kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Legasi kehakiman Sultan Azlan Shah

SEBELUM Almarhum Sultan Azlan Shah naik takhta sebagai Sultan Negeri Perak, Almarhum sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan kehakiman negara dari peringkat paling bawah (Majistret Kelas I) hinggalah peringkat paling tinggi selaku Ketua Hakim Negara.

Saya tidak pernah berkhidmat di bawah baginda, juga tidak berpeluang berinteraksi dengannya sewaktu Almarhum memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan jawatan-jawatannya yang lebih tinggi.

Sewaktu Almarhum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1965 (pada usia 37 tahun), saya belum pun menjejak kaki di Lincoln's Inn London, di mana Almarhum menamatkan pengajian undang-undangnya pada 1954.

Pada 1973, bila Almarhum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, saya baru sahaja berkhidmat di Jabatan Peguam Negara selama tiga tahun.

Bila Almarhum dinaikkan pangkat ke jawatan Hakim Besar Malaya pada 1979, saya sudah pun meninggalkan Jabatan Peguam Negara untuk mencuba nasib sebagai Peguambela dan Peguamcara.

Akhir sekali bila Almarhum sampai ke kemuncak kerjayanya, di lantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982, saya sudah pun bersiap sedia berhijrah ke menara gading.

Walaupun saya tidak berkesempatan mengenali Almarhum Sultan Azlan Shah dari dekat (berbeza dengan nasib saya dapat kenal rapat dengan Allahyarham Tun Suffian Hashim dan Tun Salleh Abas, kedua-duanya mantan Ketua Hakim Negara) namun kata-kata bijaksana yang diucapkan oleh Almarhum selaku hakim terus dekat di hati saya.

Begitu banyak sekali penghakiman Almarhum baginda sebagai hakim yang saya rujuk, sebut, komen dan perjelaskan - dalam buku, monograf, rencana, kuliah, syarahan umum dan bengkel undang-undang yang saya kendalikan dari semasa ke semasa.

Pendek kata, saya berani menyatakan dengan penuh yakin bahawa selagi ada rakyat negara ini yang mempelajari ilmu undang-undang, berkarya sebagai pengamal undang-undang, turun-naik mahkamah mewakili anak guamnya, Almarhum Sultan Azlan Shah akan kekal hidup dan ‘terus bercakap’ menerusi penghakimannya kepada semua - pelajar, warga peguam dan hakim-hakim kita.

Legasinya yang tidak ternilai akan terus bermakna dan dimanfaatkan.

Salah satu kes terpenting dalam perundangan tanah negara yang diputuskan oleh Almarhum sebagai hakim bicara adalah kes Sidek & 461 Ors lwn. Kerajaan Negeri Perak [1982] 1 MLJ 313, yang melibatkan penerokaan kawasan hutan dekat Teluk Intan oleh sekumpulan rakyat yang tidak bertanah.

Plaintif dalam kes ini merupakan perintis (kumpulan pertama) yang menerokai kawasan hutan itu, diikuti oleh ramai lagi selepasnya. Walaupun pada mulanya plaintif diberi maklum bahawa kumpulannya akan dikurniakan tanah di kawasan yang mereka terokai itu, akhirnya hajat mereka tidak kesampaian.

Dalam kes ini, isu utama yang perlu diputuskan oleh hakim bicara adalah status setinggan dalam undang-undang negara. Di akhir perbicaraan, Almarhum (selaku hakim bicara) memutuskan bahawa; "Setinggan tidak ada apa-apa hak di sisi undang-undang atau pun ekuiti".

Keputusan Almarhum ini terus diikuti dan dipetik oleh begitu ramai sekali hakim lain selepasnya apabila ada sahaja kes setinggan sampai ke mahkamah.

Satu lagi keputusan Almarhum yang tidak boleh saya lupakan adalah kes Roberts lwn. Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163. Ketika Almarhum mendengar kes ini, baginda baru sahaja memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi.

Isu utama dalam kes ini berkisar kepada hak seorang suami terhadap harta (sebidang tanah) yang didaftarkan atas nama isteri, selepas pasangan itu bercerai. Plaintif dalam kes ini ialah seorang bukan Melayu tetapi telah memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan defendan.

Penghakiman Almarhum dalam kes ini merupakan permulaan undang-undang harta sepencarian moden, yang selepas itu terus dikembangkan oleh hakim-hakim lain.

Kini kes-kes harta sepencarian tidak lagi dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Namun kes Ummi Kalthom terus menjadi salah satu kes rujukan penting mengenai harta sepencarian.

Peluang tunggal untuk saya bertemu dengan Almarhum timbul apabila saya selesai melaksanakan satu tugas berat untuk Yayasan Tun Suffian.

Sekitar 2005 saya diminta oleh yayasan itu menulis sebuah buku ilmiah mengenai kerjaya Allahyarham Tun Suffian semenjak tokoh tersohor itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sehinggalah selepas dia bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara.

Saya terima tugas berat itu dengan sukarela kerana saya memang kenal beliau semasa hayatnya.

Setelah buku itu siap dicetak pada 2007, saya dimaklumkan bahawa projek penerbitan Yayasan Tun Suffian (karya saya) itu akan dilancarkan dengan rasminya oleh Sultan Azlan Shah.

Peristiwa paling bermakna itu berlangsung di Carcosa Seri Negara Kuala Lumpur, turut dihadiri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim (ketika itu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Tun Mohamed Dzaidin (mantan Ketua Hakim Negara, selaku Pengerusi Yayasan Tun Suffian) dan Tunku Datuk Dr. Sofiah Jewa (pengasas Yayasan Tun Suffian).

Itulah kali pertama saya diberi penghormatan duduk di atas pentas bersama Almarhum Sultan Azlan Shah (serta orang kenamaan yang saya sebutkan di atas tadi), sebelum buku mengenai Tun Suffian itu dilancarkan dengan rasminya oleh baginda.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Almarhum. Amin.

Salleh Buang ialah penganalisis undang-undang. Utusan/Rencana/20140531

Tags: hakim
Subscribe

  • Education is a learning curve

    TERTIARY level students, especially those in their final year, are a step away from graduation and have one foot in the working world. I must admit…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • Do academic understand ‘unwrapping standards’?

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are able to…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments