kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terpaksa merasuah untuk melancarkan urusan?

LAPORAN kaji selidik Malaysian Corruption Barometer (MCB) 2014 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa daripada 12 institusi yang dikaji, parti politik dianggap sebagai institusi paling tinggi mengamalkan rasuah. Ini diikuti oleh institusi polis, perkhidmatan awam, parlimen, badan kehakiman dan sektor perniagaan.

Dari sudut makroekonomi, keenam-enam institusi ini merupakan agen utama dalam proses pembangunan sesebuah negara. Ini kerana institusi ini adalah badan yang bertanggungjawab dalam aspek kepimpinan negara; membuat dan melaksana dasar-dasar pembangunan; mengawal selia polisi yang diguna pakai; dan membantu kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Umum mengetahui rasuah tidak baik untuk proses pembangunan dan pertumbuhan negara. Satu kajian yang dirintis oleh Mauro (1995) mendapati rasuah mempunyai pertalian yang negatif dengan pelaburan. Kesan akhir hubungan ini adalah ia merencat proses pertumbuhan negara. Dapatan kajian Mauro ini kemudiannya disokong oleh Brunetti dan Weder (1998); Mo (2001) dan Meon dan Sekkat (2005).

Bagaimanapun ada sesetengah pengkaji yang mempunyai pandangan sebaliknya. Mereka menyatakan rasuah juga ada kebaikannya kepada pertumbuhan ekonomi. Justifikasi yang diguna oleh pendokong pandangan ini ialah satu hipotesis yang diutarakan oleh Leff (1964), Huntington (1968) dan Leys (1965) iaitu rasuah boleh mempercepatkan pertumbuhan atau yang dirujuk sebagai "grease the wheels hypothesis".

Hipotesis ini antara lain menyatakan sistem birokrasi yang tidak efisien adalah penghalang kepada proses pelaburan. Justeru wang rasuah boleh membantu melicinkan atau mempercepatkan proses ini terutamanya dalam mengurangkan kerenah birokrasi yang perlu dilalui pelabur dan sekali gus menjimatkan masa mereka. Dengan kata lain, dalam sistem pentadbiran yang lembab, rasuah menjadi insentif kepada birokrat untuk mempercepatkan sesuatu proses kerja (Lui 1985).

Menurut Huntington (1968) pula, rasuah boleh berperanan menangani peraturan-peraturan birokratik yang meleret-leret. Beliau memberi contoh rasuah yang diamalkan oleh para penyedia utiliti, pembuat rel kereta api dan ahli industri telah membantu memacu pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada 1870 an dan 1880 an.

Pendokong pandangan ini juga mengatakan bahawa rasuah boleh membantu birokrat untuk membuat pilihan yang lebih tepat. Ini terutama dalam aspek pemberian lesen untuk menjalankan sesuatu projek. Dikatakan persaingan dalam pemberian rasuah dapat menentukan tahap kecekapan sesebuah syarikat.

Walaupun hipotesis ini tidak konsisten dengan bukti-bukti empirikal yang menyatakan rasuah mendatangkan kesan yang tidak baik kepada aspek makroekonomi sesebuah negara, namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang remeh oleh semua pihak. Buktinya, kebanyakan responden yang disoal selidik oleh MCB 2014 yang mengaku pernah memberi rasuah menyatakan berbuat demikian untuk mempercepatkan urusan.

Malah apa yang lebih mengejutkan pemberian rasuah ini turut melibatkan institusi pendidikan, perubatan dan perkhidmatan utiliti. Adalah dikhuatiri jika amalan ini tidak dibendung, kelak rasuah akan menjadi penentu kepada capaian ahli masyarakat kepada keperluan asas kehidupannya ini.

Peter Eigen, pengasas Transparency International pernah menyatakan amalan rasuah adalah rompakan ke atas potensi sesebuah negara. Apa yang diutarakan oleh Eigen ini ada kebenarannya. Disebabkan rasuah, potensi sebenar sesebuah negara mungkin tidak dapat dijana dengan baik lantaran wujudnya elemen rasuah di sepanjang rantaian proses pembangunan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Apa pun kesan buruk rasuah ke atas kesejahteraan negara adalah menyeluruh. Kesannya bukan setakat terhenti kepada kecekapan ekonomi dan aspek pertumbuhan, malah ia turut melibatkan ketidaksamaan agihan sumber dalam kalangan penduduk; meningkatkan jurang pendapatan; mengganggu gugat program-program kebajikan selain melemahkan proses pembangunan sumber manusia.

Justeru Islam secara tegas menolak amalan rasuah. Ketegasan ini dapat dilihat melalui ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Antaranya ialah ayat ke-35-37 di dalam surah al-Naml di mana Allah SWT menceritakan tentang ketegasan Nabi Sulaiman menolak hadiah Puteri Balqis agar membolehkannya berterusan dalam amalan penyembahan matahari ketika mana Nabi Sulaiman menyerunya supaya beriman kepada Allah.

Junjungan besar kita, Nabi Muhammad pernah menolak tawaran kemewahan dunia yang janjikan oleh pemimpin Quraisy sebagai syarat kepada Baginda supaya meninggalkan dakwah Islamiyyah yang dibawanya.

Tindakan penolakan rasuah oleh Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad adalah contoh bentuk pelaksanaan amanah dan nilai tanggungjawab yang tinggi yang ditunjukkan oleh rasul pilihan Allah. Jika mereka mengkhianati amanah diberikan, sudah pasti risalah tauhid tidak akan sampai kepada kita pada hari ini.

Apa yang ingin penulis nyatakan di sini adalah isu rasuah ada kaitan dengan sikap amanah individu, baik individu ini mewakili institusi politik, pembuat dasar, agensi pelaksana mahupun orang awam. Orang yang amanah tidak akan mengabaikan tanggungjawab yang diberikan. Malah dia akan cuba melaksanakan amanah sebaik mungkin kerana tahu akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

PENULIS ialah Felo Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan/Rencana/20140602

Tags: rasuah, transparency
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments