kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Galak budaya kreatif warga pendidik

GURU Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Mengupas tema Hari Guru 2014 itu, mungkin kita wajar mengkaji semula pera­nan guru dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Bukan apa, dengan pelbagai bebanan tugas sedia ada dipikul guru, mampukah mereka merealisasikan agenda transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang?

Senario kini, guru memikul banyak pera­nan. Selain tugas mendidik, guru perlu membuat perancangan mengajar, persediaan alat-alat mengajar, menyemak buku murid, menanda kertas peperiksaan, menghadiri mesyuarat serta kursus. Selain itu, guru menjalankan tugas-tugas perkeranian seperti urusan buku teks, hal ehwal kebajikan dan disiplin pelajar, menjaga akaun persatuan dan kelas, kegiatan sukan dan kokurikulum.

Penambahan beban tugas sebegini sudah tentu akan membawa kesan kepada mutu dan kualiti pengajaran guru.

Beban tugas yang didefinisikan sebagai tanggungjawab para guru di dalam dan di luar bilik darjah itu boleh diukur dengan melihat jumlah masa diperuntukkan bagi menyelesaikannya. Sejak awal 2012, secara purata guru bekerja selama 10 jam sehari dari Isnin hingga Khamis, namun ada yang pulang lewat sehingga pukul 6 petang.

Kekangan masa menyelesaikan pelbagai tanggungjawab di sekolah juga memaksa guru membawa balik kerja menyemak buku pelajar serta bersengkang mata mengemaskini data-data berdasarkan keperluan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Dilemanya sekarang, bagaimana guru mampu memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif sedangkan dalam masa sama mereka diasak dengan bekerja lebih masa untuk tugas-tugas remeh yang akhirnya menyebabkan mereka semakin tertekan?

Bukan sengaja memperbesarkan isu itu namun bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri pernah mendedahkan bahawa guru terpaksa menanggung bebanan di luar bidang tugas.

Realitinya, dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kreatif, kritis dan inovatif, justeru peranan guru sebagai penggerak generasi intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang terbaik.

Hasrat itu akan berjaya sekiranya guru diberi ruang dan peluang mencukupi untuk membudayakan inovasi sebagai agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan diterajui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menterinya telah mengarahkan agar kajian menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilakukan bagi meringankan beban guru khususnya dalam tugas-tugas perkeranian.

Perkhabaran yang bakal melegakan guru-guru di seluruh negara itu telah dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof kepada media selepas menghadiri Forum Pendidikan sempena sambutan Hari Guru 2014 Peringkat Kebangsaan ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Kajian bersama Jabatan Perkhidmatan Awam telah pun bermula Januari lalu dan akan berjalan sepanjang tahun ini untuk membantu guru daripada terus terbeban dengan tanggungjawab yang pelbagai supaya kita dapat menjayakan PPPM 2013-2025," katanya.

Forum Pendidikan selama dua jam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama kementerian dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dihadiri Khair sebelum itu menjadi satu wahana bertukar pandangan antara tiga ahli panel dengan masyarakat melalui kupasan tema Hari Guru 2014.

Mereka ialah Yang Dipertua Dewan Undang­an Negeri Perak, Datuk Seri SK Devamany; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim; dan Pensya­rah Kanan Jabatan Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr. Jessica Ong Hai Liaw.

Kupasan tema turut berkongsi beberapa dilema guru antaranya keadaan kerja yang tidak kondusif; gaji tidak setimpal; tekanan oleh pengetua, ibu bapa dan masyarakat, serta kesukaran guru menyesuaikan diri menghadapi perubahan ditetapkan pentadbir pejabat pendidikan daerah dan negeri.

Menurut Khair, pihaknya akan terus melak­sanakan program terancang bagi memberi pendedahan tentang kemahiran­ mengajar serta kaedah terkini menyampaikan topik pembelajaran melalui teknologi baharu.

Dari segi pembangunan kerjaya pula katanya, kementerian memberi penghargaan dengan menawarkan kenaikan pangkat lebih­ cepat jika guru dapat membuktikan kecemerlangan tanpa perlu menunggu tempoh lapan tahun seperti ditetapkan.

Devamany pula berharap agar kementerian tidak membuat perubahan dalam tempoh yang singkat di peringkat sekolah, sebaliknya memberi ruang mencukupi bagi sesuatu sistem itu mencapai tahap matang.

Selaku bekas pendidik, beliau faham kesukaran guru untuk bersedia menerima perubahan kerana ia perlu difahami dan dihayati sepenuhnya sebelum dapat diaplikasikan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P).

“Guru diharapkan pelajar mampu mencetuskan ledakan ilmu yang dapat disampaikan dalam suasana kreatif dan inovatif, namun disebabkan kesibukan memasukkan data menerusi sistem yang pelbagai, mereka akhirnya gagal menggarap kesemuanya kerana perubahan berlaku terlalu pantas," katanya.

Pernah berada di dalam ‘kasut’ mereka, Noor Rezan yang juga Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan pula berkata, kurikulum sedia ada tidak harus menjadi penghalang kepada guru untuk berkreatif dalam pengajaran mereka asalkan ia tidak bercanggah dengan dasar pendidikan negara.

“Perasaan takut untuk mencetuskan kelainan harus diketepikan kerana yang pen­ting bagaimana guru boleh merangsang emosi pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya. Beliau percaya ramai guru di negara ini sebenarnya kreatif namun tidak diberi peluang menyerlahkan potensi mereka.

Bagi menggalakkan budaya kreatif di kalangan guru, beliau menyarankan agar kementerian mengangkat hasil inovasi guru yang dimenangi di peringkat antarabangsa ke dalam kurikulum.

Pandangan itu turut disokong Jessica yang berpendapat tunjang kecemerlangan sesebuah sekolah terletak pada sokongan pengetua serta pentadbir di pejabat pendidikan daerah dan negeri agar bersama-sama guru memutuskan hala tuju atau dasar sekolah.

“Guru harus disokong dan bukan disekat daripada cuba melakukan sesuatu di luar kotak pemikiran dalam usaha meningkatkan keupayaan pelajar ‘zero’ kepada ‘hero’ walaupun ia kelihatan agak mustahil untuk dilaksanakan kerana mereka lebih mengenali kelemahan pelajar," katanya. RAJMAH HASAN rencana@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140520

Tags: guru
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments