kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaum minoriti perlu hormat hak Bumiputera

Kenyataan provokatif bertentangan Perlembagaan Persekutuan

Selama beberapa minggu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdullah Rahman dikecam hebat pelbagai pihak kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap sensitif dan provokatif.


Pendiriannya mengenai kedudukan Islam dan Melayu di negara ini dan bahawa bukan Melayu adalah ‘pendatang’ dianggap melampau dan rasis.

Paling kuat mengecam beliau tentulah pemimpin masyarakat dan politik Cina, selain seorang dua pemimpin Melayu yang beranggapan kenyataan sebegini tidak menyumbang kepada integrasi nasional.

Penulis tidak berniat memihak tetapi mempertahankan hak Abdullah Zaik untuk memberi pandangan. Mungkin ada pihak yang tidak gemar dengan rujukan dan nada bahasanya, tapi kebebasannya untuk menyatakan pendirian dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Selagi beliau tahu batas dan sanggup terima risiko terhadap apa yang diperkatakannya, Abdullah Zaik berhak menzahirkan pendirian mengenai hak kaum dan kedudukan agama di Malaysia.

Hak dan kebebasan ini jugalah yang sering diguna dan terus dituntut oleh puak tertentu, termasuk pemimpin parti politik seperti DAP, media dan NGO Cina serta kumpulan seperti COMANGO.

Salah guna hak asasi

Atas nama hak asasi, mereka kerap mengeluarkan pandangan yang ekstrem dan provokatif walaupun bercanggah dengan Perlembagaan dan melanggar kontrak sosial yang mengikat hubungan kaum di negara kita sejak enam dekad lalu.

Mereka berbuat demikian tanpa peduli perasaan kaum majoriti atau rasa tanggungjawab terhadap kesan dan implikasinya. Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng pernah memanggil pemimpin Melayu sebagai ‘syaitan’ dan ‘nazi.’ Bagaikan cikgu kencing berdiri murid kencing berlari, pemimpin DAP lain juga naik tocang. Tony Pua pula memanggil kakitangan sebuah jabatan awam yang majoriti Melayu sebagai ‘anjing’ manakala Teresa Kok menghina pemimpin negara dalam video Tahun Baru Cinanya. Terbaharu, seorang ADUN DAP Pulau Pinang berbangsa India memanggil pemimpin Melayu UMNO sebagai ‘celaka.’ Dalam mengeluarkan pandangan mereka, tiada artikulasi atau hujah munasabah.

Tentu masih ramai yang ingat pelbagai desakan oleh kumpulan ultra Suqui kira-kira 15 tahun lalu, yang mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan menjejas kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Umat Islam marah dengan tindakan pemimpin bukan Melayu yang menghina Raja-Raja Melayu serta kesucian Ramadan dan Aidilfitri dengan iklan berbuka puasa dengan sup tulang babi.

Mereka tidak lupa tindakan pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham mengutuk orang Islam yang berhimpun beramai-ramai untuk memprotes tayangan filem Innocence of Muslims sebagai membuang masa dan tenaga, juga Nga Kor Ming yang mengguna ayat al-Quran dalam ceramahnya untuk mengutuk orang Melayu walaupun sebutan tidak betul dan bacaannya cacat. Kebiadaban segelintir pemimpin Cina mempertikai azan di masjid dan tulisan Jawi pada nama jalan juga menghiris perasaan masyarakat Melayu-Islam di negara ini.

Tindakan provokasi

Dalam semua kes ini, banyak bantahan dan laporan polis dibuat. Mereka yang membuat provokasi enggan memohon maaf walau didesak. Tegas mereka, ini adalah hak dan kebebasan mereka kerana Malaysia negara demokrasi.

Atas prinsip dan semangat yang sama, Abdullah Zaik dan pemimpin Melayu-Muslim lain akan tetap mengeluarkan kenyataan keras pada masa akan datang atau membuat protes dan demonstrasi.

Mereka ada hak untuk mempertahan kedudukan, kebajikan dan kepentingan Melayu-Islam di negara ini. Hakikatnya, pandangan dan pendirian yang dianggap sensitif dan provokatif olehnya dan tokoh lain seperti Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya, Datuk Zulkifli Nordin serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah tidak akan dibuat jika tiada pihak yang terlebih dahulu mengeluarkan pandangan rasis dan provokatif serta berpendirian ultra.

Penulis berani jamin bahawa pertubuhan seperti Perkasa tiada pengikut atau tempat jika tidak ada Suqui atau Dong Zong. Malah MuslimPRO juga tidak akan ditubuhkan jika tidak ada COMANGO.

Konklusinya, semua pihak perlu bersikap praktikal dan saling menghormati. Di Malaysia, bilangan Bumiputera dan penganut agama Islam dalam negara ini hampir 70 peratus. Puak ultra dan NGO yang memperjuang hak kaum minoriti perlulah rasional dan lebih munasabah apabila mengeluarkan pandangan atau mengambil sesuatu pendirian selagi hak mereka dijaga.

Mahu berkeras mesti bertempat dan ada asas logiknya. Jika tidak, setiap aksi pasti ada reaksi. Mereka tak boleh harap orang lain menghormati hak dan menerima pandangan mereka jika mereka bersikap kurang ajar, angkuh dan tidak peduli hak serta kepentingan pihak lain.

Jika benar mereka berpegang kepada prinsip hak asasi dan demokrasi, susahkah untuk faham bahawa prinsip utama demokrasi ialah menghormati hak dan menerima kedudukan kaum majoriti?

E-mel ke rencanabh@bh.com.my Untuk berkongsi pendapat anda Berita Harian Rencana  2014/06/01 - 05:37:13 AM Juhaidi Yean Abdullah
Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments