kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan pedulikan apa orang kata

Kehidupan manusia ini terdiri daripada empat komponen dalam tubuhnya yang perlu dipelihara, (roh, fizikal, akal dan hati). Allah kurniakan kepada manusia akal/minda dan hati. Akal/minda untuk kita berfikir dan belajar. Tetapi, hati membolehkan kita berperasaan atau beremosi. Roh sebagai pemerhati yang memerhati apa yang berlaku kepada kita (fizikal) dan menilai apa yang difikirkan oleh akal/minda, serta menilai apakah perasaan yang ada dalam hati kita.


Dalam hidup, kita peruntukan masa untuk kita melihat dan menilai diri sendiri, bukan sibuk melihat dan menilai orang lain. Jika kita sibuk melihat diri sendiri, kita tidak ada masa untuk mencari kesalahan orang. Apa yang kita fikirkan baik, kita buat dan yang difikirkan buruk kita tinggalkan. Jangan pedulikan pandangan orang dan cakap-cakap mulut orang yang mematahkan semangat kita.

Biarlah kita kelihatan pelik dan unik, kerana ciri-ciri orang yang berjaya, mereka akan melakukan sesuatu perkara yang pelik daripada orang lain. Pengalaman hidup saya, sejak saya bersekolah menengah rendah lagi, saya mempunyai sikap berdikari dan tidak suka hidup ‘ikut-ikut orang.’

Saya tidak peduli apa yang orang kata atau tanggapan orang lain terhadap saya. Selagi apa yang saya lakukan betul, saya akan buat walaupun saya akan melakukannya seorang diri dengan fikiran yang positif, bahawa kejayaan menanti di hadapan saya, insya-Allah.

Sikap ini terbawa-bawa hingga kini, sebagai wanita 50-an saya tetap yakin dengan pilihan kehidupan saya dan dengan izin Allah sikap saya ini banyak membawa kejayaan dalam hidup saya. Sesuatu yang terlintas niat di hati, saya akan laksanakan hingga menjadi kenyataan. Saya tidak suka mencari alasan, tetapi saya suka mencari jalan untuk kejayaan. Alhamdulillah dengan keberkatan Allah dan sokongan daripada suami tersayang, anak-anak, menantu-menantu dan adik-beradik beberapa cita-cita dan impian saya kini telah menjadi kenyataan.

Banyak yang saya belajar daripada pengalaman menceburi sesuatu bidang baharu, yang saya tidak pernah tempuhi dan bukan bidang saya. Tetapi, dengan berkat cinta dan kasih sayang Allah, segala halangan dapat saya tempuhi dengan tabah dan akhirnya pengalaman mengajar dan mematangkan saya.

Untuk mencuba sesuatu yang baharu, jangan terlalu mendengar cakap-cakap orang, yang kadang-kadang mematahkan semangat kita, hingga apa-apa yang kita hendak lakukan selalunya tidak menjadi, kerana ada-ada sahaja yang tidak kena di mata orang.

Kita mungkin boleh ambil iktibar daripada analogi kisah seekor keldai dengan seorang lelaki tua (ayah) dan seorang budak lelaki (anak), yang berlaku pada zaman Nabi. Ketika lelaki tua menunggang keldai itu dan membiarkan anaknya berjalan, orang yang nampak mereka berkata, “Apalah orang tua itu, mementingkan diri, tidak ada rasa belas kasihan, sanggup membiarkan anak kecilnya berjalan sedangkan dia bersenang-lenang di atas keldai tunggangannya."

Mendengar komen orang ramai, lelaki itu memberikan peluang kepada anaknya menunggang keldai dan dia berjalan seiring dengan anak dan keldainya. Orang ramai berkata pula, “Apalah budak itu, sanggup dia membiarkan ayahnya yang tua berjalan, sedangkan dia selesa di atas keldai. Tidak berperikemanusiaan betul budak itu."

Mendengar komen itu, mereka berdua memutuskan baiklah mereka berjalan sahaja bersama-sama mengiringi keldai itu. Tetapi, mereka mendengar orang ramai berkata, “Bodohnya orang tua dengan anaknya itu, ada kemudahan tidak digunakannya."

Akhirnya setelah mendengar komen itu, orang tua dan anak lelakinya bersama-sama menunggang keldai itu. Mereka mendengar orang mengata mereka lagi, “Zalimnya dan pemalasnya orang tua dengan anaknya itu, sanggup dia dan anaknya menunggang keldai yang kecil tubuhnya." Kisah yang berlaku pada zaman Nabi ini, menjadi satu contoh yang terbaik, bagaimana kalau kita bertindak berdasarkan pandangan orang dan apa-apa yang kita buat sering memikirkan, “takut apa orang kata", setiap yang kita lakukan tidak akan menjadi.

Bersambung minggu hadapan » DR. MUHAYA MOHAMAD http://Famili.celikz.com  Fanpage facebook Prof Dr Muhaya twitter@drmuhaya Utusan/Rencana/20140518

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments