kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mahu beli kelab bola sepak?

KETIKA mula pecah berita Tan Sri Tony Fernandes diuar-uar membeli sebuah kelab bola sepak Inggeris dulu, terdetik juga di hati 'alangkah bagusnya kalau Tony membeli Liverpool FC’. Tetapi tidak mungkin. Tony penyokong tegar West Ham United. Dan bilionair Malaysia ini membeli Queens Park Rangers.

Bukan apa. Kalaulah Tony memiliki Liverpool FC, mungkin akan ada penerbangan murah dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa John Lennon di Liverpool. Dan jaminan kapten Steven Gerrard akan beraksi dengan jersi tertera nama AirAsia - jenama yang lahir di Malaysia oleh anak Malaysia. Tetapi Tony memilih QPR.

Bilionair Malaysia dalam arena Liga Perdana Inggeris bukan setakat Tony tetapi juga Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang memiliki kelab Cardiff City. Nasib kedua-duanya berbeza musim akan datang. QPR berjaya kembali ke Liga Perdana tetapi Cardiff turun ke Liga Kejuaraan (Championship).

Menurut laporan, Tony membayar £650 juta (RM3.2 bilion) untuk menguasai 66 peratus kepentingan dalam QPR manakala Vincent Tan melabur £786 juta (RM3.9 bilion) untuk 51 peratus ekuiti dalam Cardiff.

Jangan lupa bahawa Tony adalah peminat setia West Ham United. Dia pernah cuba membeli 51 peratus kepentingan dalam kelab di timur London itu pada 2011 tetapi tidak berjaya. Tiga bulan kemudian, Tony mengambil alih QPR yang baharu dinaikkan ke Liga Perdana.

Jadi kenapa Tony membeli QPR? Sama seperti Vincent Tan dan pemilik-pemilik yang bukan berasal dari United Kingdom (UK), jawapannya ialah pemilikan kelab sekarang amat berkait rapat dengan perniagaan.

Sejak arena bola Inggeris bertukar menjadi profesional pada 1992 menerusi Liga Perdana Inggeris, struktur kewangan bola sepak telah melangkau nilai £1 juta atau RM5 juta. Tetapi yang nyata, membeli kelab bola sepak bagi seorang pelabur tetap terdedah kepada isu untung rugi daripada segi pulangan modal. Walaupun kini kelab-kelab bola sepak menikmati perolehan daripada hak penyiaran televisyen dan pelbagai penajaan, kelab-kelab tersebut masih bergelut untuk mencatat keuntungan, apa lagi keseimbangan kewangan. Persoalan ini masih menjadi kajian dan perbincangan kerana situasi itu nyata bertentangan dengan matlamat utama Liga Perdana ditubuhkan iaitu menstabilkan kedudukan kewangan kelab.

Menurut Kajian Tahunan Kewangan Bola sepak oleh firma Deloitte yang terbaharu, hanya separuh daripada kelab Liga Perdana mencatatkan keuntungan operasi bagi musim 2012-2013. Ia tidak merangkumi perbelanjaan bersih pembelian dan penjualan pemain.

Secara keseluruhannya, keuntungan operasi bagi 20 pasukan Liga Perdana hanyalah empat peratus daripada perolehan, dan apabila dikira dengan kos bersih jual beli pemain dimasukkan, terdapat kerugian bersih keseluruhannya.

Liga bawahan daripada Liga Perdana iaitu Championship, hanya tiga kelab mencatatkan keuntungan dan hanya lima beroleh keuntungan apabila dagangan pemain dimasukkan.

Angka-angka di atas menimbulkan persoalan kerana kebanyakan kelab besar England dimiliki dan ditadbir urus oleh ahli perniagaan berjaya dalam industri masing-masing.

Lagi pun, kelab-kelab Inggeris mendapat permintaan tinggi daripada pelabur asing, dengan 11 daripada 20 kelab Liga Perdana pada ketika ini dimiliki oleh bukan rakyat UK. Dan 13 daripada 24 pasukan Championship juga dimiliki pelabur asing.

Jadi, jika susah benar hendak meraih keuntungan, mengapa masih ramai bilionair membeli kelab bola sepak?

Satu faktor jelas ialah faktor 'hati’. Mike Ashley, pengerusi kelab Newcastle United dan pemilik rantaian kedai peralatan sukan, Sports Direct seolah-olah tidak peduli pun dengan fakta dia tidak akan mendapat pulangan daripada £200 juta (RM1 bilion) yang dipinjamkannya kepada kelab. Faktanya, dia adalah penyokong setia NUFC.

Itu Mike yang merupakan anak jati Newcastle. Apa pula alasan bagi pelabur asing? Pengambilalihan Chelsea oleh Roman Abramovich, bilionair Rusia pada 2003 akan kekal sebagai detik permulaan pelaburan 'gila-gila' dalam arena bola sepak dunia. Sehingga kini Roman dilaporkan sudah membelanjakan £1 bilion (RM5 bilion).

Mengikuti jejak langkahnya ialah bilionair dari Abu Dhabi, Sheikh Mansour yang telah melabur hampir £1 bilion semasa membeli Manchester City pada 2008.

Kebanyakan dana pelaburan yang memasuki dunia bola sepak datangnya dari Asia Barat. Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar misalnya, telah membeli kelab ternama Perancis, Paris St. Germain pada 2011.

Menurut Deloitte, tujuh daripada 20 kelab terkaya di dunia ditaja oleh syarikat penerbangan Arab termasuk Barclelona (Qatar Airlines), Real Madrid, Paris St. Germain, Arsenal, AC Milan (Fly Emirates) dan Manchester City (Etihad).

Malah, pertembungan Manchester City dengan Arsenal dimomok oleh penulis sukan sebagai pertarungan Abu Dhabi (Etihad) menentang Dubai (Fly Emirates).

Ketiga-tiga negara Emeriah Arab Bersatu (Dubai dan Abu Dhabi), Qatar dan Bahrain adalah negara kecil tetapi merupakan negara Teluk Arab yang kaya-raya serta memiliki cita-cita global. Bola sepak dilihat sebagai kaedah penting untuk meluaskan jenama mereka.

Secara umumnya, sumber kewangan bagi kelab bola sepak ialah hak penyiaran televisyen, penajaan komersial dan kutipan tiket perlawanan.

Keluarga Glazer membeli Manchester United pada 2006, dengan menyatakan nilai jenama global MUFC adalah penjana wang tunai dan menawarkan pelbagai peluang untuk terus berkembang.

Kos membeli kelab dibebankan kepada kelab itu sendiri, dengan perolehan yang dijananya digunakan untuk membayar hutang dan kadar faedah pinjaman yang diguna oleh Glazer semasa membeli MUFC.

Rizab

Arsenal, satu lagi kelab terkemuka England, dikatakan memiliki rizab tunai melebihi £120 juta. Dalam kes ini, pelabur Amerika Stan Kroenke, yang menguasai 63 peratus saham dalam kelab, tentunya menikmati dividen yang sangat besar.

Namun, dividen bukan satu-satunya cara untuk mencatat keuntungan daripada kelab bola sepak. Apabila spekulasi tercetus mengenai konsortium Asia Barat bersedia membayar £1.5 bilion untuk Arsenal, Kroenke dianggarkan mampu meraih pulangan modal berjumlah £400 juta.

Oleh itu, peningkatan perolehan boleh menambah nilai sesebuah kelab, sama seperti entiti perniagaan lain. Dalam Liga Perdana Inggeris, perolehan komersial telah tumbuh pesat sejak kebelakangan ini, dengan kelab-kelab meraih laba daripada populariti meluasnya di peringkat global.

Perjanjian penajaan kini melangkaui sekadar jersi dan pakaian tetapi telah meluas hingga kepada hak menamakan stadium.

Tetapi tidak semua aspek komersial akan diterima oleh para penyokong. Contohnya Newcastle United apabila Mike menukar nama stadium St. James Park (yang telah diguna sejak 1892) kepada Sports Direct Arena.

Kes serupa berlaku pada Cardiff City sepanjang musim lalu. Langkah Vincent Tan untuk menukar jersi dari biru kepada merah dan logo dari burung kepada naga telah menimbulkan bantahan para penyokong, walaupun Vincent bermatlamat untuk meningkatkan pasarannya di Asia.

Musim 2013/2014 sudah berakhir. Tidak lama lagi Piala Dunia akan bermula. Saya menyokong England yang dibarisi majoriti pemain Liverpool. Dan juga Uruguay. Johardy Ibrahim Utusan/Rencana/20140601

Tags: bolasepak
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments