kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kit Siang, Guan Eng patut dipersalahkan?

TIDAK pernah DAP meminta pengiraan semula. Tetapi itulah yang terjadi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang akhirnya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong.


Meskipun undi yang dimenangi Siew Keong ke atas calon Melayu DAP, Dyana Sofya agak tipis namun kekalahan DAP kali ini menyaksikan sebilangan pengundi Cina mula menampakkan sikap meluat terhadap parti itu.

Mereka sudah bosan dengan tindak tanduk Dinasti Lim yang dipelopori Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.

Nampaknya benarlah seperti ingatan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz ke atas Kit Siang. Jangan sesekali gunakan calon Melayu sebagai boneka. Inilah padahnya.

Di sebalik itu, sebenarnya sudah berkali-kali DAP Perak yang diterajui oleh pasangan sepupu, Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham menentang keras calon payung terjung, Dyana Sofya sebagai calon di Teluk Intan. Namun Kit Siang mengetepikan bantahan itu. Telahan Kor Ming dan Koo Ham turut mendapat sokongan daripada akar umbi DAP negeri itu yang tidak menyenangi keputusan Kit Siang. Dipercayai, keputusan mencalonkan Dyana Sofya hasil cadangan Tony Pua dan Guan Eng.

PRK Parlimen Teluk Intan jelas memperlihatkan keangkuhan puak Dinasti Lim membelakangi bantahan majoriti ahli DAP Perak yang mahukan anak tempatan dan bukan setiausaha politik Kit Siang - seorang gadis yang masih mentah.

Walaupun hakikatnya Kit Siang dikatakan mahu menonjolkan imej baharu DAP ke arah pendekatan merentasi kaum dengan meletakkan Dyana Sofya namun hasrat tersembunyi berkemungkinan untuk memastikan dinasti Lim berkuasa di Perak - yang sebelum ini sukar dirampas daripada pasangan sepupu itu.

Permainan Kit Siang ini kononnya sebagai 'percaturan' untuk memberi nafas politik generasi baharu melalui kemenangan Dyana Sofya, sekali gus dapat melemahkan kuasa DAP Perak, diterajui Kor Ming dan Koo Ham yang dikatakan sering menentang puak 'arus perdana' DAP.

Antara asas kukuh pasangan sepupu ini menolak Dyana Sofya ialah dia bukan orang tempatan, dipulaukan oleh ahli

DAP tempatan, bertanding di kawasan tradisi majoriti orang Cina dan lawannya ialah Siew Keong selaku Presiden

Gerakan yang juga bekas penyandang dua penggal Parlimen Teluk Intan selain pernah dicalonkan bertanding sebanyak empat penggal.

Kebimbangan Kor Ming dan Koo Ham ini adalah sejauh mana kredibiliti Dyana Sofya mampu menyumbang nisbah kemenangan parti? Begitupun, puak keluarga Lim berpendapat, bukan sukar untuk diramal kerana DAP telah memperoleh 37 kerusi Parlimen. Justeru menang atau tidak kerusi Parlimen Teluk Intan, ia langsung tidak menjejaskan parti.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, beliau langsung tidak terkejut dengan setiap tindakan Dyana Sofya yang mempersoalkan kepentingan orang Melayu dan Islam kerana kesemua itu bukanlah kehendak atau suara hatinya. Sebaliknya itulah yang kehendaki oleh ‘tokong-tokong’ dalam parti itu.

“Sekiranya orang Cina yang mempersoalkan kepentingan orang Melayu, maka semua orang Melayu akan bangkit marah. Namun, sekiranya ‘dipergunakan’ orang Melayu untuk mempersoalkan hak orang Melayu, apakah yang akan berlaku? Berlaku perpecahan dalam kalangan kita. ‘Orang’ lain akan menari dalam kegembiraan.

“Tolong cakap dengan saya semua ini tidak benar? Mengapa Dyana Sofya tidak habis-habis mempersoalkan perkara yang berkaitan dengan orang Melayu? Saya tidak faham, tolong betulkan kefahaman saya. Saya juga ada mendengar.

"Dyana Sofya membuat perbandingan antara saya dan dirinya dalam DAP. Jika dia tidak tahu kebenaran, saya minta dia tutup mulut. Jangan memandai bercakap jika tidak tahu apa-apa," tegasnya.

Tambah Tunku Abdul Aziz, adalah sangat mengecewakan apabila Dyana Sofya membiarkan dirinya menjadi ‘boneka’ dalam parti itu, walhal selama ini sejarah dan latar belakang dirinya adalah UMNO.

“Ketika mendapat manfaat daripada UMNO untuk belajar sehingga ke menara gading dan hidup seperti hari ini sehingga boleh dianggap aset untuk menjadi calon kerusi Parlimen, tidak pula Dyana Sofya mempersoalkan kepentingan Melayu. Tidak pula ketika menuntut di UiTM persoal semua itu," katanya.

Tegas Tunku Abdul Aziz: “Tetapi kini dalam DAP, semua nak persoal. Kalimah Allah juga hendak dipersoal.

Rejimen Askar Melayu Diraja hendak di persoal. Semua yang berkaitan dengan Melayu hendak dipersoal. Hakikatnya, adakah semua ini suara Dyana Sofya atau sebaliknya? Setiap kali Dyana Sofya mengeluarkan kenyataan seperti ini, orang Melayu dan Cina saling curiga mencurigai. Akhirnya porak perandalah negara ini," katanya.

Tambah beliau, Dyana Sofya tidak memiliki apa-apa aset atau kepakaran untuk menjadi ahli Parlimen mahupun ahli politik. Kecuali menjadi pak turut dalam DAP bagi menghalalkan setiap agenda kotor parti itu malah Dyana Sofya telah banyak membuat U Turn dalam setiap kenyataannya. Bahkan, banyak membuat petugas media ‘menyampah’ dengan setiap tindak tanduknya.

Dari satu sudut hampir lebih 10,000 pengundi yang pernah keluar mengundi tidak keluar kali ini. Pengundi yang keluar kali ini hanyalah 39,850 atau 66 peratus sahaja berbanding pada PRU ke-13 di mana seramai 48,649 atau 80.4 peratus berbuat demikian.

Apakah kesilapan mereka kali ini? Rata-rata pengundi Cina kali ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan calon yang menjadi pilihan DAP kali ini. Masing-masing merasakan calon pilihan parti roket itu seolah-olah telah memecahbelahkan kepercayaan mereka terhadap DAP.

Seorang pemilik stesen minyak dan penyokong kuat DAP di Bandar Teluk Intan yang hanya mahu dikenali sebagai Sam ketika ditemui, enggan keluar mengundi kali ini.

"Saya tidak mahu 'derhaka' terhadap parti yang saya sokong selama ini. Tetapi saya sangat kecewa dengan tindakan DAP kali ini. Mengapa mahu letak calon yang sangat muda, bagaimana dia boleh bantu kami," ujarnya.

ZULKIFLI JALIL dan KASTHURI JEEVENDRAN pengarang@utusan.com.my Utusan/Rencana/20140601

Tags: dap, politik, prk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments