kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guna zakat, dana masjid bantu peniaga

Apabila membaca laporan syarikat korporat membayar zakat bernilai beratus-ratus juta ringgit, timbul rasa bangga dan sedih.


Bangga - sebab syarikat kendalian umat Islam negara ini berjaya mengaut keuntungan besar hingga mampu membayar zakat dalam jumlah yang besar juga.

Sedih - apabila melihat masih ramai peniaga Islam/Melayu yang terkial-kial untuk mendapatkan bantuan modal dan ruang untuk berniaga.

Semua orang tahu, nilai wang zakat yang terkumpul di bawah seliaan majlis agama Islam negeri cukup banyak dan bertimbun-timbun. Jika tidak, mana mungkin tersergam indah dan tingginya bangunan milik pusat zakat negeri-negeri.

Banyak orang bertanya, kalau pusat zakat sudah banyak wang, kenapa masih banyak umat Islam negara ini yang hidup melarat dan miskin? Kenapa pelajar sekolah agama dan tahfiz disuruh meminta sedekah?

Kenapa mereka yang memerlukan wang untuk kos perubatan kronik, tercari-cari bantuan. Kenapa bantuan pendidikan daripada majlis agama Islam negeri ada yang lebih mudah daripada negeri lagi satu? Kenapa dibiarkan lot-lot atau ruang perniagaan, baik di pusat bandar baharu atau pusat komersial tidak dibeli oleh badan ini supaya pada kemudian hari boleh disewa oleh umat Islam.

Kenapa, kenapa dan kenapa…?

Alasan yang biasa kita baca dan dengar ialah pihak pusat zakat ada membantu golongan yang hidup susah dan miskin tetapi kena mengikut asnaf. Maknanya bukan semua pihak dapat dibantu sebab ada syarat-syaratnya.

Pusat zakat boleh dianggap sebagai tempat terkumpulnya dana untuk kemajuan ekonomi dan sosial umat Islam di Malaysia. Walaupun sudah banyak yang mendapat manfaat daripada wang zakat, tapi rasanya belum cukup sumbangan pusat zakat dalam membantu memajukan ekonomi ummah pada skala yang besar. Hakikat ini belum nampak lagi.

Isu tipikal yang sering menghantui usahawan dan peniaga Melayu dan bumiputera ialah kesulitan mendapatkan pembiyaan daripada bank atau institusi kewangan, sama ada semasa memulakan perniagaan atau mendapatkan modal tambahan bagi memperluaskan perniagaan yang sedia ada.

Saya bukan ahli agama tapi tertanya-tanya juga kenapa wang zakat tidak diguna untuk membantu peniaga Melayu apatah lagi umat Islam.

Di negara kita memang begitu banyak dana yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Tekun, Mara, Teraju, Tabung Ekonomi Belia, PUNB, Agro Bank, SME Bank, CGC, BSN Makro, Amanah Ikhtiar Malaysia dan macam-macam lagi.

Tidak lama dulu, seorang pembaca ruangan ini, Mohd Sadek Yasin menulis kepada saya mencadangkan supaya majlis agama Islam setiap negeri membeli lot kedai baharu. Sumber modal untuk membelinya boleh diambil daripada wang baitulmal.

Banyak majlis agama Islam membuat pelaburan dalam Kumpulan Perbadanan Johor (KPJ). Jadi tiada masalah jika majlis agama Islam negeri untuk membeli lot-lot kedai pula. Ini salah satu cara untuk mendapatkan pemilikan hartanah supaya boleh disewakan kepada peniaga Melayu/Islam.

Salah satu lagi cara ialah dana yang dimiliki oleh masjid juga boleh digunakan untuk membeli beberapa lot kedai di kawasan kariah.

Lot-lot kedai yang dibeli itu kemudiannya boleh disewakan. Bayaran bulanan lot kedai boleh dikutip melalui derma pada setiap minggu. Perkara ini jika dimaklumkan kepada jemaah kariah masjid, mungkin tiada pihak membantah. Apa yang perlu dibuat ialah memberikan penjelasan kepada kariah tentang tujuan utama membeli lot kedai tersebut.

Mohd Sadek amat yakin ramai anak kariah akan menyumbangkan derma sebab usaha ini akan meningkatkan ekonomi orang Islam setempat. Apa pun, mesti ada perjanjian dengan penyewa tentang bayaran sewa.

Penyewa mesti ada tanggungjawab untuk membayar sewa. Dengan bayaran sewa ini, pihak masjid mampu membeli lebih banyak lagi lot kedai dan secara langsung boleh membantu jemaah kariah yang lain untuk berniaga.


Utusan/Rencana/20140518
Tags: masjid
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments