HARI ini, 75 tahun lalu, sekumpulan anak muda bersemangat waja mengambil inisiatif menubuhkan sebuah akhbar yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu untuk memperjuangkan kebajikan dan nasib masa depan bangsa. Maka, pada hari bersejarah itu, 29 Mei 1939, lahirlah akhbar bertulisan jawi, Utusan Melayu dengan modal sumbangan orang Melayu sebanyak RM12,500.
Dasar-dasar penjajah dan tekanan yang dihadapi oleh orang Melayu di zaman penjajahan itu memperkuatkan iltizam dan keazaman orang Melayu untuk memiliki satu platform media sebagai saluran menentang penjajah dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Rancangan penubuhan akhbar orang Melayu itu sebenarnya bermula kira-kira setahun sebelum itu hasil perbincangan 20 orang Melayu di Singapura. Penubuhan akhbar Utusan Melayu pada hari ini adalah hasil pengorbanan orang Melayu pada masa itu atas kesedaran untuk mewujudkan satu wadah perjuangan bangsa.
Kelahiran akhbar di atas keringat dan air mata orang Melayu itu menandakan bermulanya satu era perjuangan baharu bangsa yang seterusnya membawa kepada penubuhan UMNO, penentangan Malayan Union dan merintis jalan ke arah kemerdekaan pada 1957.
Jangka masa 75 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Sepanjang usia itu, banyak perubahan sosial dan politik berlaku terhadap negara yang telah mencapai kemerdekaan dan kini bergerak ke arah negara maju. Dan akhbar jawi Utusan Melayu bukan sekadar saksi penting kepada segala perubahan itu, malah menjadi sebahagian daripada penggerak dan pemacu kemajuan negara.
Sejak penubuhannya, Utusan Melayu tidak pernah lari dari landasannya memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu walaupun diasak dari segenap penjuru. Akhbar ini sentiasa berada dibarisan hadapan dalam membela nasib dan masa depan bangsa.
Banyak ranjau dan duri telah dilalui oleh akhbar yang begitu besar jasanya kepada orang Melayu ini. Perubahan dasar pendidikan negara pada akhir 1960-an memberi kesan besar kepada akhbar ini apabila mata pelajaran jawi tidak lagi berada dalam arus perdana pendidikan negara.
Hampir serentak dengan itu juga, akhbar rumi Mingguan Malaysia diterbitkan pada Ogos 1964 dan tiga tahun kemudian, akhbar harian rumi Utusan Malaysia menyusul. Kemunculan kedua-dua akhbar rumi ini memberi kesan kepada akhbar jawi Utusan Melayu apabila para pembaca mula beralih arah.
Demikianlah nasib yang dialami oleh akhbar jawi Utusan Melayu. Akhbar yang banyak jasanya kepada orang Melayu itu kehilangan pembaca sedikit demi sedikit. Syarikat pula terpaksa menanggung kerugian. Dan pada 26 Januari 2006 ekoran tiada sambutan dan kekurangan pembaca, akhbar itu diberhentikan penerbitannya.
Namun, atas dasar tanggungjawab sosial dan memegang amanah bangsa, syarikat Utusan Melayu mengambil inisiatif menerbitkan semula akhbar jawi tersebut sebagai akhbar mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan. Penerbitan akhbar mingguan ini adalah dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) pada masa itu dan Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, ekoran kekangan kewangan dan kurang sambutan, akhbar ini sekali lagi terpaksa melakukan transformasi dengan menghentikan edisi cetaknya pada Julai 2013.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, akhbar jawi Utusan Melayu kini diterbitkan sepenuhnya dalam edisi digital melalui akhbar elektronik (e-paper) yang boleh dilayari melalui www.utusan.com.my.
Di usia emas ini, akhbar Utusan Melayu tidak lagi seperti zaman kegemilangannya. Hadirnya sekadar memenuhi tanggungjawab sosial. Namun, warisan Melayu perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Walaupun terpaksa berjuang bersendirian, tulisan jawi akan terus dimartabatkan di persada bangsa.
Menyorot perkembangan tulisan jawi di negara ini, dengan usianya bertapak lebih 700 tahun lalu bermula penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada 1303 Masehi, pelbagai kesulitan dan pancaroba ditempuhinya sehingga ke hari ini. Awal abad ke 20, ia menjadi medium penting dalam perkembangan persuratkhabaran Melayu di Tanah Melayu.
Kira-kira 10 buah akhbar Melayu bertulisan jawi muncul selepas Jawi Peranakan. Daripada jumlah tersebut, hanya akhbar jawi Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura masih kekal dan bertahan sehingga ke hari ini walaupun tidak lagi diterbitkan secara harian.
Begitulah perjalanan sebuah akhbar Melayu yang pernah berjuang mengangkat martabat bangsa dan negara. Sebuah akhbar yang mencetuskan api perjuangan kemerdekaan, membentuk kesedaran, mempertahankan hak dan maruah bangsa serta memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju pembangunan negara.
Setelah 67 tahun mengungguli dunia persuratkhabaran Melayu, akhbar bertulisan jawi ini tidak lagi "mekar" di hati bangsa Melayu sendiri. Tulisan jawi yang penuh dengan jati diri bangsa tidak lagi dibawa ke dalam arus perdana semasa. Amat sedih melihat sebuah kematian khazanah bangsa di hadapan mata sendiri.
Tidak ada lagi sejarah yang hendak ditunjukkan kepada generasi baru. Tidak ada lagi sesuatu yang boleh dibanggakan mengenai tulisan warisan bangsa Melayu. Tidak ada lagi warisan dan pusaka yang boleh diwarisi oleh anak-anak bangsa. Semuanya tenggelam di arus zaman
Ironinya, dalam masa sama, negara menyaksikan kelahiran banyak akhbar berbahasa Cina dan Tamil. Ini membuatkan kita terfikir sejenak, kenapa orang Melayu (termasuk bumiputera) yang jumlahnya hampir 20 juta orang (statistik 2011) tidak dapat mempertahankan satu-satunya akhbar jawi, tulisan nenek moyang mereka.
Sedangkan, orang Cina yang jumlahnya hanya enam juta orang dapat "menghidupkan" sekurang-kurangnya 15 akhbar dalam tulisan Cina dan orang India pula dengan jumlah dua juta orang mempunyai sekurang-kurangnya tujuh buah akhbar Tamil.
Apakah ertinya semua ini? Semuanya berbalik kepada jati diri sesuatu bangsa itu sendiri. Bangsa yang kuat ialah bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi sejarah dan peradaban mereka. Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang sentiasa menghargai khazanah dan budaya bangsa mereka.
Setiap orang Melayu sepatutnya meletakkan soal memperjuangkan tulisan jawi dan akhbar jawi sebagai satu jihad bangsa. Bangsa yang maju tidak akan melupakan akar budi dan jati diri bangsa. Jika bangsa kita boleh berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dalam banyak hal, kenapa tidak dalam soal memartabatkan tulisan jawi?
Jika kerajaan boleh memperuntukkan jutaan ringgit untuk perkara-perkara lain, kenapa tidak diberi perhatian sewajarnya kepada mendaulatkan tulisan jawi? Tidak bolehkan ahli-ahli politik Melayu menggunakan pengaruh mereka ketika masih berkuasa, melakukan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan tulisan orang Melayu ini?
Persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan segera. Kita tidak boleh lagi membiarkan tulisan jawi hanyut tidak bertepi. Kita akan berdosa kepada generasi anak bangsa akan datang. Sesuatu mesti dilakukan segera. Kemajuan dan kemewahan yang dikecapi oleh bangsa dan negara hari ini sebahagiannya adalah kerana perjuangan yang dibawa oleh Utusan Melayu.
Dirgahayu Utusan Melayu! Mohd Kamil Yusuff ialah Pengarang Utusan Melayu Mingguan. Utusan/Rencana/20140529