kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendidikan kunci kemajuan

DALAM dunia korporat, nama Datuk Izzaddin Idris tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group Bhd. iaitu sebuah konglomerat kejuruteraan antara yang terbaik di Malaysia dengan aset bernilai kira-kira RM19.7 bilion.


Izzaddin yang berkelulusan dari University of New South Wales, Australia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pelaburan perbankan, mula mengetuai UEM Group Bhd. yang mempunyai 15,000 kakitangan sejak 7 Julai 2009.

Sepanjang diterajui Izzaddin, konglomerat itu bukan hanya berjaya memenangi bidaan projek-projek mega di negara ini, malah di luar negara termasuk projek penswastaan jambatan dan lebuh raya di Turki bernilai RM17.5 bilion pada 2012.

Namun, di sebalik kehebatannya mengetuai UEM Group Bhd. dalam dunia perniagaan, beliau memastikan syarikat tersebut memainkan peranan lebih aktif dalam melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam tempoh lima tahun dari 2009 sehingga 2013, UEM Group Bhd. telah menyumbang sebanyak RM186 juta bagi program CSR terutamanya pembangunan modal insan menerusi pendidikan bermula dari kanak-kanak sehingga yang sudah bekerja.

Ini kerana Izzaddin percaya, tenaga kerja yang berkemahiran, kreatif, kebolehsuaian dan mampu berjaya di pasaran global adalah penting bagi Malaysia menjadi negara maju. Bagi beliau, ciri-ciri modal insan yang sedemikian adalah penting bagi negara melakukan transformasi ekonomi dan masyarakatnya untuk berdaya saing di peringkat global.

"Saya sentiasa percaya pendidikan merupakan komponen utama untuk membangunkan masyarakat dan modal ekonomi. Pendidikan menggalakkan kreativiti dan memupuk inovasi selain menyediakan tenaga kerja kita dengan kemahiran yang perlu untuk boleh bersaing di pasaran kerja moden dan ia merupakan pemacu utama kemajuan dalam ekonomi.

Dalam membangunkan modal insan di UEM Group Bhd, syarikat itu menjalankan beberapa program latihan dan kepimpinan serta bantuan kepada kakitangannya. Ini termasuk program melanjutkan pelajaran bagi membolehkan kakitangan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi secara separuh masa di peringkat sijil, diploma, diploma lanjutan, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Komitmen UEM Group Bhd. terbukti apabila sebanyak lima peratus daripada kos gaji dilaburkan untuk program latihan dan pembangunan. Pada 2012, sebanyak 3,439 kakitangan syarikat itu telah dilatih iaitu peningkatan sebanyak 96 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Di samping itu, syarikat berkenaan memperkenalkan Program Jurutera Muda (YEP) dan Program Graduan Muda (YGP) pada 2013. YEP merupakan program selama lima tahun bertujuan membangunkan jurutera berpotensi tinggi dengan kemahiran yang diperlukan oleh Lembaga Jurutera Malaysia. YGP pula bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang-bidang utama UEM Group Bhd. seperti pembangunan perniagaan, kewangan, akaun dan sumber manusia.

UEM Group Bhd. juga mewujudkan Program Geran Pendidikan UEM Group bagi menyediakan bantuan kewangan kepada anak-anak kakitangannya yang mahu melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Menerusi geran tersebut, setiap penerima mendapat geran bernilai RM4,000 untuk pra universiti atau sijil, diploma (RM6,000) dan ijazah sarjana muda (RM10,000).

Dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat, UEM menyalurkan inisiatif pendidikan menerusi Yayasan UEM yang ditubuhkan pada 2000 yang diamanahkan untuk membangunkan modal insan yang berpontesi menjadi pemimpin masa hadapan.

Menurut Izzaddin, usaha tersebut direalisasikan menerusi pelbagai saluran termasuk penyertaan dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang dilaksanakan oleh kerajaan. Skim yang dilaksanakan oleh UEM dikenali sebagai Skim Eksekutif Muda (YES) iaitu program khas bagi melengkapkan kemahiran dan pengalaman kepada graduan supaya mendapat peluang kerja lebih baik pada masa hadapan.

"Di bawah skim ini, peserta yang berjaya akan ditawarkan kontrak latihan termasuk elaun. Dari 2006 hingga 2014, UEM Group Bhd. telah merekrut sebanyak 1,142 peserta," katanya.

Yayasan UEM juga menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian di IPT tempatan dan luar negara, selain mempunyai IPT sendiri iaitu Kolej Yayasan UEM. Kolej tersebut yang ditubuhkan pada 1988 merupakan antara IPT terbaik di negara ini dalam menyediakan pendidikan pra-universiti berkualiti tinggi kepada pelajar.

Dalam menjayakan program CSR syarikat ini, Izzaddin bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada kakitangannya yang sanggup meluangkan masa dan berkongsi pengetahuan. Walaupun bantuan kewangan amat membantu, namun, aspek kesukarelaan juga penting bagi membangunkan modal insan terutamanya dalam memberikan tunjuk ajar.

"Saya secara peribadi akan terus sukarela dan memperuntukkan masa saya untuk tujuan ini kerana saya percaya pendidikan adalah kunci kemajuan. Sebagaimana kata Nelson Mandel, 'pendidikan ialah senjata paling berkuasa untuk membolehkan kamu mengubah dunia' dan kalau saya boleh tambah, 'untuk mengubah masa hadapan seseorang'," kata beliau. AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI Utusan/Rencana/20140601

Tags: pendidikan
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments