kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UiTM lambang maruah bangsa

RAMAI yang tersentap dengan kenyataan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu.


Sesetengahnya bahkan menganggap kenyataan gadis yang mendapat ijazah dari UiTM itu sebagai melampau dan diumpamakan kacang lupakan kulit.

Penubuhan UiTM termaktub di bawah Akta 173 atas dasar semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Sehingga kini, terdapat 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Maka apa yang didakwa oleh Dyana Sofya bahawa UiTM hanya untuk orang Melayu adalah salah kerana pelajarnya juga terdiri daripada bukan Melayu iaitu pribumi Sabah dan Sarawak.

Penubuhan UiTM juga selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berhasrat mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia .

Perlu diingat bahawa toleransi dalam institusi pendidikan yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum menyebabkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan bumiputera.

Malangnya kontrak sosial ini sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini dilakukan dengan kewujudan UiTM malah Seri Paduka Baginda juga ialah Canselor UiTM.

Jadi apa motif kenyataan calon DAP Teluk Intan berkenaan? Kenapa kenyataan sebegini dilemparkan sedangkan UiTM telah wujud sejak 1956 lagi. Adakah kerana ingin meraih undi daripada pengundi bukan Melayu?

UiTM telah melalui perkembangan yang amat pesat sejak mewarnai sektor pengajian tinggi dan terus mengembangkan sayapnya ke seluruh negara melalui 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit dan 21 buah kolej bersekutu serta sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.

Dengan tenaga kerja kira-kira 17,000 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan lebih 300 program akademik dalam suasana yang kondusif dan ceria. Ia juga menjadi rumah kedua bagi hampir 172,000 orang pelajar.

Memang tidak dinafikan bahawa UiTM sangat komited dalam membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik tertinggi, juga dalam persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Wawasannya ialah untuk memupuk kesarjanaan dan membina kecemerlangan akademik, agar mampu memimpin dalam apa juga arena.

Sebenarnya, UiTM sejak 1980 lagi telah membantu pelajar bukan Melayu termasuk Cina dan India dalam program pra-luar negara (INTEC UiTM). Program kerjasama JPA/Mara/Petronas telah menghantar puluhan ribu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan sebagainya.

Begitu juga program A-Level di Jerman melibatkan ribuan pelajar bukan Melayu. Fakta ini menunjukkan bahawa UiTM telah lama membantu pelajar bukan Melayu dalam pendidikan nasional.

Dyana Sofya mendakwa UiTM bukan milik UMNO atau Barisan Nasional (BN) lantas para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu.

Hakikatnya, memang UiTM ditubuhkan oleh pejuang UMNO. Malah ITM dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak manakala pengisytiharan naik taraf universiti dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai orang yang berterimakasih dan bersyukur, pelajar menginsafi bahawa banyak jasa UiTM kepada umat Melayu. Sememangnya tiada mana-mana akta atau arahan bahawa pelajar UiTM perlu terikat dengan parti. UiTM tetap mendokong demokrasi. Namun atas dasar orang yang tahu mengenang budi dan tahu membalas budi maka menjadi hak pelajar untuk menyokong BN dan UMNO.

Sementelah pemerintah Kerajaan Pusat sekarang adalah Kerajaan BN sejak dahulu hingga kini, maka UiTM akur dan mempunyai aspirasi yang sama.

Tuduhan calon DAP Teluk Intan ini bahawa pelajar UiTM datang daripada ibu bapa yang kaya dan berpendapatan tinggi juga melulu dan tidak berasas sama sekali. Semua maklum bahawa UiTM sememangnya diwujudkan untuk membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang kurang berkemampuan membaiki potensi diri.

Tidak cukup dengan itu, program pra-diploma khusus untuk mereka yang kurang bernasib baik diwujudkan dan setakat ini lebih 55,000 graduan dihasilkan oleh program ini.

Program Destini Anak Bangsa (MDAB) khusus untuk pelajar miskin tegar melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-diploma pula diperkenalkan sejak 2010 dan telah menghasilkan 35,000 alumni.

Program ini berjaya menyelamatkan anak bangsa yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada terabai.

UiTM juga membantu penubuhan MDAIM khusus untuk anak-anak kaum India dengan kerjasama MIC, di samping program serupa Mengubah Destini Anak Orang Asli.

Kini UiTM berbangga kerana mempelopori program khusus untuk anak miskin di bawah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai bekas pelajar UiTM, Dyana sepatutnya lebih memahami alma maternya.

Kita harap tiada lagi suara sumbang yang keluar dari mulutnya atau mulut sesiapa sahaja yang hanya akan meningkatkan sentimen perkauman dan perpecahan sesama kaum di Malaysia.

Janganlah dek kerana mengejar populariti, nasib anak bangsa digadai dengan kenyataan yang tidak berasas.

Prof. Madya Dr. Ismail Sualman ialah penganalisis politik. Utusan/Rencana/20140530

Tags: uitm, universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments