Subjek yang saya sampaikan ialah asas kewartawanan. Mengajar pada semester lepas subjek ko-kurikulum ini saya anggap pembuka minda dan pencetus pengalaman. Sebelum ini pernah memberi bimbingan kepada rakan wartawan muda di pejabat, tetapi berdepan dengan 20 siswa-siswi dari era milenium ini adalah spesies berbeza sama sekali.
Mereka mengaku tidak suka membaca akhbar, waima berbentuk portal sekali pun. Bahan bacaan lain daripada subjek pelajaran ialah Facebook dan Twitter. Bermakna mereka hanya terdedah kepada apa yang berkisar dalam lingkungan mereka sahaja.
Fenomena ini tidak khusus kepada bekas pelajar saya di UPNM tetapi berdasar perbincangan dengan pensyarah dari universiti lain, ia juga berlaku di kampus mereka. Ia berkaitan generasi milenium. Generasi ini kurang membaca dan jika membaca pun, tidak mengambil berat, selain merasakan diri mereka lebih tahu serba-serbi, lalu tidak suka dipaksa-paksa.
Pertama kali berdiri di hadapan mereka, saya tidak bertekad menukar mereka menjadi wartawan suatu hari nanti. UPNM belum ada fakulti khusus kewartawanan. Mungkin pengajian komunikasi strategik lebih sesuai dengan fungsi dan matlamat asal penubuhannya sebagai penyedia tenaga terlatih dalam bidang strategik dan keselamatan negara. Apatah lagi perang siber adalah realiti dan sama bahaya dengan perang konvensional.
Sebaliknya saya minta pelajar supaya sentiasa membuka minda dan hati bila membaca sesuatu berita yang mereka baca melalui saluran yang mereka minati (Facebook dan Twitter). Kena banyak selidik. Maksudnya, kena periksa kesahihan berita. Periksa dari A hingga Z. Ini supaya kita tahu asal-usul kejadian, perkembangannya dan mengapa ia menjadi isu.
Lazimnya apa yang mereka baca di Internet, ia sudah membuak-buak menjadi isu tetapi bagaimana ia meletus tidak dinyatakan. Jika kita tidak mahu tahu bagaimana asal isu ini tercetus, kita mendedahkan diri kepada kedangkalan minda. Lihat perang siber dalam Twitter. Banyak dangkal kerana pencetus isu ialah tentera maya upahan parti politik tertentu.
Terus-terang, pengalaman mengajar di UPNM adalah satu cara terbaik menunaikan tanggungjawab kepada negara, bangsa dan agama. Bukan kerana ganjaran wang tetapi ada tawaran lain lebih menarik. Apa lagi memasuki UPNM kena melalui dua pos pengawal keselamatan bersenjata automatik kerana kampusnya terletak dalam kem tentera. Tetapi kekurangan dan ketidakselesaan itu diketepikan kerana ia adalah national duty untuk membimbing anak bangsa.
Seandainya anda diberi peluang mengajar, jangan lepaskannya. Anda akan rasa lega dan bersyukur bila melihat pelajar anda mengguna pakai ilmu yang disampaikan. Insya-Allah.
Dalam satu aspek, tarikh Hari Guru 16 Mei sebenarnya merujuk kepada guru sekolah. Pada 16 Mei 1956, Laporan Razak diterima menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan, sekali gus mendorong kerajaan mengisytiharkan 16 Mei sebagai Hari Guru di Malaysia.
Namun, definisi guru ini tidak tertutup kepada guru sekolah semata-mata. Ia telah meluas meliputi sesiapa sahaja yang berperanan sebagai guru baik di peringkat tadika, sekolah, institusi pengajian vokasional, universiti dan juga tempat kerja sekali pun!
Baru-baru ini saya minta seorang sahabat guru untuk menggariskan cabaran yang dihadapinya sebagai guru sekolah menengah. Berikut adalah senarainya:
1 Pelajar era milenium
Pelajar ini dibekalkan telefon pintar oleh ibu bapa. Bermakna kebanyakan masa ada akses pada Internet dan terdedah kepada segala bentuk maklumat (tanpa mengira negatif atau positif). Keadaan ini memaksa para guru juga kena melengkapkan diri dengan jawapan dan pengetahuan.
2 Ibu bapa era milenium
Ibu bapa ini bukan seperti ibu bapa tradisional yang menyerahkan anak untuk dididik guru 100 peratus. Sebaliknya mereka aktif mahu tahu apa yang diajar oleh guru. Dan memeriksa dengan kritikal soalan peperiksaan serta jawapan yang guru beri markah rendah. Guru kena bersedia dengan rasional dan hujah kuat.
3 Ditugaskan di pedalaman
Masalah ini sudah wujud dari dulu, kini dan selamanya. Ramai tidak faham. Semasa mula-mula bersetuju menerima tawaran sebagai guru, bukankah sudah ada tertera ikrar bersedia untuk ditugaskan di mana-mana... Bila dapat surat pertukaran, boleh pula bertukar ikrar?
4 Ditugaskan di bandar besar
Ini pula berkaitan guru yang dilahirkan di maktab negeri-negeri yang selesa dengan penempatan dan menolak bila ditukar ke bandar besar. Walaupun menerima kuarters dan pelbagai elaun lain untuk menampung kos tinggi di bandar, mereka masih keberatan.
5 Pelajar tidak boleh ditegur
Dari semasa ke semasa akan terpampang di dada akhbar ibu bapa yang membuat aduan polis terhadap guru. Kalau kes pukul sampai berbekas dan berparut, wajarlah diadu. Ini hanya dimarahi pun ibu bapa melenting, buat sidang akhbar.
6 Banyak mesyuarat
Tidak ramai mengetahui tanggungjawab guru semakin berat dan bertambah. Tidak cukup dengan tugas azali mengajar di dalam kelas, mereka juga harus aktif dalam aktiviti ko-kurikulum seperti persatuan dan acara sukan. Ini belum dikira kursus sana sini diatur oleh pegawai pendidikan. Atau mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru. Ramai menyangka tugas guru sangat mudah.
7 Sistem pendidikan
Bila bertukar sesuatu sistem peperiksaan, orang pertama disoal oleh ibu bapa ialah para guru. Walhal ia adalah sistem negara. Kalau bertanya secara berhemah tidak mengapa. Ini dengan suara tinggi dan bernada menggugut. Langsung tidak ada harmoni.
Selamat hari guru kepada semua pendidik. Walau apa pun cabaran anda hadapi hari ini, jangan rasa rendah diri atau putus asa. Kami memerlukan anda dan kami menghargai sumbangan anda.
Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan/Rencana/20140518