kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hayati tujuh amanat penting Sultan Azlan Shah

Selepas membaca kembali tujuh amanat Sultan Azlan Shah sempena ulang tahun ke 30 pemerintahan baginda sebagai Sultan Perak pada 3 Februari lalu, saya sangat pasti sesiapa pun pasti akan bersetuju bahawa inilah Raja yang dimahukan oleh rakyat. Tujuh amanat penting itu adalah sosok peribadi yang mencerminkan pemikiran luas dan sikap amanah yang tinggi sebagai raja yang adil dan berjiwa rakyat.


Sebenarnya frasa "berjiwa rakyat" kini menjadi terlalu lumrah dan murah apabila tidak digunakan kepada orang yang tepat. Tetapi frasa ini sangat tepat bagi Sultan Azlan Shah. Inilah juga satu-satunya Yang Dipertuan Agong dan Sultan yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, takah tertinggi lagi sangat disanjungi dalam institusi kehakiman negara.

Sultan Azlan Shah telah mangkat di Institut Jantung Negara pada 28 Mei lalu selepas 30 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri Perak. Kepulangan baginda menghadap Ilahi bukan sahaja kehilangan kepada negeri Perak malah negara ini. Baginda menjadi rujukan sebagai raja yang amanah dan mengambil berat hal ehwal rakyat. Bagi rakan-rakan baginda yang terdiri dalam kalangan rakyat biasa, mereka kehilangan rakan yang tidak kekok bertemu tanpa banyak protokol.

Dalam siaran ulangan dokumentari khas sempena ulang tahun ke 25 pemerintahan baginda yang disiarkan di RTM malam Khamis lalu, Sultan Azlan Shah sanggup menziarahi rakan-rakan sekolahnya dalam kalangan rakyat biasa yang terlantar sakit di rumah.

Sebenarnya peribadi terpuji Sultan Azlan Shah dibentuk oleh pengalaman bergaul dengan rakyat sebelum diisytiharkan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 dan Sultan Perak pada 3 Februari 1984. Sebelum itu baginda adalah seorang pegawai muda dalam perkhidmatan awam bermula dengan jawatan Penolong Setiausaha Negeri Perak (1956).

Sultan Azlan Shah tentu sedar bahawa sekarang bukan lagi zaman feudal di mana rakyat ditakut-takutkan supaya setia kepada raja. Tetapi pada zaman ini dan sesuai dengan sistem Raja Berpelembagaan di mana raja menjadi lambang kepada orang Melayu, Raja perlu memperlihatkan sosok terpuji supaya sanjungan yang ditunjukkan oleh rakyat lahir dari rasa hormat terhadap raja yang budiman. Ternyata rakyat menghormati Sultan Azlan Shah bukan kerana takut kepada kedudukan dan kuasanya sebagai Sultan Perak. Mereka menghormati kerana baginda berhak dan sangat layak dihormati.

Dalam amanat ketiga, baginda bertitah, "Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, sentiasa mengingati akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar." Ini memperlihatkan baginda sentiasa menekankan peri pentingnya sikap amanah yang tidak dikecualikan oleh sesiapa termasuk diri baginda sendiri.

Banyak hikayat Melayu klasik termasuk Hikayat Hang Tuah kerap menyebut tentang sikap raja zaman feudal sebagai "bersultan di mata dan beraja di hati" yakni melakukan sesuatu mengikut sesuka hati demi kepentingan peribadi. Tetapi Sultan Azlan Shah sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa kedudukan itu hanya anugerah Allah dan menuntut dilaksanakan dengan amanah. Baginda memberikan tafsiran baharu kepada peranan dan sikap Raja-Raja Melayu supaya rakyat terus setia dan sanggup berkorban untuk mempertahankan institusi raja.

Setiap daripada kita, tidak kira siapa dan setinggi mana kedudukannya wajar menghayati tujuh amanat Sultan Azlan Shah. Ia bukan sahaja sangat menginsafkan kerana mengingatkan kedudukan manusia itu sama sahaja di sisi Tuhannya. Tetapi yang penting ia satu penegasan supaya tidak bertolak ansur soal amanah. Ini kerana rakyat lebih penting daripada raja, tidak ada negara yang mempunyai raja tetapi tidak mempunyai rakyat. Tetapi ada negara yang mempunyai rakyat tidak ada raja.

Sesetengah pihak menganggap orang Melayu zaman feudal hilang kewarasan kerana taksub dengan raja tetapi sebenarnya ini telah dijawab oleh Hang Jebat satu watak hitam dalam mitos Melayu bahawa, "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah." Ini menunjukkan sejak zaman feudal lagi rakyat mahukan raja berpekerti budiman dan adil dalam pemerintahan. Semua ini ada dalam tujuh amanat Sultan Azlan Shah.

Amanat ini penting supaya Raja-Raja Melayu sentiasa menjaga tingkah laku dan meletakkan keluhuran peribadi setaraf dengan kedudukan tertinggi yang dimiliki. Apa lagi raja (Sultan) adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang beraja di negara ini. Kedudukan ini menuntut Raja-Raja Melayu menunjukkan peribadi terpuji kerana rakyat sentiasa memerhati setiap langkah dan gerak geri. Raja tidak perlu berlumba-lumba berebut dalam bidang yang diceburi rakyat. Raja perlu melaksanakan tugas yang tidak boleh dilakukan oleh rakyat. Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140601

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments