kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perjuangan yang penuh kepalsuan

Gambar bikini yang disebarkan secara meluas di Internet melibatkan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud sememangnya gambar palsu. Namun begitu, perwatakan dan perjuangan politik Dyana Sofya penuh dengan kepalsuan dan kepura-puraan adalah sesuatu yang benar. Anak muda yang masih mentah ini dijadikan calon pilihan raya oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka. Apa yang lebih menyedihkan adalah budaya Anwarisme sudah mula menyerap ke dalam Dyana Sofya. Sepanjang kempen pilihan raya, banyak percanggahan, penipuan dan kepura-puraan Dyana Sofya semakin terserlah.

1. Sifat talam dua muka

Di hadapan masyarakat Melayu, Dyana Sofya berani mengatakan beliau tidak pernah menentang hudud tetapi di hadapan masyarakat bukan Melayu pula beliau tampil mengatakan beliau sebenarnya menentang pelaksanaan hudud. Apabila ditekan maka beliau mengatakan sebenarnya hanya menyokong pendirian partinya. Apabila ditekan lagi beliau mengatakan tidak akan menyokong hudud sekiranya dibentang di Parlimen. Adakah satu isu memerlukan sehingga empat jenis pendirian dan jawapan yang berbeza? Cara berpolitik sedemikian adalah teknik Ketua Umum mereka selama ini. Semasa Pilihan Raya Kecil Kajang dan di hadapan pengundi Kristian dan maka pendiriannya mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbeza dengan pendiriannya di hadapan masyarakat Melayu.

Sekirannya kita melihat Dyana Sofya ketika berkempen di Teluk Intan kita akan dapati Dyana Sofya akan berselendang dan berbaju kurung di majlis Pas tetapi tidak berpakaian sedemikian semasa di majlis DAP. Cara pemakaian di hadapan bangsa dan kelompok masyarakat yang berbeza memancarkan sikap Dyana Sofya yang sebenar. Di hadapan pengundi Melayu maka cara pemakainnya seolah-olahnya sopan dan di hadapan masyarakat Cina pula kelihatan sikap beliau yang terbuka.

2. Peguam atau PA ?

Dyana Sofya yang mengaku sebagai peguam dilaporkan menipu mengenai kelayakan beliau itu. Ekoran pengakuan Dyana Sofya itu, Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Haezreena Begum Abdul Hamid tampil membuat kenyataan mengecam pembohongan Dyana Sofya itu.“Dia tidak harus mempromosikan dirinya sebagai seorang peguam, (tambahan pula) dia tidak mempunyai Sijil Annual dan Sijil Amalan Peguam" kata Haesreena.

Penasihat undang-undang, Ahmad Soffian Mohd Shariff, 27 mempertikaikan kelayakan calon DAP, Dyana Sofya yang sebelum ini mendakwa dirinya seorang peguam. Soffian yang mewakili Persatuan Kebajikan Shah Alam berkata, seorang peguam wajib mendaftarkan dirinya dengan Bar Council (Majlis Peguam Malaysia) sebelum diberikan hak untuk mewakili mana-mana individu.

Adakah seseorang yang tidak mendaftarkan diri dalam Majlis Peguam layak dikenali sebagai seorang peguam? Ambiga sebagai bekas Presiden Majlis Peguam seharusnya tampil ke hadapan untuk menjelaskan pendiriannya adakah status Dyana Sofya boleh dianggap sebagai peguam? Mungkin juga anak-anak peguam terkemuka, mendiang Karpal Singh berani mempertahankan status peguam Dyana Sofya?

3. Penipuan status ibunya

Ketika disoal Dyana Sofya menafikan bahawa ibunya adalah ahli Perkasa. Namun begitu, tidak lama kemudian ibunya pula tampil membuat sidang media dan mengatakan beliau akan keluar dari Perkasa. Sekirannya bukan ahli maka sidang media tersebut adalah untuk menafikan dirinya adalah ahli dan bukannya mengumumkan keluar Perkasa. Cara politik palsu ini adalah teknik Anwar yang semakin menyerap dalam jiwa Dyana yang masih mentah. Anak muda sudah semakin dikeruhkan oleh budaya Pakatan Rakyat.

Dalam isu Perkasa, jentera DAP dan RBA bersifat hipokrit kerana sebelum ini sekiranya mana-mana pemimpin MCA bergambar dengan Ibrahim Ali atau Perkasa, maka mereka akan sebarkan secara meluas kepada masyarakat bukan Melayu. Namun begitu, apabila terdapat bukti jelas penglibatan Dyana Sofya dan ibunya dalam Perkasa, mereka bangkit mempertahankannya.

Pujian juga seharusnya diberikan kepada jentera Barisan Nasional untuk menghentikan kempen mereka demi menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah. Sikap DAP yang rakus demi meraih kemenangan dan tidak menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah apabila meneruskan kempen mereka di Teluk Intan. Mungkin akibat tindakan jahil mereka inilah menjadi punca kekalahan mereka dalam sendiri dalam PRK ini. Utusan/Rencana/20140601

Tags: dap, politik, prk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments