung dengan selesa dan memberi manfaat kepada hubungan anda di kemudian hari.

4. Mengubah penampilan

Si dia ingin anda berpakaian lebih feminin dan elegan. Seorang jejaka kadang kala lebih suka melihat pasangannya mengenakan pakaian yang lebih feminin kerana ini akan membuatkan si gadis kelihatan lebih cantik dan anggun.

Namun, apa jadi kalau si gadis sudah terlanjur suka berpakaian tomboy atau setidaknya berpakaian kasual? Hal ini tentu akan mendatangkan masalah bagi si gadis tersebut dan pasangannya.

Bagaimanapun, si jejaka akan berusaha untuk menuntut perubahan pada penampilannya.

5. Mengubah keperibadian

Mengubah penampilan, walaupun sukar, masih boleh diusahakan. Namun, jika diminta untuk mengubah keperibadian pasti sangat sukar.

Sebagai contoh si jejaka meminta kekasihnya untuk mengubah sifatnya yang tomboy menjadi lebih anggun dan lemah-lembut.

Si gadis pasti memerlukan waktu untuk benar-benar mengubah keperibadiannya, kerana itu tentu tidak mudah.

Apalagi jika si gadis sudah berasa selesa keperibadiannya saat itu, dan memaksanya jadi anggun akan membuatnya merasa itu bukan dirinya yang sebenar.   Utusan/Keluarga/20140506

Tags: perempuan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments