kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kehadiran panda cermin keharmonian China-Malaysia

Kehadiran dua ekor panda, Fengyi dan Fuwa, dari China di Malaysia pada 21 Mei lalu adalah satu gambaran simbolik hubungan erat diplomatik di antara Malaysia dan China. Malah, pada 31 Mei ini akan diadakan sambutan ulang tahun ke-40 hubungan antara Malaysia dan China yang bermula sejak tahun 1974.

Mulai hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memulakan lawatan ke China bersama-sama 300 delegasi yang mengiringi beliau termasuk 100 pemimpin dan pegawai kerajaan berserta 200 ahli perniagaan. Sempena sambutan ulang tahun ke-40, Najib akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi China, iaitu Presiden Xi Jinping dan pemimpin China lain terutama Perdana Menteri, Li Keqiang.


Pada tahun 1974, ayahanda Najib, Tun Abdul Razak Hussein melawat China untuk menjalinkan hubungan strategik dan diplomatik ketika itu di sebalik bayangan Perang Dingin global dan pemberontakan komunis di Malaysia. Namun, ini tidak menghalang bekas Perdana Menteri kedua itu, menandatangani buletin kerjasama bersama Perdana Menteri China ketika itu Zhou Enlai untuk mewujudkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kini, dua masalah global dan domestik itu telah tiada. Malah hubungan Malaysia dan China juga semakin erat.

Dalam rangka lawatan itu, Najib dilaporkan akan melawat bandar kuno Xian termasuk melawat Muzium Pahlawan Terracotta dan Festival Makanan Halal. Najib juga memilih untuk berdiri di tempat sama ayahandanya berdiri 40 tahun lalu di Dewan Besar Rakyat, Beijing dan mengadakan sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China pada tanggal 31 Mei 2014 di situ.

Pertingkat aktiviti perdagangan

Selepas menemui pemimpin China, Najib bersama rombongannya akan melawat beberapa syarikat penting China dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan dua hala selain hubungan budaya kedua-dua negara. Perdana Menteri juga akan menjadi tetamu khas di sambutan Malam Persahabatan China-Malaysia yang dianjurkan oleh Kerajaan China.

Secara umumnya, hubungan rapat Malaysia dan China ini sangat penting dalam dua segi iaitu kehendak strategik dan ekonomi. Ramai yang tahu, kini China menjadi kuasa besar global dari segi politik dan ekonomi. Malah, banyak negara khususnya Vietnam dan Filipina mula menunjukkan penentangan mereka ke atas usaha China untuk memperluaskan kekuatan di Laut China Selatan. Namun, Malaysia sentiasa bersangka baik terhadap China dan tidak pernah menganggap China sebagai ancaman, malah sebagai rakan sekutu yang erat hubungannya.

Pada 3 hingga 5 Oktober 2013, Presiden China, Xi Jinping melawat Malaysia.

Dalam lawatan berkenaan hubungan dua hala strategik pertahanan telah dimeterai. Sebenarnya Malaysia mempunyai hubungan pertahanan secara rasmi dengan China sejak tahun 2005. Malah, pada tahun 1991, Malaysia menjalankan aktiviti perundingan strategik dengan China. Malaysia juga akan mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan China termasuk dari segi pertukaran tentera darat dan laut serta kerjasama sains dan penerokaan angkasa lepas.

Dari segi perdagangan, Malaysia bercadang menarik banyak pelaburan dari China ke Malaysia. Pada tahun 2012 saja, nilai dagangan antara Malaysia dan China mencecah AS$88 bilion (RM281.6 bilion). Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menjelaskan bahawa Malaysia menetapkan sasaran memperoleh lima peratus daripada AS$500 bilion (RM1.6 trilion) pelaburan luar negara China dalam tempoh lima tahun. Pelaburan China ke Malaysia pada tahun 2012 mencecah AS$6.3 bilion (RM20.16 bilion). Malah, kini ada perancangan program 5 tahun untuk mempertingkatkan hubungan dagangan itu ke AS$160 bilion (RM512 bilion).

Buka kampus luar di Malaysia

Antara kejayaan Malaysia setakat ini dalam hubungannya dengan China ialah pembukaan kampus luar negara Universiti Xiamen di Salak Tinggi. Pada 3 Julai nanti, Perdana Menteri akan merasmikan pembukaan kampus seluas 60 hektar ini yang mula mengambil pelajar pertamanya dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Malah, Malaysia juga bercadang menarik sebanyak lima peratus daripada 80 juta pelancong dari China untuk mengunjungi Malaysia. Walaupun tragedi kehilangan pesawat MH370 masih segar dalam ingatan dan menjejaskan sedikit hubungan antara China dan Malaysia pada peringkat awalnya, kerjasama yang diberikan Beijing dan Kuala Lumpur dalam usaha mencari pesawat berkenaan telah menjadikan hubungan kedua-dua lebih rapat.

Maka jelas sekali, kehadiran panda berkenaan selama 10 tahun di Malaysia mencerminkan keharmonian hubungan kedua-dua negara bagi sekurang-kurangnya satu dekad yang akan datang. Berita Harian Rencana 2014/05/28 - 07:20:51 AM Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Tags: china, malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments