kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Stalin dipuja luar biasa

Berikutan tulisan saya minggu lalu tentang kegagalan dasar pertanian Stalin dan pendedahan-pendedahan oleh Nikita Khrushchev terhadap dasar-dasar Stalin yang menzalimi rakyat Soviet, saya menerima beberapa permintaan daripada pembaca supaya saya menceritakan lebih meluas lagi isi ucapan Khrushchev yang disampaikan kepada Kongress Ke-20 Parti Komunis Kesatuan Soviet (PKKS) pada 25 Februari, 1956.

Seperti saya katakan, walaupun ucapan Khrushchev selama empat jam itu sepatutnya rahsia dan ditujukan khusus untuk para perwakilan parti dari seluruh pelosok negara Soviet, namun tidak berapa hari kemudian teks penuh, Secret Speech Khrushchev telah tersebar bukan saja ke seluruh negara Soviet, malah ke negara-negara komunis di luar Soviet seperti Eropah Timur dan China . Di China, ia telah tersebar bukan saja dalam kalangan pemimpin pusat Parti Komunis China (PKC), malah turun ke bawah sampai kepada pemimpin-pemimpin parti di provinsi atau wilayah-wilayah China menjelang pertengahan tahun 1956.

Di atas permintaan kalangan pembaca, saya akan cuba mengupas ucapan Khrushchev itu dengan memetik bahagian-bahagian tertentu yang saya fikir relevan demi memenuhi permintaan pembaca. Patut saya catatkan dari mula hingga akhir ucapannya, Khrushchev memberi tumpuan penuh terhadap Stalin. Beliau memberi contoh-contoh kezaliman melulu oleh Stalin terhadap pemimpin-pemimpin PKKS sambil cuba menyingkap sikap Stalin yang sangat bertentangan dengan sikap Lenin sebagai pengasas negara Soviet.

Pada awal ucapannya, Khrushchev menyarankan adalah salah menurut amalan Lenin, untuk mengamalkan sistem pemujaan pemimpin (cult of personality). Katanya : “Selepas kematian Stalin, jawatankuasa pusat parti telah memulakan langkah memberi penerangan bahawa adalah salah dari segi semangat Marxisme - Leninisme mengangkat seseorang pemimpin sebagai memiliki sifat-sifat luar biasa, menganggap pemimpin sebagai Tuhan. Kononnya, pemimpin tersebut mengetahui segala-galanya, boleh membuat apa sahaja dan maksum serta terpelihara daripada membuat apa jua kesilapan."

“Pendirian terhadap seseorang yang sedemikian, apatah lagi terhadap Stalin, telah ditanam dalam kalangan rakyat Soviet sejak sekian lama. Laporan saya ini tidak merangkum suatu kajian sepenuhnya mengenai kegiatan Stalin… Tidak semua daripada kita, setakat ini, tahu sepenuhnya kesan-kesan daripada dasar pemujaan Stalin yang di luar batasan… Bagaimana dasar itu telah menghancurkan prinsip kerjasama dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti setelah kuasa jatuh sepenuhnya ke tangan seorang manusia," kata Khrushchev.

Perangai lama

Beliau kemudian, menyebut bahawa Lenin pada Disember 1922 telah menulis surat kepada Kongres Ke-13 KPPS yang menyentuh pandangan beliau terhadap Stalin. Kata Lenin dalam surat itu : “Stalin terlalu biadap. Sikap ini, walaupun boleh diterima dengan kesabaran dalam kalangan kita (pemimpin-pemimpin kanan PKKS), tetapi ia menjadi sikap tercela dan tidak boleh diterima apabila seseorang itu memegang jawatan Setiausaha Agung parti (Stalin ialah Setiausaha Agung PKKS pada masa itu). Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya para perwakilan di Kongres ini mencari jalan bagaimana Stalin boleh diturunkan daripada jawatannya, dan orang lain yang menggantikannya, hendaklah jauh berbeza daripada Stalin dari segi sikap yang lebih toleransi, lebih setia kepada asas-asas perjuangan parti dan lebih bertimbang rasa terhadap ahli-ahli parti."

Walau bagaimanapun, menurut ucapan Khrushchev, walaupun surat Lenin itu telah dibincangkan di Kongres tersebut, para perwakilan membuat keputusan mengekalkan kedudukan Stalin sebagai Setiausaha Agung parti. Mereka yakin Stalin akan memperbaiki kelakuannya. Mengikut Khrushchev, tidak lama selepas kematian Lenin, Stalin kembali kepada perangai lamanya. Menurut Khrushchev : “Perjuangan parti dalam tahun 1920-an ialah untuk menegakkan ideologi (sosialisme). Tetapi beberapa tahun selepas itu, apabila fahaman sosialisme telah berjaya ditegakkan di negara Soviet….. Stalin memulakan dasar penindasan besar-besaran (mass repression) dengan menggunakan aparatus kerajaan terutama dalam tempoh 1935 - 1937 - 1938 terhadap banyak orang komunis yang setia terhadap ideologi dan terhadap kader-kader parti yang telah mengharungi saat-saat genting semasa berlakunya peperangan saudara selepas Revolusi Bolshevik…"

Seterusnya Khrushchev berkata: “Stalinlah yang memulakan konsep ‘musuh rakyat’. Konsep ini menimbulkan keadaan di mana apabila seseorang dituduh membuat kesalahan dari segi ideologi, maka secara automatik tidak lagi diperlukan pembuktian di pihak yang membuat tuduhan. Seperti konsep itu membolehkan penggunaan penindasan (surpression) secara kejam terhadap sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan Stalin. Juga, terhadap mereka yang disyaki menyimpan sesuatu tujuan jahat….. Konsep ‘musuh rakyat’ sebenarnya menghapuskan peluang mengadakan perdebatan ideologi secara sihat, atau kesempatan untuk seseorang menyuarakan pandangannya secara terbuka walaupun tentang sesuatu isu kecil. Semasa Stalin, satu-satunya bukti kesalahan (proof of guilt), terhadap semua jenis pertuduhan ialah pengakuan (confession) oleh pihak tertuduh. Seperti yang diketahui daripada hasil siasatan, confession telah diperolehi melalui kekerasan terhadap tertuduh… Ternyata, konsep ‘musuh rakyat’ telah diperkenalkan Stalin semata-mata untuk memusnahkan (membunuh) pihak tertuduh."

Menurut Khrushchev : “Fakta-fakta menunjukkan, kebanyakan penyalahgunaan kuasa adalah atas arahan Stalin, dibuat tanpa mengambil kira lunas-lunas dan peraturan parti atau undang-undang Soviet. Stalin ialah manusia yang tidak mudah mempercayai orang. Dia akan mendekati seseorang dan bertanya: “Kenapa mata kamu mengesyaki sesuatu?" atau “Kenapa hari ini kamu mengelak memandang saya dengan tepat?" Sikap syak-wasangka dalam darah dagingnya menyebabkan dia sentiasa tidak percaya kepada petugas-petugas parti walaupun mereka telah bekerja beberapa tahun dengannya. Dia hanya melihat ‘musuh’ dan ‘pengintip’ terhadap apa jua atau sesiapa sahaja yang dilihatnya,".

Menurut Khrushchev lagi, “Apabila Stalin mengarahkan seseorang itu perlu ditahan, arahannya perlu diterima dan diyakini bahawa orang hendak ditahan ialah ‘musuh rakyat’. Dan bagi Lavrenti Beria, yang mengetuai badan keselamatan negara, beliau akan bekerja berlebihan-lebihan untuk membuktikan kesalahan tertuduh, termasuk menggunakan dokumen-dokumen yang dipalsukan untuk barang bukti. Apakah yang akan diketengahkan di mahkamah pengadilan? Jawapannya ialah confessions tertuduh dan di depan hakim yang bersedia menerima confessions itu. Bagaimana pula tertuduh begitu mudah mengaku membuat jenayah yang tidak dilakukannya? Caranya adalah dengan menggunakan tekanan fizikal, penyeksaan dan penafian martabat tertuduh sebagai seorang manusia,".

Di bahagian akhir ucapannya itu, Khrushchev menyeru supaya Kongres ke-20 PKKS membuat ketetapan untuk menghapuskan buat selama-lamanya dasar pemujaan (cult) pemimpin tertentu secara luar biasa. Beliau juga meminta Kongres membuat ketetapan bahawa pemujaan pemimpin adalah bertentangan dengan ideologi Marxisme-Leninisme, sambil meminta Kongres mengambil maklum bahawa langkah untuk memulihkan kesan-kesan buruk dalam masyarakat Soviet akibat pemerintahan Stalin yang bertunjangkan pemujaan pemimpin yang melampaui batasan itu adalah sangat membebankan.


ABDUL RAHIM NOOR Utusan/Rencana/20140518
Tags: komunis, pkm, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments