kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hubungan dipupuk 40 tahun membuahkan hasil

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sebab yang kuat untuk merasa ‘tersentuh dan beremosi’ apabila berada di Dewan Barat, di The Great Hall of People atau Dewan Agung Rakyat kelmarin.

Dewan tersebut mempunyai sejarah yang sangat signifikan kepada beliau dan Malaysia. Empat puluh tahun lalu, pada tarikh yang sama 31 Mei, ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu Perdana Menteri kedua Malaysia berada di dewan yang sama.

Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Zhou Enlai menandatangani pernyataan bersama, satu persefahaman yang membuka jalan kepada hubungan diplomatik dengan sebuah kuasa besar dunia.


Najib Tun Razak bersalaman bersama Li Keqiang selepas menyampaikan ucapan pada
Majlis "40th Anniversary of the stablishment of Diplomatic Relation between Malaysia and China"
di Great Hall of People di Beijing, China, kelmarin. - BERNAMA


Kelmarin di dewan yang sama, dan pada tarikh yang sama, Najib mengulangi apa yang pernah dilakukan bapanya 40 tahun lalu.

"Secara berterus terang, saya mengakui berasa begitu beremosi sekali apabila masuk ke dewan ini. Majlis ini begitu bererti kepada saya," kata beliau.

Beliau dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menandatangani pernyataan bersama dengan memperbaharui azam dan tekad bagi meneruskan kesinambungan yang pernah dirintis oleh Tun Razak empat dekad lalu.

Kalau Tun Razak melakukannya dalam suasana getir pada waktu itu, Najib turut berada dalam situasi yang lebih kurang sama, walaupun tidak segetir apa yang dialami bapanya.

Pada tahun 1974, dunia masih diselubungi dengan ketegangan perang dingin dan ancaman komunis di tanah air. Ramai yang sangsi dengan kunjungan Tun Razak ke China untuk membuka jalan diplomatik. Malah ada pemimpin negara di rantau ini yang sinis dengan lawatan itu.

Bagaimanapun Tun Razak berjaya melakukannya dengan penuh kebijaksanaan. Dan ternyata keputusan itu tepat. Selepas 40 tahun jambatan persahabatan dibina, hubungan Malaysia-China sudah memasuki lembaran baru dalam segala aspek.

Najib turut berada dalam situasi yang sama. Malaysia dan China dilingkari dengan isu kehilangan pesawat MH370. Lebih-lebih lagi majoriti penumpang yang terlibat adalah rakyat China. Tidak dapat tidak insiden itu sedikit seba­nyak memberi kesan kepada rakyat China.

"Bila saya sorot kembali peristiwa itu, saya dapat rasai tekanan, kesukaran yang dihadapi arwah bapa saya untuk membuat keputusan sedemikian rupa. Tetapi setelah bertahun-tahun berlalu, jelas keputusan itu tepat," kata Najib.

Jika Tun Razak berjaya melalui detik-detik getir itu, Najib turut melakukan perkara yang sama. China memberi sokongan penuh kepada Malaysia dalam menangani insiden kehilangan pesawat itu. Malaysia tidak keseorangan dan China menjadi rakan yang boleh diharapkan dalam waktu-waktu sukar berhadapan dengan isu tersebut.

Najib juga mengakui lawatan tersebut sangat ‘menggembirakannya.’ Apa tidaknya, hubungan yang telah mulakan oleh bapanya dan dipupuk selama 40 tahun sudah membuahkan hasil besar. Manfaatnya sudah dinikmati oleh rakyat kedua-dua buah negara.

Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140602
Tags: china, malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments