kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lambang hubungan persahabatan KL-Beijing

Kehadiran panda Fuwa, Fengyi bakal rancakkan industri pelancongan

Tindakan menghina apa saja yang kerajaan lakukan dalam media sosial dengan kata-kata yang nampak rasional menggunakan bahasa mudah difahami umum menyebabkan ramai terperangkap dan mula mempercayainya.

Malangnya persepsi itu kemudiannya bagi sesetengah orang diterima bulat-bulat tanpa menyiasat sumber dan kesahihan fakta dulu.

Isu panda turut terpalit dengan dakyah jahat pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan dan menggunakan ayat-ayat memerangkap seperti ‘panda dari negara orang, tidur dalam bilik berhawa dingin, rakyat sendiri dibiar tidur bawah jambatan’.

Sekali pandang nampak rasional namun hakikatnya ada banyak kesan positif diperoleh Malaysia daripada kehadiran panda gergasi Fuwa dan Fengyi yang diberikan pinjaman kerajaan China kepada Malaysia bagi tempoh 10 tahun.

Panda adalah simbol diplomasi China kepada negara sahabat dan ironinya pemberian panda gergasi itu dilakukan saat usia hubungan perdagangan antara kedua-dua negara sudah memasuki usia 40 tahun, satu tempoh matang jika dibandingkan dengan usia manusia.

Dalam tempoh itu banyak perjanjian dan persefahaman sudah dicapai kedua-dua negara dan untuk masa depan, China penting kerana kini dikenali sebagai kuasa baharu yang semakin digeruni.

Selepas Perang Dingin, Amerika Syarikat (AS) dilihat cuba meledakkan kekuasaannya dan mahu semua negara tunduk kepadanya serta akur dengan segala ketetapan yang dibuatnya.

Namun, kemunculan China sejak kebelakangan ini yang berpotensi sebagai kuasa ekonomi baharu dunia menggusarkan kuasa besar berkenaan.

Justeru, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia perlukan China untuk mengimbangi pengaruh antara kuasa besar seperti AS.

Dari segi hubungan dagang, China adalah rakan pertama dari segi eksport industri halal tempatan. Malah, Malaysia antara 10 pelabur terbesar di China pada tahun 2008.

Tingkat perdagangan

China kini rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dan pasaran eksport keempat terbesar.

Kebanyakan import Malaysia adalah dari China dan negara itu destinasi penting bagi pelaburan Malaysia. Pada 2008, Malaysia adalah pelabur asing ke-19 terbesar di China.

Kini, China adalah negara dagangan terbesar Malaysia dengan nilai RM320 bilion setahun selama lima tahun berturut-turut.

Malah, China dalam beberapa tahun akan datang menyediakan peluang pelaburan bernilai lebih RM257 bilion.

Dari aspek pelancongan pula kehadiran panda gergasi ini dijangka turut membantu dari segi jumlah kehadiran pelancong, selain sumber pendapatan baharu kepada Zoo Negara yang kini berusia 51 tahun.

Berdasarkan pengalaman Zoo Edinburgh di Scotland, pulangan diperoleh taman haiwan itu bertambah sekali ganda pelawat. Namun lebih penting lagi, melalui pinjaman itu Scotland mendapat pelaburan bernilai billion ringgit untuk memasarkan ikan salmon, petrokimia dan teknologi tenaga diperbaharui kepada China.

Pinjaman panda juga membuka peluang kepada Perancis dan Kanada mendapat kontrak menjadi pengeksport uranium ke negara Tembok Besar itu, manakala Australia yang mempunyai rizab terbesar uranium dunia turut mendapat pinjaman panda pada tahun 2009 selepas perjanjian pembekalan uranium ditandatangani kedua-dua negara pada tahun 2006.

Negara jiran kita, Singapura juga diberi pinjam panda pada tahun 2012, manakala pinjaman panda kepada Thailand disambung tiga tahun lagi memberi pulangan perjanjian perdagangan bebas dengan China.

Kemungkinan nikmat yang bakal dirasai Malaysia dengan kedatangan dua panda gergasi berkenaan.

Bercakap mengenai faedah kehadiran panda di zoo, National Zoo di Washington, AS disewa pada kadar RM3.3 juta setahun iaitu RM33 juta untuk 10 tahun mendapat keuntungan bersih dari penjualan barangan cenderahati panda saja adalah RM3.85 juta setahun, tidak termasuk tiket.

Panda di Zoo Toronto, Kanada menyumbangkan kepada 10 peratus peningkatan keahlian zoo dan pertambahan 300,000 pengunjung setahun dengan pulangan kira-kira RM10 juta setahun.

Jualan tiket lebih 50 peratus

Zoo Edinburgh mencatatkan rekod jualan tiket melebihi 50 peratus daripada biasa sejak kedatangan panda pada tahun 2011 dengan jumlah pendapatan adalah tiga kali ganda iaitu RM81 juta setahun.

Jumlah pelawat ke zoo berkenaan meningkat kepada daripada 536,000 pada tahun 2011 kepada 800,000 pada hujung tahun 2012.

Zoo Atlanta pula melobi kerajaan China selama 12 tahun untuk mendapatkan panda dan Zoo San Diego kena belanja RM16 juta bagi kempen dapatkan panda.

Sebaliknya Malaysia menggunakan hubungan baik 40 tahun bagi mendapatkan dua panda gergasi itu.

Sementara itu, zoo di Jepun membayar AS$10 juta untuk 10 tahun kepada China bagi panda dan perolehan sekali ganda dicatatkan sejak kehadiran dua haiwan berkenaan.

Apa pun bagi memastikan panda gergasi ini terus memberi manfaat kepada Malaysia, Zoo Negara perlu menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik seterusnya memberikan impak positif dengan pulangan wang.

Di Edinburgh, Scotland bandar berkenaan dikenali sebagai panda city sebaik dua pasang panda gergasi menjejakkan kaki ke negara berkenaan, malah sepanjang tahun pelbagai jadual program berkaitan panda diwujudkan untuk menarik pengunjung dalam dan luar negara.

Diharap kehadiran panda ini akan memberi sinar baharu kepada Zoo Negara serta memberi ‘ubat’ baharu kepada industri pelancongan negara. Berita Harian Rencana 2014/06/02 - 02:33:58 AM  Rohaniza Idris
Tags: china, malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments