kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Kisah Pelbagai

Sultan Nazrin

Awang menyertai rakyat Malaysia merafak sembah tahniah dan penuh syukur atas pengisytiharan Sultan Nazrin Muizzudin Shah, 58, sebagai Sultan Perak ke-35. Pengisytiharan tersebut bukan sahaja disambut baik oleh rakyat Perak malah seluruh negara.

Rekod raja yang berpendidikan tinggi terakam lagi dalam tinta sejarah Perak. Imej Almarhum Sultan Azlan Shah yang disegani kerana ketokohan dan keilmuan kini diwarisi putera sulungnya.

Sultan Nazrin berkelulusan doktor falsafah daripada Universiti Harvard dan felo kehormat Universiti Oxford.

Ramai yang tahu sejak beberapa tahun lalu, banyak ucapan baginda semasa menjadi Raja Muda mendapat perhatian dan rujukan. Ia tercermin nilai ilmu, wawasan dan kebijaksanaan. Titah ucapan menjadi koleksi ramai.

Imej Sultan Nazrin sebagai raja yang menjaga akhlak, integriti, prihatin dan merendah diri menyuntik harapan dan keyakinan kepada Institusi Raja di negara ini, yang berdepan dengan cabaran lebih besar dalam landskap baharu demokrasi dan media.

Awang selalu mendengar cerita ramai yang terserempak dengan baginda bersendirian membelek buku di kedai-kedai buku tanpa protokol. Sentiasa senyum dan mudah disapa.

Minat baginda kepada buku pula sememangnya sangat kuat. Tetapi yang lebih Awang teruja adalah keberanian baginda yang kerap menzahirkan pandangan dalam mendokong Perlembagaan negara dan mempertahankan nilai-nilai murni.

Apa yang difikirkan benar dinyatakan dengan hujah yang mantap dan perspektif sebenar, biarpun berdepan 'risiko' tidak disenangi. Maka Awang yakin Perak akan lebih maju dan cemerlang di bawah era Sultan Nazrin. Semoga juga pemikiran baginda makin bersemarak untuk warga, bangsa dan negara Malaysia. Daulat Tuanku.

Pihak berlemah kita

Apa sudah jadi dengan pihak berkuasa kita yang dipertanggungjawabkan ke atas penulis blog dan laman sosial yang makin galak menghina Raja-Raja Melayu.

Kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah baru-baru ini menjadi satu lagi bukti pihak berkuasa kita dayus, tidak pro aktif dan suka mencari alasan dalam menutup kelemahan mereka. Agensi dan suruhanjaya terlibat akan menuding jari antara satu sama lain.

Memalukan apabila kita membenarkan Raja-raja Melayu termasuk hal kemangkatan, ditohmah secara liar dan biadap. Kegagalan bertindak memberi isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia. Jangan terkejut jika para pelajar sekolah akan turut terpengaruh mempersendakan Raja-Raja Melayu jika begini keadaannya.

Awang mencadangkan pihak berkuasa kita belajar dengan negara lain terutama Singapura yang bertindak cepat menangani mana-mana individu yang menggugatkan keharmonian dan ketenteraman awam.

Kadang kala meluat mahu guna istilah pihak berkuasa. Tukar sahaja kepada pihak berlemah kerana itulah hakikatnya.

Selamatkan Rayer

ADUN Seri Delima, Pulau Pinang, RSN Rayer masih enggan memohon maaf walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak berhubung perbuatannya mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat semasa persidangan Dewan Undangan Negeri. Beliau sebaliknya mendakwa kononnya perkataan celaka adalah bahasa yang biasa digunakan oleh orang Pulau Pinang.

Ramai warga negeri tersebut geleng kepala sebagai menyanggah alasan yang tidak masuk akal itu. Memalukan orang Penang. Nampaknya Rayer seperti ditimpa kecelaruan. Buktinya, beliau tiada keyakinan untuk memohon maaf dan menarik balik kata-kata kesat meskipun telah memburukkan lagi imej rasis dan ekstrem DAP di kaca mata masyarakat.

Pada Awang, selagi Rayer tidak mahu memohon maaf ia membenarkan tanggapan bahawa beliau dan DAP anti Islam serta anti Melayu memandangkan UMNO menaungi majoriti orang Islam dan Melayu. Apakah mencarut ke atas orang Islam dan Melayu suatu nikmat kepada beliau dan DAP?

Sementara itu, Awang ulangi nasihat kepada Rayer agar segera menjalani rawatan kaunseling sebelum penyakit beliau membawa mudarat lebih besar kepada keluarga, partinya dan masyarakat. Dalam hukum psikologi, tabiat mencarut ke atas orang dan pihak lain sama juga mencarut terhadap diri sendiri. Jangan sampai suatu hari kelak beliau mencarut-carut seorang diri di tengah jalan raya. Kasihan... belum terlewat untuk diselamatkan.

Nasib polis

Awang sedih dengan satu lagi kejadian seorang anggota polis terkorban angkara penjenayah. Kali ini, Lans Koperal Mohd. Azuan Abdullah, 25, maut selepas dirempuh oleh kereta penjenayah di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Ipoh, Perak.

Lebih menyayat hati, Allahyarham bakal melangsungkan perkahwinan lima hari lagi.

Di Malaysia ini agak aneh. Kalau polis menjadi mangsa penjenayah, ia tidak lagi mengundang gelombang simpati daripada masyarakat. Tetapi bayangkan sekiranya penjenayah mati ditembak oleh polis dalam usaha melawan kegiatan jenayah demi keselamatan awam, pastinya ada pihak terutama DAP, PKR dan Majlis Peguam akan gegak gempita.

Penjenayah disanjung, polis pula dicerca. Jenayah termasuk bunuh berleluasa tetapi pihak penguatkuasa undang-undang yang mahu menegakkan keamanan dicabar dan dijatuhkan reputasi.

Lebih aneh, sampai hari ini, seingat Awang tiada pemimpin DAP tampil ke hadapan bersungguh-sungguh menyatakan simpati ke atas polis yang terkorban. Jauh sekali untuk membela dan mempertahankan mereka. Nyawa penjenayah lebih bernilai.

Kisah warga emas

Seorang pesara wanita berusia hampir 70 tahun bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, baru-baru ini setelah mengalami gangguan pernafasan dan lemah badan. Khidmat yang diberikan oleh doktor dan petugas adalah terpuji serta mesra.

Melainkan satu perkara yang membingungkan. Dia yang ditemani anaknya tiba pada pukul 1.30 petang di bahagian kecemasan hospital tersebut terpaksa menunggu lama untuk menemui doktor dan melakukan ujian darah. Akhirnya, semua proses pemeriksaan selesai kira-kira pukul 1 pagi. Bayangkan, lebih 11 jam menunggu di atas kerusi roda lobi bahagian kecemasan. Awang cukup terganggu dengan kisah seperti ini. Di mana komitmen kita terhadap kebajikan warga emas?

Walaupun situasi itu antara lain disebabkan jumlah pesakit luar yang ramai, tentu ada kaedah lebih baik mengurus golongan tersebut terutama dalam kes yang agak serius di hospital awam. Bukankah ada piagam di jabatan-jabatan kerajaan termasuk hospital awam untuk mengutamakan warga emas, atau apakah piagam sekadar hiasan dinding semata-mata?

Cara Dr. Asyraf

Senator Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ada cara tersendiri mendampingi pelajar Malaysia di luar negara. Ketika berada di Jordan baru-baru ini, beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka untuk meluahkan apa sahaja semasa sesi dialog dan ketika beramah mesra.

Awang menerima maklum balas yang sangat positif daripada para pelajar antaranya di Amman, Mu'tah dan Irbid. Mereka tertarik dengan keupayaan Dr. Asraf menggunakan hujah-hujah yang bernas dan menyakinkan dalam menjelaskan isu-isu semasa meliputi agama, politik dan kewangan.

Dr. Asyraf yang juga Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dikatakan begitu sabar dan tidak jemu melayan asakan pertanyaan kumpulan demi kumpulan pelajar yang ditemuinya. Panas dan berat sekalipun soalan, beliau dengan senyum dapat menjawabnya.

Lebih menarik, sepanjang tiga hari dua malam berada di Jordan, Dr. Asyraf tidak menginap di hotel sebaliknya memilih untuk bermalam di rumah pelajar tanpa merasa kekok. Ternyata para pelajar begitu selesa dengan beliau.

Tidak susah sebenarnya untuk membuang jurang dan tembok bagi mendampingi pelajar dengan pendekatan lebih berkesan. Asalkan ada kemahuan dan kesedaran yang tinggi. Ia tidaklah sukar dan Dr. Asyraf telah buktikan.

Lelaki jahanam

Rakyat Malaysia digemparkan dengan kejadian seorang gadis dirogol oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan. Tidak boleh digambarkan ia berlaku di negara ini. Sebahagian suspek telah ditahan. Awang berharap mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran atas perbuatan zalim dan sadis. Sedih dengan jenayah rogol yang menjadi-jadi termasuk di Kelantan. Maka beberapa teman memberi reaksi spontan agar hukum hudud dilaksanakan segera di negeri itu. Di beberapa negara lain, penjenayah seksual tegar turut dikenakan hukuman suntikan dimatikan nafsu mereka.

Tak kisah hukuman sekeras mana pun, laksanakanlah demi melindungi wanita, gadis dan budak perempuan. Selain persekitaran yang selamat, faktor pendidikan, menangani pengaruh dadah serta pornografi , undang-undang juga mesti digeruni buat golongan lelaki jahanam.

DAP tidak kebal

Awang ucap tahniah kepada calon BN, Mah Siew Keon atas kejayaan menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan malam tadi. Keputusan tersebut memperlihatkan DAP tidaklah sekebal mana. Juga strategi meletakkan calon wanita muda Melayu untuk mengaburi mata Melayu, tidak berkesan. Moga ia menjadi mesej jelas kepada Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng agar tidak terlalu yakin. Akibatnya, hilang satu kerusi kubu kuat DAP.   Utusan/Rencana/20140601

Tags: dap
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments