kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masyarakat perlu hayati semula Rukun Negara

Kecelaruan dan kekeliruan nilai masyarakat sekarang ini perlu ditangani segera dengan kembali menjunjung prinsip Rukun Negara yang dibentuk melalui Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang diketuai oleh negarawan dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Meskipun tujuan asasnya ialah untuk membentuk keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969, semangat yang utama ialah membentuk kesejahteraan masyarakat.

NOW THEREFORE, WE, the people of Malaysia, pledge to concentrate the whole of our energy and efforts to achieve these ambitions based on the following principles:


Rukun Negara



The National Ideology
Apatah lagi tatkala kita berhadapan pelbagai cabaran dan isu yang boleh mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum serta mengganggu segenap keharmonian yang ada dan dijaga selama ini.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia Ke-13, menyediakan lima rukun penting yang sewajarnya diterapkan dan diperkasakan dalam kalangan rakyat negara ini secara berterusan yang mengingatkan kita bahawa tanggungjawab utama terhadap negara ialah menjaga kesejahteraan bersama yang ada.


Pertahan kesejahteraan

Pembangunan ekonomi dan fizikal lainnya hanya bermakna apabila kesejahteraan masyarakat dapat dipertahankan, mendidik hati dan jiwa kita untuk membenci permusuhan, membuang kebencian sesama sendiri serta menyingkirkan niat buruk untuk merosakkan perpaduan dan ketenteraman yang dinikmati selama ini.

Pendidikan agama perlu menjadi teras dalam pendidikan hati untuk menghormati hal orang lain, hidup dalam berkasih sayang, mempunyai nilai integriti yang tinggi, tahu dan bijak mengawal nafsu sama ada seksual mahu pun material malah pelbagai asas penting bermasyarakat dan hidup bersama sebagai makhluk sosial.

Agama juga seharusnya menjadi pegangan dan nilai penting dalam apa yang dilakukan. Malangnya, kita makin keliru antara tuntutan agama dengan tuntutan lain.

Rukun Negara juga dengan jelas mengajak masyarakat berpegang teguh kepada kesetiaan kepada Raja dan Negara. Apa yang dibuat harus mengambil kita kepentingan negara dan masyarakat mengatasi tuntutan peribadi. Ini termasuk dalam mengawal nafsu tamak haloba, integriti dan kuasa.

Raja tonggak negara

Raja menjadi tonggak kesetiaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan konsep Perlembagaan yang diterima oleh semua pihak. Hal ini penting apabila sejak sekian lama kita percaya kepada keluhuran Perlembagaan negara yang bertunjangkan keadilan sosial, sikap toleransi dan saling bekerjasama dalam menegakkan keharmonian serta pembangunan negara yang seimbang.

Malah, rakyat menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dengan memenuhi hasrat dan tujuan yang sama.

Sikap membelakangkan undang-undang dengan meletakkan ketamakan sebagai yang utama dan meremehkan sistem yang ada ada dan diterima secara sah, adalah antara gejala zaman ini yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengingkarinya.

Tentunya yang utama ialah sentiasa berpegang teguh kepada kesopanan dan kesusilaan. Malangnya, kita hari ini begitu terdedah dengan media yang terbuka, sikap pemarah yang ditunjukkan, maki hamun termasuk dalam Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya menjulang tinggi prinsip ini.

Sekian lama, masyarakat kita begitu mempertahankan segala nilai murni yang ada. Kita bangga dengan perpaduan rakyat yang menghormati kepelbagaian fikiran, agama, bahasa, bangsa, budaya dan sebagainya. Kita saling menghormati di antara satu sama lain.

Malangnya, hari ini orang sudah terbuka menzahirkan kebencian. Yang tua sudah tidak dihormati apatah lagi disegani. Yang muda sudah tidak disayangi dan dikasihi.

Seluruh sistem nilai kita makin tercalar sehingga akhirnya kita hilang fokus dan tidak lagi mempedulikan kesejahteraan yang kita idamkan bersama yang sepatutnya dipertahan dan diperkasakan secara berterusan.

Masyarakat perlu kembali kepada Rukun Negara. Ia perlu dipegang dan dipertahankan demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dan negara. Segala jenayah dan gejala sosial perlu menjadi musuh nombor satu. Ini adalah tugas bersama yang bukan boleh dipaksa, tetapi digembleng kekuatan yang ada, bersama-sama.

Mohamad Abdullah ialah Timbalan Pendaftar Kanan di Universiti Sains Malaysia Berita Harian Agama 2014/06/04 - 08:29:43 AM
Tags: rukun negara
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments