kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kegembiraan berganda di China

DALAM seminggu ini cuaca di Beijing amat panas. Suhunya pernah mencecah 49 darjah Celsius. Keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa. Musim panas baru sahaja bermula di negara China.

Walaupun panas memijar, para pelancong masih lagi berpusu-pusu membanjiri Dataran Tiananmen sejak awal pagi. Dari arah bangunan The Great Hall of People yang setentang dengan dataran itu, berpuluh-puluh buah bas pelancong beratur panjang. Sementelah lagi, ada cuti umum perayaan Festival Bot Naga yang kebetulan jatuh semalam (Isnin) dan bersambung terus dengan cuti hujung minggu.


Perdana Menteri, Najib Tun Razak (tengah) bersama Presiden Persatuan China ASEAN, Gu Xiulian (kiri) dan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan memotong kek pada majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China 2014 di Beijing, Sabtu lalu. - BERNAMA

Penduduk negara ini menikmati cuti panjang dengan keluar makan angin bersama keluarga sambil menikmati jongzi - ketupat beras yang dibalut dengan daun buluh.

Kegembiraan menyambut festival ini dapat dilihat di segenap tempat di kota raya ini. Hotel, pusat beli-belah, restoran dan kedai-kedai rancak mempromosikan festival tersebut dengan menjual kuih tradisional masyarakat Cina itu. Minggu ini adalah minggu perayaan yang disambut dengan kegembiraan bagi penduduk China.

Kegembiraan yang sama turut dirasai oleh rombongan Malaysia yang dalam lawatan rasmi enam hari ke negara Tembok Besar ini diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suasana ini dapat dilihat di dewan sebuah hotel terkemuka di kota raya Beijing, tempat berlangsungnya sidang akhbar ‘penggulungan’ lawatan rasmi berkenaan, Sabtu lalu.

Walaupun kelihatan sedikit keletihan, barangkali kerana program lawatan yang sangat padat, Perdana Menteri bersemangat bercerita mengenai hasil lawatan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Ketika ditanya pemberita apakah perkara yang paling menggembirakan beliau sepanjang lawatan tersebut, Najib menjawab ‘keberhasilan.’

Beliau mempunyai banyak sebab untuk merasa gembira pada malam tersebut. Pertama, lawatan yang dilihat sebagai mengulangi apa yang telah dicetuskan oleh ayahandanya 40 lalu, memberi sinar yang lebih cemerlang kepada masa depan hubungan Malaysia-Cina.

Empat puluh tahun pertama sudah diharungi dengan jayanya dan 40 tahun seterusnya yang baru bermula akan menjadi era yang menjanjikan lebih banyak kejayaan bermakna untuk rakyat kedua-dua negara.

Komitmen dua pemimpin tertinggi republik itu, Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping untuk memelihara persahabatan yang sudah terbina sejak 1974 lagi adalah satu pengiktirafan bagi Malaysia.

Kedua-duanya menganggap Malaysia rakan istimewa dan penting sama ada dalam hubungan ekonomi mahupun antara rakyat dengan rakyat.

Dari aspek ekonomi, China mahu sasaran nilai dagangan dua hala dengan Malaysia yang berjumlah RM512 bilion (RM160 bilion) dicapai dalam tempoh lima tahun ini.

Le Keqiang juga menyatakan komitmen untuk mengimbangi nisbah perdagangan dua hala yang selama ini memihak kepada China dengan meminta lebih ramai ahli perniagaan negaranya melabur di Malaysia.

Perkara itu terbukti apabila sekurang-kurangnya 11 memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang ditandatangani oleh syarikat dari Malaysia dan China.

Dalam pada itu ketika Malaysia masih gusar dan tertanya-tanya tentang bentuk reaksi yang bakal diterima berhubung insiden kehilangan pesawat MH370, kedua-dua pemimpin China berkenaan sekali lagi memberi kenyataan yang melegakan.

Mereka tidak akan membiarkan isu berkenaan menjejaskan hubungan sedia ada. China sudah melihat kesungguhan Malaysia dalam menangani insiden tersebut malah negara itu turut sama terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.

China memahami bagaimana beratnya beban yang ditanggung oleh Malaysia dalam berhadapan dengan insiden yang terus menjadi misteri tidak terungkai sehingga sekarang.

Perdana Menteri China memberi jaminan dan kesanggupan untuk berganding bahu dengan Malaysia dalam operasi mencari, menangani situasi semasa dan pada masa sama memastikan hubungan terus kukuh.

Selama 40 tahun bersahabat, hubungan China dan Malaysia berada di landasan yang komprehensif, stabil, pragmatik, dinamik dan sangat kukuh.

Badai dan ujian yang sesekali melanda persahabatan antara dua buah negara ini mematangkan lagi hubungan mereka.

Le Keqiang menggunakan perumpamaan yang berbunyi: "Tidak perlu lagi ada rasa curiga pada usia 40 tahun" bagi menggambarkan pendirian negaranya dalam mentafsir hubungan dengan Malaysia.

Lawatan Najib ke China benar-benar memberi kegembiraan yang sangat bermakna kepada beliau.

Selain berpuas hati dengan kejayaan kunjungan itu, Perdana Menteri turut dihadiahkan dengan dua berita yang menambahkan lagi kegembiraan tersebut.

Sehari sebelum majlis meraikan ulang tahun ke-40 hubungan kedua-dua buah negara, warga China Goa Huayun yang diculik di sebuah pulau di Semporna, Sabah, berjaya diselamatkan di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina.

Sejurus sebelum bermulanya sidang akhbar pula, beliau dimaklumkan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pilihan raya kecil yang sangat sengit. Lebih manis, calon BN menewaskan DAP.

Selepas berakhir sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri dikerumuni ramai orang yang meminta untuk bergambar dan selfie dengan beliau. Beliau tidak menolak sambil sesekali berjenaka dan ketawa ceria.

Pada malam itu Perdana Menteri mempunyai banyak sebab untuk berkongsi kegembiraannya! Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140603

Tags: china, malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments