kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Choo Keong & Harley Davidson

NAMA Wee Choo Keong mungkin dikenali ramai kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang sebagai ahli DAP dan kemudian menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju pula mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Namun, tidak ramai kecuali kenalan dan ahli Kumpulan Pemilik Harley Davidson (HOG) mengetahui peguam itu mempunyai hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson - jenama yang sering dikaitkan dengan golongan berada.

Beliau memiliki dua buah jentera hebat Harley Davidson yang setiap satunya berharga melebihi RM100,000.

Model pertama dibelinya ialah Heritage Springer edisi ulang tahun ke-95. Model ini adalah edisi terhad dengan hanya 3,000 unit di seluruh dunia dan mungkin sebuah sahaja di Malaysia.

Sebuah lagi ialah model Road Glide Ultra. Model ini merupakan model flagship bagi syarikat pengeluar motosikal dari Milwaukee, Amerika Syarikat (AS) itu.

Walaupun impian zaman kanak-kanaknya adalah memiliki motosikal Vespa, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tidak berhasrat membeli motosikal apabila sudah bekerja kerana selesa menaiki kereta.

Malah, Choo Keong tidak begitu selesa mendengar bunyi bising enjin motosikal apatah lagi 'suara' kuat yang dihasilkan oleh enjin V-Twin Harley Davidson, namun apakah yang membuatkan beliau menjadi peminat tegar jenama itu?

Tanggapan beliau terhadap motosikal Harley Davidson berubah selepas mengetahui rakannya, seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat senarai awam di Singapura turut memiliki jentera hebat itu.


Softail 2013


Road King 2013


Springer

"Suatu hari, saya menaiki kereta dengan kawan saya ini. Semasa berhenti lampu isyarat, datang seorang penunggang motosikal Harley Davidson berhenti di sebelah kereta saya dan bunyi kuat daripada motosikal itu menyebabkan kereta saya bergegar.

"Saya kata kenapalah orang naik motosikal bunyi bising macam ini. Kawan saya terus menegur dan meminta saya menghormati penunggang motosikal Harley Davidson kerana dia pun salah seorang daripada mereka," katanya.

Teruja dengan cerita rakannya mengenai keseronokan menunggang dan menjadi sebahagian komuniti pemilik motosikal Harley Davidson, Choo Keong terus membeli motosikal pertamanya iaitu Harley Davidson model Heritage Springer edisi ulang tahun ke-95 pada 1998.

Menurut anak kelahiran Kampung Cina, Kota Bharu, Kelantan itu, selepas memiliki motosikal Harley Davidson sendiri, baharulah dia mengetahui kenapa motosikal berkuasa tinggi itu mempunyai ramai peminat tegar walaupun pengalaman menunggang jentera itu tidaklah seselesa jenama pesaing lain seperti Honda dan BMW kerana mengeluarkan gegaran yang kuat.

"Kelebihan motosikal Harley Davidson ialah bunyi enjin V-Twin yang tidak akan dapat ditiru oleh mana-mana jenama lain. ‘Suara' yang dikeluarkan adalah identiti unik motosikal Harley Davidson.

"Namun, apa yang paling saya suka ialah semangat persaudaraan yang amat rapat dan disiplin tinggi semasa menunggang dalam kalangan pemilik motosikal ini. Tidak ada perbezaan taraf, pangkat dan bangsa dalam kalangan kami tetapi kami semua adalah sama iaitu pemilik motosikal Harley Davidson," ceritanya bersungguh-sungguh.

Melencong

Kisah bagaimana Choo Keong memiliki motosikal Harley Davidson keduanya iaitu model Road Glide Ultra lebih menarik kerana beliau pada mulanya pergi ke bilik pameran Naza dengan niat untuk membeli motosikal model BMW R1200GS dan tidak terlintas langsung untuk memiliki sebuah lagi model Harley Davidson.

"Saya cakap dengan Datuk SM Zulkifli SM Amin yang merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah Kumpulan Naza pada masa itu, saya hendak beli motosikal BMW R1200GS tetapi beliau kata, kalau saya beli motosikal Harley Davidson Road Glider Ultra dengannya, ia datang sekali dengan ‘party pack' iaitu saya boleh sertai kumpulan beliau.

"Saya kata, kalau macam itu, hantar terus ke rumah saya malam ini. Saya tidak sangka, beliau benar-benar hantar motosikal tersebut ke rumah saya pada malam itu juga kerana saya sekadar bergurau. Saya berterima kasih kepada beliau kerana kalau tidak, sudah tentu saya akan jadi pemilik motosikal BMW sekarang," katanya.

Kalau sudah memiliki motosikal Harley Davidson, sudah tentu tidak sah kalau tidak menyertai konvoi. Begitu juga dengan Choo Keong. Sebagai ahli Kumpulan Pemilik Harley Davidson (HOG), beliau telah merantau ke banyak tempat di seluruh negara dan luar negara termasuk ke Singapura dan Phuket, Thailand.

Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai peguam, Choo Keong akan tetap melepaskan gian menunggang jentera miliknya itu di hujung minggu.

"Kadang-kadang apabila sudah hendak sampai ke rumah, saya sengaja melencong ke tempat lain dan mengambil laluan jauh sebab tidak puas menunggang motosikal ini. Saya juga akan meluangkan masa membersihkan dan menggilap sendiri motosikal saya supaya sentiasa bersih dan berkilat. Motosikal Harley Davidson ini ibarat ‘isteri' kedua saya," katanya.

Bagi mereka yang baharu bercita-cita memiliki motosikal Harley Davidson, ini nasihat Choo Keong: "Jangan beli motosikal entry level tetapi terus beli model Softail, Road Glide atau Road King jika mahu merasakan keseronokan menunggang motosikal Harley Davidson sebenar".

Menurut beliau, ramai orang yang baharu hendak berjinak-jinak dengan motosikal Harley Davidson biasanya membeli model entry level seperti Sporster yang lebih murah, mudah dikendalikan dan ringan, namun akhirnya terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi apabila bertukar kepada model lebih berkuasa untuk mendapat kepuasan menunggang.

"Mereka yang membeli model Sporster tidak akan merasa ummph seperti menunggang model Softail. Kalau mampu, elok terus beli model yang bagus seperti softail dan Road Glide," katanya.

Walaupun telah memiliki dua buah jentera hebat Harley Davidson, beliau memasang impian untuk membeli sebuah lagi motosikal jenama itu iaitu model Road King untuk diubah suai.

Pengalaman menunggang motosikal Harley Davidson dan terlibat dalam aktiviti HOG turut menjadikan Choo Keong seorang tenang dan ciri itu banyak membantu dalam kerjayanya di bidang guaman.

"Nama lagi ‘easy rider', mestilah bawa pun rileks. Bagi penunggang Harley Davidson, 'it's all about the journey, not the destination' (semua mengenai perjalanan, bukan destinasi). Tempat hendak pergi itu tidak penting tetapi pengalaman sepanjang perjalanan itu yang penting," katanya.

Utusan/Rencana/20140518
Subscribe

  • Paying the price for being young and reckless

    CLOSE to 25,000 Malaysians from Gen Y – defined as those below the age of 35 – have officially been declared bankrupts in the past five…

  • Seeking greater awareness

    SINCE the inception of the Credit Counseling and Debt Management Agency (AKPK) in 2006, the total number of consumers seeking its service has grown…

  • Youth bankruptcy

    I RECEIVED a WhatsApp message recently about two youths. One of them graduated from a university with a RM60,000 student loan and the other…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments