kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Khrushchev, punca perbalahan China-Rusia

Seperti yang saya katakan dalam coretan lalu, ucapan Nikita Khrushchev pada Februari 1956 yang membongkar segala keburukan pemerintahan Stalin, telah sampai kepada pengetahuan pemimpin-pemimpin Parti Komunis China (PKC). Berita itu sampai ke peringkat provinsi dan daerah-daerah di seluruh negara China menjelang pertengahan tahun tersebut. Ia juga tersebar luas dalam kalangan cerdik pandai di pusat-pusat bandar dan para cendekiawan di institusi-institusi pengajian tinggi seluruh China.



Demikian juga dalam kalangan para pelajar sekolah menengah. Di China, semasa pemerintahan Mao Tse-tung, kerajaan menetapkan dasar penubuhan persatuan yang disebut Young Pioneers (Perintis Muda) bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan Communist Youth League (Liga Belia Komunis) bagi pelajar-pelajar sekolah menengah walaupun mereka tidak diwajibkan menyertai persatuan-persatuan itu.

Penubuhan badan-badan seperti ini - yang merupakan sayap penting bagi PKC dalam usaha menyebar fahaman komunisme dalam kalangan generasi muda di China - selain daripada dasar pembelajaran wajib bagi mata pelajaran fahaman komunisme di semua sekolah rendah dan menengah. Perbezaannya ialah Young Pioneers dan Communist Youth League berkait sepenuhnya dengan kegiatan politik yang dijalankan oleh bahagian atau cawangan parti komunis di kampung atau bandar di mana wujudnya sekolah berkenaan. Sementara itu, mata pelajaran ideologi komunisme adalah di bawah kendalian pihak sekolah sebagaimana kelaziman dalam sesuatu dasar pelajaran. Ini bererti, semua kegiatan kedua-dua badan itu diaturkan oleh parti komunis.

Ini bermakna, pada zaman Mao Tse-tung, generasi muda di China telah ditanamkan dengan semangat ‘ketaatan’ kepada ideologi komunisme dan parti komunis sejak seseorang itu di bangku sekolah rendah lagi. Pembabitan parti komunis secara langsung sudah pasti memperkukuhkan lagi pendedahan-pendedahan yang dibuat menerusi dasar pelajaran negara. Oleh sebab itu, apabila misalnya, PKC membuat ketetapan tertentu terhadap ucapan Khrushchev itu, dasar parti tersebut akan sampai kepada pelajar-pelajar sekolah di China menerusi ‘persatuan’ yang saya maksudkan itu.

Seperti kata Yang Jisheng, penulis buku Tombstone: The Untold Story of Mao’s Great Famine’: "At that time, I felt no suspicion (about the famine) and completely accepted what had been instilled in me by the Communist Party and the Communist Youth League. I excelled academically, and joined the Young Pioneers in primary school and the Communist Youth League in junior middle school. During the Anti-Rightist Campaign in 1957, I believed the party when it declared rightists to be bad elements." (halaman 7).

Dalam menghadapi kesan-kesan negatif ucapan Khrushchev di China, Jawatankuasa Pusat PKC membuat ketetapan menjauhkan diri, malah menyatakan penentangan secara terbuka terhadap Parti Komunis Kesatuan Soviet (PKKS) dan kepimpinan Khrushchev. Khrushchev dianggap sebagai penderhaka terhadap fahaman Marxisme-Leninisme, bersifat revisionist (petualang) dan capitalist roader (pengikut fahaman kapitalisme) dan - lebih teruk lagi - menyifatkan Khrushchev sebagai pemimpin tertinggi Soviet yang menjadikan dirinya seperti hamba kepada kuasa imperialis Barat.

Reaksi mendadak PKC terhadap ucapan Khrushchev di Kongres ke-20 PKKS pada Februari 1956 itu membabitkan pula jentera pentadbiran parti dan kerajaan di kedua-dua negara. Para birokrat kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara mereka menyentuh soal-soal politik, ideologi dan pentadbiran negara.

Pertelingkahan ini memuncak sehingga bulan Ogos 1960 apabila Khrushchev mengisytiharkan bahawa pihak Soviet telah membuat keputusan memberhentikan semua bantuan kepada China. Bolehlah dikatakan, bermula pada saat terbelahnya (split) hubungan Soviet-China, pergerakan komunis antarabangsa turut terbelah dua, yakni mereka yang menyokong Soviet dan mereka yang menyebelahi China.

Pakar sejarah ada yang mengatakan, walaupun dari segi ‘isinya’ perbalahan China-Soviet itu berlaku kerana adanya perbezaan-perbezaan yang bersifat kebangsaan (yakni kepentingan-kepentingan birokrasi China yang bertentangan dengan kepentingan birokrasi Soviet), pada asasnya ia lebih bersifat perbezaan dari segi perspektif politik iaitu haluan Mao dan haluan Khrushchev yang saling bertentangan.

Mao Tse-tung amat khuatir dengan langkah-langkah Khrushchev. Tse-tung menganggap dasar-dasar China yang telah diperkenalkan sejak kejayaan Revolusi China pada tahun 1949 adalah mengikut acuan Soviet dengan sedikit adaptasi mengikut keadaan di China. Contohnya ialah dasar pertanian collectivisation dan dasar pemusatan kuasa mutlak menerusi sistem pemujaan (cult) pemimpin yang berlebihan (pemujaan terhadap Tse-tung).

Dalam satu pertemuan antara pemimpin-pemimpin kanan PKC dalam bulan Julai / Ogos 1956, yang turut dihadiri oleh Tse-tung, perbincangan telah dibuat tentang dasar Great Leap Forward yang hendak diperkenalkan. Dikatakan, hal ini difikirkan penting lebih-lebih lagi dengan tersebarnya ke seluruh pelosok China isi ucapan Khrushchev itu. Pemimpin-pemimpin lain yang hadir ialah Chow En-lai, Liu Shao-chi, Deng Xiao-ping dan Lin Biao. Chow En-lai waktu itu ialah Perdana Menteri China, sementara Liu Shao-chi bakal menggantikan Mao Tse-tung sebagai Presiden Republik Rakyat China pada tahun 1959 apabila Mao mengosongkan jawatan itu untuk kekal sebagai Pengerusi PKC sepenuh masa. Kedudukan Liu Shao-chi dikatakan penting kerana sekiranya Tse-tung telah menerima pandangan Liu Shao-chi tentang pembangunan ekonomi China, negara itu sepatutnya telah berubah kepada sistem ekonomi pasaran, 20 tahun lebih awal sebelum Deng Xiao-ping memulakannya pada tahun 1979 (tiga tahun selepas kematian Mao Tse-tung).

Dikatakan juga, Liu Shao-chi adalah pemimpin yang berpegang teguh kepada rule of law dan senaskhah Perlembagaan negara sentiasa ada di dalam poket seluarnya, apatah lagi semasa beliau menghadiri mesyuarat-mesyuarat rasmi menyentuh parti atau kerajaan.

Sementara Lin Biao pula, selain rakan sejati Mao Tse-tung sejak awal Revolusi China, beliau telah terbabit dalam satu komplot menjatuhkan Tse-tung pada awal tahun 1970 dan terbunuh pada 1971 semasa cuba melarikan diri apabila pesawat yang dinaikinya jatuh terhempas di seberang Mongolia yang bersempadan dengan China.

Saya menyebutkan empat orang pemimpin kanan PKC ini - selain daripada Mao Tse-tung sebagai ‘pemain utama’ - kerana merekalah yang memainkan peranan penting dalam menentu atau ‘membantu’ Mao Tse-tung menentukan dasar-dasar China pada tahun-tahun 1960-an sehingga kematian Tse-tung tahun 1976.

Seperti saya jelaskan dalam coretan yang lalu, Mao Tse-tung dalam tahun 1960-an menghadapi keadaan di mana tidak semua pemimpin kanan PKC sehaluan dengannya. Chou En-lai, Liu Shao-chi dan Deng Xiao-ping adalah kumpulan yang tidak sehaluan dengan Mao Tse-tung. Lin Biao pula mengetuai pihak yang - sekurang-sekurangnya pada zahirnya - mahu ‘sehidup semati’ dengan Tse-tung. Mereka termasuk isteri Mao Tse-tung, bernama Jiang Qing yang dengan dorongan suaminya juga telah mula ‘menjinak-jinakkan’ dirinya dengan pergolakan politik China pada awal tahun 1960-an. Jiang Qing banyak dikisahkan menerusi kumpulan yang dinamakan Gang of Four, terdiri daripada isteri Mao Tse-tung itu dan tiga pemimpin parti yang lain iaitu Wang Hong-wen, Yau Wen-yuan dan Zhang Chung-qiao.

Dalam drama politiking di China sekitar tahun 1960-an itu sehingga ke penghujung umur Mao Tse-tung, geng empat anggota ini bersekutu pula dengan Lin Biao dalam menghadapi puak yang tidak sehaluan dengan Tse-tung itu. Dan, seperti saya katakan dulu, Mao Tse-tung sangat bijak ‘memperdayakan’ semua mereka ini dalam usaha dan strategi licik beliau untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai ketua parti.

Apakah kesudahannya pertemuan Mao dengan pemimpin-pemimpin kanan PKC pada Julai / Ogos 1956 itu? Saya akan mengisahkannya dalam coretan akan datang.



ABDUL RAHIM NOOR Utusan/Rencana/20140525
Tags: cina, komunis, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments