kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beruang gergasi utusan diplomatik China

BARU-BARU ini, sepasang beruang panda gergasi yang menjadi simbol kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sejak 40 tahun lalu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan menaiki pesawat khas MASkargo dari Dujiangyan, China.

Dua ekor beruang panda gergasi tersebut, Fu Wa dan Feng Yi dipinjamkan kepada Malaysia melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. Haiwan itu dibawa ke Zoo Negara, Hulu Klang untuk dikuarantin selama sebulan bagi tujuan penyesuaian.

Beruang panda gergasi dianggap khazanah China kerana hanya hidup dan membiak di kawasan pergunungan di negara tersebut. Haiwan comel dan seperti anak patung itu juga dianggap sebagai harta kerajaan China walau di mana sekali pun ia berada.

Pancawarna minggu ini melihat kepada program 'Diplomasi Panda' ini termasuk bagaimana ia bermula, tujuan dan kesannya kepada China dan negara yang menerima beruang panda gergasi itu.

Amalan menghantar beruang panda gergasi sebagai hadiah diplomatik dan misi keamanan kepada negara lain bermula di zaman Dinasti Tang apabila Maharaja Wu Zetian (625-705) menghantar sepasang haiwan tersebut kepada Maharaja Jepun, Tenmu Tenno.

Istilah 'Diplomasi Panda' mula muncul pada 1960-an apabila China menghantar beruang panda gergasi sebagai hadiah ke negara luar bagi memperbaiki hubungan antarabangsanya.

Dalam era China moden, penghantaran beruang panda gergasi pertama ke luar negara dibuat pada 1957 apabila pemimpin tertinggi China, Mao Tse-Tung menghadiahkan seekor beruang panda gergasi kepada Soviet Union sebagai tanda penghargaan kerana menjadi negara pertama menjalinkan hubungan diplomatik bagi mengiktiraf kedaulatan Republik Rakyat China.

Dari 1957 hingga hingga 1982, China telah menghantar sebanyak 23 beruang panda gergasi ke sembilan buah negara. Yang paling bersejarah ialah Tse-Tung menghadiahkan sepasang beruang panda gergasi, Ling Ling dan Xing Xing kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Richard Nixon yang membuat lawatan rasmi ke Beijing pada 21 Februari 1972.

Lawatan tersebut merupakan permulaan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara, sekaligus menamatkan hubungan dingin selama lebih 25 tahun. China memilih beruang panda gergasi sebagai hadiah kerana ia merupakan simbolik kepada negara tersebut. China mahu menunjukkan walaupun negara itu kuasa besar, berbeza dan unik, ia tidak perlu digeruni.

China turut menghadiahkan sepasang beruang gergasi, Yen Yen dan Li Li kepada Perancis pada 1973 bagi menjaga hubungan diplomatiknya selepas Perancis merasa terhina kerana AS menerima haiwan itu terlebih dahulu daripada negara itu.

Puluhan beruang panda gergasi yang dihantar sebagai 'utusan keamanan' pada 1980-an dan 1990-an kini hanya mempunyai lima keturunan yang masih hidup iaitu masing-masing seekor di Jepun dan Jerman serta tiga di Mexico.   Utusan/Rencana/20140525 AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI  

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments