kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rakyat P. Pinang makin susah

MENGHAMPIRI minggu kedua berkempen, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, DATUK HUAN CHENG GUAN semakin membuka mata pengundi-pengundi di kawasan itu. Isu-isu yang diperjuangkan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) itu bukan sahaja sangat dekat dengan jiwa penduduk di kawasan berkenaan, malah menjangkau keseluruhan rakyat negeri ini. Isu seperti rumah kos rendah, kenaikan pelbagai caj dan tarif, kesesakan jalan raya dan tekanan hidup adalah masalah yang semakin membelenggu penduduk negeri ini.

“Kesemua permasalahan ini semakin ketara dialami penduduk Pulau Pinang dan paling menyedihkan perkara ini berlaku hanya dalam tempoh enam tahun peralihan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan DAP," katanya. Kepada Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL menghuraikan lebih lanjut kemelut yang dialami penduduk Pulau Pinang itu yang menjadi teras perjuangannya dalam PRK berkenaan.

MINGGUAN: Mengapa Datuk dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkan isu rumah kos rendah?

CHENG GUAN: Isu rumah kos rendah ini merupakan isu paling kritikal di Pulau Pinang. Sejak bulan Mac 2008 iaitu sebaik-baik sahaja kerajaan negeri ini bertukar, saya boleh katakan langsung tidak ada rumah kos rendah dibina untuk rakyat kurang berkemampuan. Keadaan ini sangat berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Jika kita lihat di kawasan Bayan Baru dan Seberang Jaya misalnya, banyak rumah kos rendah yang dibina kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada beribu-ribu penduduk negeri ini.

Orang susah di negeri ini dulu masih berpeluang memiliki kediaman sendiri. Tetapi hari ini, penduduk Pulau Pinang yang susah mereka semakin susah. Mereka memang tidak akan mampu membeli rumah sendiri kerana tidak ada lagi rumah kos rendah yang harganya di bawah RM50,000 dibina kerajaan negeri. Paling menyedihkan perkara itu berlaku dalam jarak waktu kira-kira enam tahun sahaja selepas kerajaan negeri bertukar tangan. Kenapa sampai begitu sekali perbezaannya?

Perkara ini sebenarnya tidak akan berlaku sekiranya Kerajaan DAP tidak menjual tanah kepada pemaju kerana mahu mendapatkan sumber kewangan negeri dengan mudah. Apabila pemaju mendapat tanah, secara logiknya adakah mereka akan membina rumah kos rendah atau sederhana? Tidak mungkin. Mereka pasti mahu mengaut keuntungan dengan membina rumah-rumah mewah. Jadi yang mampu hanya golongan kaya dan warga asing seperti dari Hong Kong, Singapura, Korea, Jepun dan Taiwan. Bagi mereka ini rumah-rumah itu yang bermula dengan RM400,000 ke atas adalah sangat murah. Tapi rakyat kebanyakan di negeri ini, harga itu terlalu mahal dan mereka tiada pilihan melainkan terpaksa keluar dari negeri ini dan membeli rumah-rumah di negeri lain.

Sebab itu saya menjangkakan lama-kelamaan negeri ini terutama di kawasan pulau hanya akan dihuni golongan kaya dan warga asing. Orang miskin termasuk orang Melayu akan keluar dari bahagian pulau kerana Kerajaan DAP Negeri tidak ada lagi tanah untuk dibangunkan dengan rumah yang mampu dimiliki mereka kerana semua tanah sudah dijual. Itu belum lagi dikira dengan pelbagai permainan yang dikenakan pemaju kepada pembeli rumah kos sederhana.

Lihat sahaja kes pembeli yang pada mulanya ditawarkan rumah kos sederhana RM72,000. Tapi apabila mahu berpindah, pemaju naikkan harga sehingga RM180,000. Kerajaan DAP Negeri pula seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa. Sampaikan ada yang terpaksa melutut kepada Kerajaan DAP Negeri baru mereka mendapat hak mereka. Nampaknya begitulah situasi kebanyakan rakyat di negeri ini, mereka kena melutut kepada ‘tokong’ dahulu baru hak mereka dipandang.

Ketika zaman pemerintahan BN jika rumah kos rendah itu harganya RM50,000, maka itulah harga yang perlu dibayar penduduk. Tetapi sekarang harga rumah lain, harga parking kereta pun lain. Harga parking sahaja pun boleh mencecah sehingga RM20,000. Kalau beginilah keadaannya, penduduk negeri ini terpaksa berhutang dua generasi untuk memiliki rumah sendiri. Saya harap nanti jangan sampai hutang itu dipanjangkan kepada cucu pula sebab rumah terlalu mahal.

Tetapi Kerajaan DAP selalu mencanangkan mereka banyak membina rumah kos rendah?

CHENG GUAN: Saya cabar jika betul-betul berani dedahkan berapa banyak rumah kos rendah dan sederhana yang sudah dibina sejak mereka menjadi kerajaan negeri? Berapa banyak pula rumah yang berharga RM400,000 ke atas yang dibina mereka. Jika mereka benar-benar mengamalkan pemerintahan yang Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT), mereka sepatutnya berani mendedahkan fakta itu. Bukan hanya setakat umum akan bina 50,000 atau 100,000 unit rumah kos rendah pada masa depan. Kalau setakat hanya bercakap, sesiapa pun boleh bercakap.

Isu caj parking juga menjadi keluhan rakyat. Bagaimana Datuk melihat isu ini?

CHENG GUAN: Isu caj parking ini adalah contoh janji tidak ditepati. Dulu sebelum pilihan raya umum mereka berjanji tidak akan mengenakan caj parking. Namun sekarang bukan sahaja penduduk dikenakan caj untuk parking, tetapi jika tersalah parking sedikit mereka akan dikenakan kompaun dan kereta ditarik. Seolah-olah Kerajaan DAP Negeri mahu menjadikan caj parking itu sebagai salah satu sumber negeri.

Sepatutnya mereka faham kesukaran penduduk yang berdepan dengan masalah tiada petak parking mencukupi. Keadaan itu berlaku disebabkan tiadanya perancangan strategik mereka dalam mengurangkan kesesakan jalan raya. Mereka bina pelbagai bangunan dan rumah di tepi jalan, tapi keadaan jalan yang sama tidak berubah sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Jadi bagaimana masalah parking ini dapat diselesaikan?

Saya difahamkan Kerajaan DAP Negeri sebelum ini membayar konsultan luar dengan kos berjuta-juta ringgit untuk membuat kajian mengenai masalah kesesakan ini. Tetapi mana hasilnya? Sebab kita lihat keadaan kesesakan tidak berubah tetapi bertambah buruk.

Adakah benar dakwaan kerajaan negeri juga terlepas pandang banyak isu berkaitan alam sekitar.

CHENG GUAN: Lihat sahaja apa yang berlaku dalam kes Bukit Botak (Bukit Relau). Bukit itu sekarang sudah tidak boleh diselamatkan kerana digondolkan dengan teruk kerana kelemahan kerajaan negeri. Tetapi pihak yang bertanggungjawab hanya dikenakan denda sebanyak RM30,000. Berapa sangat jumlah RM30,000 itu kepada pemaju yang mendapat keuntungan berpuluh-puluh kali ganda? Adakah nilai itu berbaloi dengan kemusnahan alam sekitar yang disebabkan oleh pemaju itu?

Begitu juga dengan keghairahan kerajaan negeri mahu menambak kawasan laut untuk dibina bangunan-bangunan baharu. Berapa banyak lagi kawasan yang boleh ditambak kerajaan negeri? Sudah pasti projek itu juga menelan kos yang tinggi dan siapa pula yang mampu membeli hartanah di kawasan yang ditambak itu? Sebab itu saya lihat kerajaan negeri hari ini lebih memberi peluang kepada golongan kaya dan berkemampuan. Tetapi rakyat kebanyakan yang miskin dan sederhana dipinggirkan. Golongan kaya hanya hidup bersama kumpulan mereka, manakala yang miskin pula hidup sesama mereka. Ini bukan komuniti yang kita mahukan sebab nanti jurang perbezaan antara penduduk itu semakin melebar.

Isu kenaikan tarif air juga masih hangat diperdebatkan sehingga kini. Apa pandangan Datuk?

CHENG GUAN: Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan DAP Negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebab ini adalah antara rekod yang dicapai beliau. Sebab BN sewaktu memerintah negeri ini selama 18 tahun, hanya sekali menaikkan tarif air. Tetapi kerajaan DAP hari ini baru enam tahun memerintah tapi sudah tiga kali menaikkan tarif air. Yang paling kelakar mereka membuat keputusan itu ketika mereka berjanji tidak akan menaikkan apa-apa tarif jika berjaya memerintah kerana tidak mahu membebankan rakyat. Tetapi lihat sekarang apa yang mereka buat?

Mereka kata penduduk negeri ini tidak pandai berjimat, tetapi setahu saya penduduk negeri inilah yang paling bijak sekali dalam soal berjimat-cermat. Mereka terlupa yang banyak menggunakan air ini adalah kilang-kilang dan kedai, tetapi mereka pindahkan beban itu kepada rakyat. Untuk menutup kelemahan, mereka dakwa pula tarif air negeri ini masih terendah berbanding negeri-negeri lain. Sedangkan perkara itu tidak ada kena-mengena dengan mereka kerana yang memastikan tarif air negeri ini kekal rendah sehingga kini adalah pengurusan bijak kerajaan BN terdahulu. Tetapi di tangan mereka, tarif air dinaikkan pula sesuka hati.

Kita tertanya-tanya kenapa semudah itu mereka menaikkan tarif air. Adakah kerana bagi menampung elaun-elaun Ahli Lembaga Pengarah di jabatan tertentu yang jumlahnya terlalu ramai? Atau untuk menampung elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen yang dinaikkan terlalu tinggi. Jika dulu sewaktu zaman BN memerintah elaun ADUN dan ahli Parlimen hanya RM600 sahaja, tetapi sekarang sampai RM3,000. Dulu pun BN tidak ada ramai pegawai media yang bertugas di pejabat kerajaan negeri. Tetapi sekarang tengok lah berapa ramai pegawai media di sana. Dulu pun wakil rakyat BN tidak ada pegawai khas, tetapi sekarang setiap wakil rakyat kerajaan negeri ada pegawai khas. Semua ini melibatkan kos dan dari mana kerajaan negeri mendapat sumber untuk membayar gaji mereka? Rakyat bimbang sekiranya kenaikan pelbagai tarif dan caj ini sebenarnya untuk membayar gaji pegawai-pegawai dan ahli lembaga pengarah yang sebenarnya tidak diperlukan ini.

Bagaimana dengan isu pembinaan terowong bawah laut. Adakah Datuk turut menentang?

CHENG GUAN: Saya rasa Kerajaan DAP Negeri tahu terowong bawah laut di Hong Kong yang dijadikan model oleh mereka baru-baru ini pun dimasuki air. Jika mereka mahu teruskan juga, saya tidak tahulah apa yang mereka fikirkan. Terowong bawah laut ini sebenarnya bukan keperluan tetapi hanya akan menyebabkan masalah kesesakan di negeri ini bertambah teruk. Pengguna pula perlu membayar tol untuk melalui terowong ini sedangkan mereka sebelum ini menghentam kerajaan supaya memansuhkan tol. Tetapi saya tidak terkejut sebab membantah tanpa sebarang sebab ini memang budaya mereka. Dulu mereka pun bantah kerajaan mahu bina bangunan Komtar. Tetapi sekarang mereka lah yang menguasai bangunan itu. Dulu pun mereka bantah kerajaan mahu bina jambatan kedua Pulau Pinang. Tetapi sekarang mereka lah yang melalui jambatan itu. Kalau betul-betul bantah, mereka tidak akan menggunakan kemudahan yang mereka bantah itu. Utusan/Rencana/20140518

Tags: bn, dap, pkr, politik
Subscribe

  • Dinamika Jenayah Negara

    Ada pegawai bocor maklumat, 'lindungi' Nicky Liow: KPN bertarikh 30/03/2021 harus menjadi sesuatu yang patut kita beri perhatian.…

  • Ugutan jenayah heh

    Mungkin tidak ramai yang akan terkejut mengenai berita Presiden Pemantau Malaysia memohon di hantar peguam ke JSJT Bukit Aman, kerana ditahan di…

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments