Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada tahun lalu, 5,000 guru telah dilatih semula manakala pada tahun ini, 20,000 orang bakal dilatih dalam usaha mencapai hasrat tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, usaha tersebut penting dalam meningkatkan mutu dan kualiti Bahasa Inggeris seiring dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
"Penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah adalah amat penting malah perkara ini turut menjadi keutamaan bagi setiap ibu bapa.
"Pihak kementerian akan turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti dan mutu pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik," katanya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kementerian juga mahu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah bersifat holistik yang turut merangkumi pembangunan modal insan.
"Untuk membangunkan generasi yang cemerlang secara keseluruhan, kita tidak boleh hanya memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik, ia perlu diikuti dengan pembangunan sahsiah, etika dan nilai moral tinggi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada STF yang berjaya muncul Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 sekali gus menerima tujuh Anugerah Platinum dan tiga Anugerah Perak selain Anugerah Emas hasil pencapaian semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Kementerian turut bersetuju memberi peruntukan RM7.7 juta kepada STF dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi pembinaan sebuah dewan serbaguna dan blok asrama yang baharu. MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI pengarang@utusan.com.my Utusan/Dalam_Negeri/20140528