kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pesanan nenek moyang berguna sepanjang zaman

Pesanan nenek moyang kita dahulu kala sebenarnya sentiasa berguna pada sepanjang zaman. Pesanan atau kebijaksanaan silam orang Melayu tidak pernah lapuk dan ia relevan dengan semua zaman. Maka eloklah sesekali kita menoleh dan menghayati kebijaksanaan silam yang ditinggalkan sebagai kompas untuk memandu hidup yang lebih terarah.



Alam menjadi ilham dan cermin untuk mengungkapkan kelakuan manusia. Pengamatan itu bukan berlaku dalam masa singkat malah berzaman lamanya dan akhirnya mereka menyimpulkan kiasan kepada anak cucu sebagai pesanan. Minggu lalu tercetus pergolakan dalam UMNO di Terengganu hingga bekas Menteri Besar, Ahmad Said mengambil tindakan keluar daripada UMNO. Bagaimanapun tidak sampai 48 jam kemudian, Ahmad Said kembali kepada UMNO.

Benarlah seperti kata nenek moyang, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula. Maksudnya tidak perlu dibimbangkan sangat kerana sifat bulu ayam daripada pengamatan orang Melayu sejak zaman berzaman yang carik akan bercantum semula. Tetapi Ahmad Said mengambil masa yang lebih singkat daripada bulu ayam untuk bercantum semula. Mungkin Ahmad Said teringat pesan, bulat air kerana pembetung, kuat manusia kerana muafakat.

Ungkapan orang Melayu silam lahir daripada kejernihan jiwa dan kehalusan perasaan. Kalau ditinjau, peribahasa, pepatah, simpulan bahasa dan kiasan menjadi sebahagian daripada sosialisasi masyarakat Melayu zaman silam. Alam dan benda-benda yang hadir dalam kehidupan harian diangkat sebagai metafora untuk memperkatakan sesuatu di luar daripada alam zahirnya.

Orang Melayu tetap percaya antara kawan dan lawan, pada akhirnya tidak ada beza. Ini kerana sampai pada suatu peringkat, kita akan kembali kepada kewarasan dan memikirkan kepentingan lain yang lebih besar daripada pergeseran peribadi yang merugikan semua pihak. Maka daripada pemerhatian dan kehalusan penafsiran ini lahirlah pesanan yang membawa seribu harapan perdamaian, ‘carik-carik bulu ayam.’ Inilah kewarasan Melayu silam mendepani krisis perpecahan antara sesama mereka.

Mereka yakin kepada sifat semula jadi bulu ayam yang carik tetapi akan bercantum semula apabila sampai masanya. Orang Melayu tidak pernah terlalu paranoid terhadap pergeseran atau pertelagahan dan mereka positif menanganinya. Semua ini boleh merangsang generasi baharu untuk melihat kita sebagai pelepah bulu ayam. Atau boleh saja ibaratkan lidi kelapa yang bersatu menjadi penyapu.

Bagaimanapun semua ini menuntut wibawa pemimpin untuk menzahir bulu ayam bercantum selepas carik ataupun lidi bersatu menjadi penyapu. Selepas menjadi satu, barulah bermakna ‘cubit paha kiri, paha kanan ikut terasa sakitnya.’ Inilah pesanan berharga peninggalan nenek moyang yang wajar dibaca dan dihayati semula. Biar generasi masa kini menerjah jauh ke era kemajuan tetapi pemikiran daripada kebijaksanaan silam yang dilahirkan dengan kiasan tetap ada tempatnya.

Tambahan pula tatacara hidup Melayu itu sendiri mempunyai keunikan yang menyokong kiasan-kiasan yang ditinggalkan. Bila ada yang bertepuk tangan melihat orang lain jatuh, nenek moyang kita berpesan, ‘kalau seludang tua gugur, seludang muda jangan ketawa.’ Pesanan ini penting kerana banyak yang terlupa bahawa mereka yang berpeluang untuk naik dan berpeluang juga untuk jatuh.

Generasi silam juga sentiasa realistik bahawa Melayu ada kelemahannya. Kerana kelemahan ini sedikit sebanyak mendorong kepada kejatuhan Melayu pada zaman penjajah. Melaka jatuh ke tangan Portugis bukan kerana kekuatan bala tentera Portugis tetapi kerana orang Melaka yang membuka pintu kota kepada musuh semata-mata untuk membalas dendam. Nenek moyang kita mengelaskan sikap orang Melayu jenis ini sebagai ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut.’ Orang begini lebih bahaya kerana bermuka-muka dan sukar untuk kenal hatinya. Kejayaan penjajahan adalah kesan pengkhianatan Melayu terhadap bangsa dan negaranya. Tanpa sokongan orang Melayu, penjajah tidak akan begitu mudah menawan negara ini kerana wira-wira Melayu berikrar ‘biar putih tulang jangan putih mata.’ Ada ketikanya antara yang paling sukar dilakukan oleh orang Melayu ialah mewujudkan satu kesepakatan dalam mendepani perbezaan.

Dalam suasana psikik Melayu kini yang lebih materialistik, banyak yang menjadi seperti ‘enau dalam belukar’ yang hanya melepaskan pucuk masing-masing. Apabila berada dalam keadaan kritikal mereka akan menjadi seperti ‘ketam dalam bakul’ yang memijak kawan untuk melepaskan diri tetapi akhirnya semua tidak dapat keluar daripada masalah.

Lupakan kata-kata indah lagi mengkhayalkan, ‘takkan Melayu hilang di dunia.’ Apalah maknanya Melayu terus ada di dunia tetapi kemelayuannya sudah pupus? Lebih baik realistik dengan konsep muafakat cara Melayu. Kata orang tua-tua, yang berat menjadi ringan, yang sukar menjadi senang. Jangan mengulangi kisah yang merugikan bangsa umpama antan dengan lesung bergaduh, ayam yang kekenyangan. Inilah masanya untuk kita menoleh selangkah ke belakang dan meminjam kebijaksanaan silam untuk melangkah ke depan. Sedarlah orang Melayu jangan terlalu berbangga kerana sudah memagar pokok kelapa yang condong tetapi buahnya jatuh ke halaman orang.

Ku Seman Ku Hussain kusemankh@gmail.com Utusan/Rencana/20140518
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments