Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pada tahun ini, 20,000 guru akan menjalani latihan dan kursus kemahiran, berbanding hanya 5,000 tahun lalu.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, berkata usaha itu penting untuk meningkatkan kualiti dan mutu pengajaran BI seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
“Usaha kementerian adalah bagi memastikan pelajar bukan sahaja dapat menguasai Bahasa Malaysia, malah turut dapat menguasai BI dan perkara itu turut menjadi harapan ibu bapa.
“Pada masa sama, kita juga akan memberi fokus untuk peningkatan penguasaan subjek Sains dan Matematik,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014 di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, PPPM yang dilancarkan tahun lalu untuk meningkatkan sistem pendidikan negara mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat.
PPPM dirancang secara strategik dengan mengambil kira pandangan hampir 70,000 orang menerusi sesi perbincangan, memorandum dan bengkel yang turut membabitkan penyertaan pakar dari dalam dan luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM7 juta kepada STF dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pembinaan dewan serbaguna dan sebuah blok asrama empat tingkat yang baharu.
Berita Harian Nasional 2014/05/28 - 08:05:00 AM