kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengetua, guru kongsi kemahiran tadbir sekolah

Ketika berdepan dengan cabaran globalisasi, sekolah yang menjadi benteng hadapan dalam perubahan sistem pendidikan di negara ini perlu melihat semula aspek pengurusannya. Semakan perlu dibuat terutama dari sudut teknikal dan profesional dengan memberikan tumpuan kepada soal meningkatkan kualiti kepemimpinan di sekolah.

Dalam konteks pemahaman asas, kepemimpinan merujuk semangat bekerjasama sebagai sebuah kumpulan dan bersama-sama mencapai matlamat yang digariskan. Kebetulan, semua ini berkait rapat dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memberikan tumpuan untuk membentuk kepemimpinan sekolah yang berkualiti.


Hari ini, kepemimpinan di sekolah mempunyai hala tuju yang cukup jelas. Setiap sekolah diberikan tanggungjawab mempertingkatkan kualiti kejayaan setiap pelajarnya sama ada dari segi pencapaian akademik atau apa-apa sahaja yang selari dengan pelaksanaan pelan peningkatan sekolah (SIP).

Cabaran Membentuk Kepemimpinan

Apakah sebenarnya bentuk kepemimpinan yang diperlukan di sekolah? Apakah pula bentuk kepemimpinan yang diperlukan oleh sekolah untuk menghadapi cabaran masa hadapan dan bagaimana sekolah mampu berdepan dengan perubahan semasa?

Membentuk kepemimpinan di sekolah adalah satu misi yang amat kritikal. Dalam konteks guru, memandangkan mereka sudah sedia dilatih untuk saling bekerjasama antara satu sama lain, mereka sebenarnya berupaya membentuk barisan kepemimpinan yang cukup berwibawa di sekolah.

Banyak bukti sudah menunjukkan bahawa jika guru diketuai seorang pengetua yang cekap, maka mudah bagi semua guru menjalinkan kerjasama, lantas membentuk sebuah kumpulan yang berdedikasi dan profesional.

Ringan bebanan tugas rutin

Namun, berdasarkan pengamatan saya, bukan mudah untuk pihak sekolah memberikan tumpuan kepada usaha membentuk kepemimpinan dalam kalangan guru. Setiap sekolah dibebani pelbagai tugas rutin yang mendesak seperti mengatur sesi persekolahan, isu pertukaran guru dan sebagainya.

Peranan Pengetua

Kebanyakan kepemimpinan di sekolah sekarang masih kekal dengan struktur pengurusan formal yang berdasarkan hiraki jawatan. Maka, jika merujuk hiraki jawatan, pengetua sebagai ketua, memainkan peranan penting dalam mengasah kualiti kepemimpinan dalam kalangan guru.

Pengetua harus mengakui bahawa setiap guru memiliki kemampuan dan kelebihan masing-masing. Jadi, pengetua harus memastikan setiap guru bersama-sama berganding bahu mencapai matlamat yang disasarkan oleh sekolah. Pembabitan semua guru ini penting bagi memastikan mereka berasa diri dihargai dan menjadi aset utama untuk membangunkan sekolah.

Pengetua harus membabitkan setiap guru dalam membuat keputusan, benarkan setiap guru memainkan peranan aktif dalam merangka belanjawan sekolah, hatta menilai pencapaian pengetua sekalipun!

Keputusan secara kolektif

Saya ingin sekali melihat setiap guru memainkan peranan sebagai pemimpin di sekolah masing-masing. Kepemimpinan guru membabitkan pelbagai instrumen dalam pembangunan di sekolah seperti membantu menterjemahkan pencapaian pengetua sebagai satu amalan, hubungan kerja yang rapat dengan guru lain, mahupun bersama-sama membuat keputusan secara kolektif.

Sebagai bekas pengetua, banyak manfaat yang saya peroleh apabila membenarkan guru di bawah seliaan saya dahulu untuk bersama-sama melontarkan idea dan bekerjasama untuk membangunkan sekolah. Dengan membantu antara satu sama lain, pembelajaran mampu dipertingkatkan, seterusnya menghasilkan keputusan yang cemerlang secara berterusan dalam peperiksaan penting.

Melalui kualiti kepemimpinan yang baik, apa juga isu pembangunan kakitangan dibuat melalui pelbagai pendekatan seperti khidmat nasihat, latihan, malah melalui konsultasi bagi memastikan pembangunan profesional guru berterusan.

Saya yakin dengan konsep pengagihan peranan kepemimpinan kepada setiap guru berdasarkan matlamat yang ditetapkan oleh sekolah.

Pastinya pengetua menginginkan barisan pimpinan guru yang bersama-sama membantu beliau meneruskan kejayaan dan kecemerlangan sekolah masing-masing.

Gaya kepemimpinan yang saya amalkan ketika menjadi pengetua dahulu menekankan kesepaduan dan bersifat fleksibel terhadap perubahan semasa. Ketika itu, saya banyak memainkan peranan sebagai pemimpin dalam mengimplementasikan kurikulum kebangsaan.

Dalam berdepan dengan perubahan, transformasi gaya kepemimpinan perlu diterima, manakala kepemimpinan moral pula sewajarnya menjadi amalan setiap hari. Bagaimanapun, kita perlu faham bahawa aspek kepemimpinan tidak sepatutnya diletakkan di bahu pengetua sekolah semata-mata. Zaman yang menganggap bahawa pengetua ialah pemimpin ulung di sekolah sebenarnya sudah berlalu.

Saya yakin ramai guru yang sedia mempraktikkan kebolehan kepemimpinan mereka. Kepada pengetua yang masih keberatan berkongsi peranan kepemimpinan di sekolah dengan guru, nasihat saya adalah berikanlah peluang kepada setiap guru menzahirkan kesungguhan mereka.

Berilah mereka peluang, seperti bait lirik lagu Frozen yang dinyanyikan dalam filem Disney kepada kanak-kanak di seluruh dunia; “So let it go, let it go ...Berita Harian Rencana 2014/05/30 - 10:38:39 AM Mary Yap Kain Ching
Tags: guru, pemimpin, pengetua
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments