kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Biik Awang Selamat

Siapa lagi?

Kehadiran Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak ke majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said di Kemaman semalam, begitu bermakna kepada politik negeri tersebut. Majlis perkahwinan tersebut adalah kedua diadakan oleh Ahmad selepas majlis pertama 10 Mei lepas.

Dalam drama ketegangan politik tercetus sebaik-baik Ahmad menemui Najib, soal perkahwinan anak, antara faktor yang dikaitkan dengan tindakan beliau mengambil keputusan keluar UMNO.

Lalu ada pihak menggambarkan Najib seolah-olah tidak prihatin sehingga ditohmah terutama menerusi laman sosial dan portal berita. Biarpun disalah erti dan menjadi sasaran lebih-lebih lagi pihak yang mahu menangguk di air keruh, Najib tetap tenang.

Beliau ada versi cerita sebenar tetapi tidak melatah kerana mahu berusaha menjaga aib orang lain. Najib juga berdiam terhadap dakwaan-dakwaan termasuk kelemahan UMNO dalam mengurus kemelut itu. Semua itu diterimanya sebagai maklum balas. Pun begitu, dalam 48 jam - tempoh yang singkat - kemelut itu dapat diatasi, yang pada Awang, itu juga suatu kejayaan.

Keceriaan Najib pada majlis semalam adalah cerminan seorang pemimpin bersikap budiman. Sama juga keadaannya, apabila Ahmad dan dua lagi ADUN menarik balik keputusan dan memohon maaf, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada mereka. Awang bersyukur kerana kemelut berakhir dengan semua pihak kembali bersatu.

Dalam pada itu, episod tersebut memberi mesej jelas. Di sebalik pendekatan politik yang dilihat harmoni hingga kerap juga ditafsir sebagai kelemahan, Najib menampakkan ketegasan dengan cara tersendiri. Malah beliau sanggup mengambil risiko yang tidak dijangka - membuka mata banyak pihak. Prinsipnya berpegang kepada janji makin kuat terserlah.

Dalam menyuntik kesegaran bagi menggerakkan pembaharuan, Awang melihat Najib ada percaturannya dalam membawa cabaran parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Ia mungkin langkah tidak popular buat segelintir tetapi diterima oleh majoriti.

Kini, persoalannya, siapa lagi Menteri Besar yang akan digantikan. Tiada siapa yang kebal. Berilah peluang kepada pemimpin lain pula. Begitu juga mereka yang bakal terlibat dalam rombakan sama ada jawatan kabinet mahupun parti? Ubahlah siapa yang patut diubah, sebelum berdepan risiko parti rebah.

Siapakah akan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berikutan peralihan teraju kepimpinan negeri itu?

Memandangkan Ahmad Razif Abdul Rahman masih baharu menjadi Menteri Besar menggantikan Ahmad Said, adalah lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin UMNO lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi.

Awang melihat antara calon yang sesuai ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabeery Chik yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Walaupun bukan Ketua UMNO bahagian, beliau mempunyai kedudukan dalam Kabinet, berpengalaman luas dan disegani.

Lebih daripada itu, Shabeery boleh diterima oleh semua pihak yang berbeza haluan. Awang percaya beliau mampu membawa kestabilan politik kepada UMNO Terengganu.

Meskipun kemelut peralihan Menteri Besar yang menggemparkan politik tanah air telah selesai, ia tidak boleh diambil ringan. Cabarannya, bersedialah menjangkakan apa lagi dugaan, juga kejutan selepas ini.

Agenda bahaya

Penjelasan Malaysiakini terhadap notis tuntutan saman oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan UMNO ekoran penyiaran dua artikel berunsur fitnah berhubung kemelut politik Terengganu, meloyakan.

Pengurusan Malaysiakini setakat ini enggan meminta maaf dan menarik balik artikel. Portal itu sekadar menawarkan kepada Najib dan UMNO untuk menjawab pandangan kepada pembaca terhadap perkara yang dibangkitkan.

Aneh. Apabila akhbar Utusan menyuarakan hujah yang sama ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang yang ghairah menyaman media arus perdana, Malaysiakini tidak melihat aspek pertimbangan kewartawanan. Sebaliknya taksub dengan hujah politik DAP dan PKR.

Malaysiakini juga tidak harus menganggap notis saman Najib sebagai ancaman kepada organisasi media. Pihak yang sebenarnya mengancam kebebasan media di negara ini ialah DAP dan PKR yang Malaysiakini dakap erat. Terlalu banyak saman media dibuat oleh kedua-dua parti tersebut yang kebanyakannya remeh dan bercanggah dengan prinsip demokrasi. Kiralah berapa banyak saman pemimpin BN ke atas media pembangkang berbanding sebaliknya. Ternyata pemimpin BN jauh lebih bersikap terbuka dan lebih toleran media.

Awang tidak tahu kayu ukur apa yang diguna pakai oleh portal pembangkang itu yang mendapat tajaan dana asing. Sudah diketahui umum, Malaysikini lebih ghairah menyiarkan pandangan dan artikel yang menghasut dan negatif terhadap kerajaan.

Reaksi pembaca dikawal dengan menyiarkan rata-rata komen yang menghentam, memburuk-buruk dan memfitnah kerajaan dan UMNO, malah ke tahap menghina Islam, Raja-raja Melayu dan Melayu. Komen-komen positif disekat, jika ada pun dilepaskan satu dua sahaja sekadar mengaburi mata. Sudah bertahun-tahun lamanya Malaysiakini beroperasi dengan berselindung atas nama kebebasan bersuara.

Ramai percaya ada tangan ghaib pihak asing yang mencatur bagi pihak portal itu. Di Indonesia, Thailand, Filipina dan banyak negara Asia, portal tajaan asing ditolak oleh rakyat atas nama nasionalisme dan kedaulatan. Usaha Malaysiakini untuk sama-sama membantu gerakan menggulingkan kerajaan menerusi antaranya siri perhimpunan Bersih dan kempen kotor pada PRU-13, ternyata gagal. Tetapi agenda mereka tidak akan berhenti.

Pada Awang, Malaysiakini sudah boleh dikategorikan sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Buatlah kajian untuk melihat hakikatnya. Antara portal itu dan tentera siber, Red Bean Army (RBA) milik parti pembangkang, tidak banyak bezanya. Sama bahaya.

Daging kerbau

Awang tertarik dengan satu laporan kemungkinan India akan menghentikan eksport daging ke seluruh dunia ekoran kemenangan Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam pilihan raya India kelmarin.

BJP dalam manifestonya sebelum ini antara lain berikrar akan menghentikan eksport daging. Jika itu berlaku, hormatilah keputusan BJP. Awang berharap tiada mana-mana pihak panik. Malaysia boleh mendapatkan sumber bekalan daging dari negara lain antaranya Australia, Pakistan, Sudan selain melonjakkan penternakan dalam negara.

Lagipun, daging import India yang dibekalkan ke negara ini sebenarnya daging kerbau atau selalu dirujuk sebagai Indian Beef - bukannya daging lembu.

Banyak penduduk negara ini keliru dan mengandaikan Indian Beef ialah daging lembu. Menurut laporan, Malaysia mengimport 112,000 tan daging kerbau dari India iaitu 60 peratus daripada 186,000 tan permintaan daging di negara ini tahun lalu.

Perkembangan ini ada hikmahnya untuk kerajaan mengkaji semula dasar sedia ada. Seorang pensyarah yang banyak membuat kajian berkaitan daging import memberitahu Awang, Malaysia tidak patut dilambakkan dengan daging kelas tiga. Katanya, daging lembu import dan tempatan lebih berkhasiat berbanding daging kerbau. Banyak negara termasuk Indonesia telah lama melarang import daging kerbau.

Di Malaysia, faktor harga murah dijadikan kewajaran bagi lambakan daging kerbau selain pengaruh kartel dan peranan orang dalam agensi kerajaan. Siasatlah.

Nilai Melayu...

Dalam usaha untuk memperbaiki imejnya sebagai parti paling rasis, DAP mencalonkan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofea Mohd. Daud, 27, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Antara sebab beliau dicalonkan kononnya mahu menonjolkan prinsip DAP yang berbilang kaum.

Awang hanya senyum. Langkah tersebut tidak akan dapat membersihkan imej parti itu yang sudah tebal dengan semangat perkauman. Strategi DAP sejak dulu sama, mempergunakan Melayu untuk mengaburi mata rakyat seolah-olah ia parti pelbagai kaum. Sedangkan hakikatnya DAP memperjuangkan agenda total untuk satu kaum. Salah satu buktinya, puluhan pemimpin dan aktivis Melayu telah meninggalkan DAP kerana menyedari terpedaya dengan muslihat parti itu yang sebenarnya amat memudaratkan agama dan bangsa.

Nama-nama seperti Tunku Abdul Aziz, Ahmad Ton, A. Rahman Manap dan Mohamed Razali serta ramai lagi mempunyai 1,001 cerita tentang DAP. Rahman pernah merayu agar Melayu tidak tertipu, sementara Mohamed Razali memohon maaf kepada orang Melayu setelah membuat pendedahan satu ‘peristiwa bahaya’ anjuran DAP. Seorang lagi pemimpin Melayu dalam DAP, Zulkifli Mohd. Noor menyifatkan penyertaan Melayu dalam parti itu hanya bernilai 50 sen.

Seperti bekas ahli-ahli DAP Melayu lain, Awang percaya suatu hari nanti Dyana Sofea akan meninggalkan parti dengan dipukul rasa penyelesalan. Biarlah saat ini dia dilambung-lambung oleh DAP sebelum terhempas ke lumpur yang ketika itu nanti sudah tiada harganya.



utusan/Rencana/20140518
Tags: melayu
Subscribe

  • Pluralism will give life to Arab uprising

    EMBRACE DIFFERENT VIEWS: Three years after the Arab Spring, competing groups are tearing the Middle East apart EVERY day, the headlines from the…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Angkuh dari tidak yakin

    Bagaimana kita dapat melepaskan diri dari perangkap yang berterusan ini? Ia bermula dengan menyedari bahawa pemimpin yang angkun dan sombong…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments