ANALISIS terbaru yang dilakukan di makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury, yang menjadi perhatian umum, telah disahkan tiada Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi. Sampelnya diambil terus oleh Jakim dari kilang pengeluarnya.
Keputusan tersebut berbeza dengan dua sampel coklat jenama sama yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini mengandungi DNA babi atau porsin. Bezanya, sampel itu diambil dari pasaran.
Namun dua penemuan berbeza terhadap produk yang serupa boleh mewujudkan suasana was-was di kalangan pengguna Islam.
Langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa memberi perhatian dalam soal penentuan status halal bagi produk-produk makanan yang dipasarkan di negara kita. Kecelaruan yang berbangkit seperti kes coklat ini perlu dielakkan kerana ia melibatkan soal halal dan haram makanan.
Selain mekanisme yang jelas dan seragam, penguatkuasaan dan peman-tauan yang kerap di kilang atau di pasaran perlu dilakukan bagi memastikan produk makanan khususnya yang memperoleh sijil halal sentiasa bersih dalam erti kata sebenar. Kita mahu mana-mana pengeluar terus memberi perhatian pada aspek halal produk walaupun setelah mereka memperoleh sijil halal bagi sesuatu produk mereka itu.
AWANG - Pilih yang halal. Utusan/Rencana/20140603