kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendirian pertahanan Jepun menyukarkan ASEAN

TIDAK mengejutkan apabila tercetusnya pertikaman lidah di antara dua kuasa utama rantau Asia Pasifik iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China ketika berlangsungnya Dialog Shangri La yang merupakan forum pertahanan terpenting di rantau ini kerana senarionya berlatar belakang beberapa peristiwa tegang Laut China Selatan.

Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel telah menuduh tindak-tanduk China yang agresif di Laut China Selatan menggugat kestabilan di kawasan yang menjadi re­butan beberapa negara. Beliau secara langsung menyentuh perbalahan China dengan Filipina di Beting Scarborough dan dengan Vietnam di Kepulauan Paracel memaksa Washington mengambil perhatian khusus walaupun tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak bertelingkah.

Sementara China yang diwakili oleh Jeneral Wang Guanzhong telah menyelar ucapan Hagel yang dianggap mempunyai unsur ugutan dan tidak membantu membentuk suasana perbincangan yang mesra dalam forum pertahanan tersebut.

AS tambah Guanzhong cuba menjadi jaguh dan seakan-akan tidak boleh menerima hakikat kebangkitan China di rantau Asia Pasifik.

Tidak memeranjatkan berlakunya per­­t­em­bungan di antara Washington dan Beijing kerana masing-masing cuba memperluaskan pengaruh di kalangan ang­gota ASEAN yang sebahagian besar juga turut serta dalam forum tersebut.

Setiap kali dua kuasa besar ini bertemu terutama sekali dalam forum pertahanan, maka setiap kali berlaku apa yang digelar tingkahlaku hegemoni.

Tetapi apa yang paling menakjubkan sekali adalah pertembungan Hagel dan Guanzhong telah dibayangi oleh ucapan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang boleh ditafsirkan sebagai dasar pertahanan baharu Tokyo yang turut melibatkan secara langsung beberapa anggota ASEAN.

Tanpa menamakan China sebagai sasaran ucapan beliau, Abe telah mengkritik Beijing yang mengamalkan dasar meluaskan wila­yah kedaulatan dengan kaedah ugutan dan ketenteraan.

Paling menarik adalah kiasan Abe ini bukan hanya bersandarkan senario perebutan Pulau Senkaku/Diaoyu di Laut China Timur di antara Tokyo dan Beijing tetapi turut me­libatkan sengketa tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Abe memberi jaminan bahawa Jepun akan memainkan peranan yang lebih berat dalam menentukan kestabilan rantau Asia Pasifik dan akan membantu mana-mana negara ASEAN yang memerlukan aset seperti kapal peronda, kelengkapan peninjau dan juga latihan ketenteraan.

Paling sinis sekali apabila Abe meng­umumkan Jepun telah bersetuju membe­kalkan 10 kapal peronda kepada Fi­lipina dan rundingan yang serupa sedang ber­langsung dengan Vietnam. Sinis kerana kedua-dua anggota ASEAN ini sudah sering kali bertembung secara fizikal dengan Pengawal Pantai China (CCG) dan sering kali juga mereka tewas kerana China mempunyai aset tentera laut yang jauh lebih hebat.

Kritikalnya ucapan Abe adalah kerana ia memberi tafsiran bahawa Jepun sudah mula berani mengambil pendekatan yang lebih aktif dalam perkara yang melibatkan hubungan ketenteraan dengan negara luar. Hal ini kerana perlembagaan Jepun melarang penglibatan secara langsung angkatan tentera negara itu (SDF) dengan negara luar kecuali untuk misi kemanusiaan.

Penglibatan SDF Jepun dengan orga­nisasi tentera ASEAN berada pada tahap yang agak minimum kerana kekangan perlembagaan Jepun yang dianggap pasif dalam hal ketenteraan. Jika ada kaitan sekali pun hanya penglibatan aset ketenteraan Jepun untuk kegunaan pencegahan aktiviti lanun seperti program Eye in the Sky untuk Selat Melaka.

Kemusykilan paling menarik, apakah pendirian ASEAN mengenai dasar Jepun yang ditafsirkan mempunyai cita-cita untuk menyekat pengaruh China melalui strategi ketenteraan? Memang benar kewujudan pengaruh ketenteraan AS di kalangan beberapa anggota ASEAN telah lama wujud tetapi penglibatan Jepun secara langsung merupakan satu fenomena yang agak drastik.

Jika ASEAN menerima kehadiran Jepun dalam hal ehwal ketenteraan secara terbuka, ia mampu mengubah senario persefahaman pertahanan yang sedia ada di rantau ini. Jepun yang dianggap lebih serasi dengan rantau Asia Pasifik berbanding dengan kuasa tentera hebat lain seperti AS, Britain dan Australia umpamanya mampu menjadi pemain utama yang boleh mewarnai senario kestabilan rantau ini.

Lebih menarik lagi jika dikaitkan dengan apa yang telah berlaku ketika Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keya­kinan di Asia (CICA) yang baru diadakan di Shanghai dua minggu lepas. Presiden China Xi Jinping telah menggariskan struktur baharu pertahanan Asia yang turut melibatkan peranan ASEAN secara langsung. Tetapi perlu ditekankan CICA tidak pula melibatkan Jepun dan AS hanya mempunyai taraf pemerhati.

Pertembungan di antara saranan Abe dan Jinping mengenai struktur pertahanan Asia akan menyukarkan lagi pendirian ASEAN kerana dalam pertubuhan ini ada negara yang menyebelahi Jepun dan ada pula yang berpihak dengan China.

Kehadiran AS umpamanaya dalam isu Laut China Selatan sudah memberi kesan kepada ASEAN kerana wujud dua kumpulan yang bertentangan. Ditambah pula dengan kehadiran Jepun secara aktif, situasi sebegini akan menyukarkan lagi keadaan.

Apakah keadaan sebegini akan me­naikkan lagi suhu provokasi yang sudah pun lama berada pada tahap panas di antara Vietnam, Filipina dan China, mempunyai kebarangkalian yang begitu tinggi. Penyelesaian kemelut Laut China Selatan melalui ugutan dan provokasi bukan kaedah yang dialu-alukan oleh semua pihak yang terlibat.

Ketika pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak de­ngan Presiden China baru-baru ini, Jinping telah menegaskan Beijing sama sekali tidak akan memulakan kekacauan, tetapi akan mengambil tindak balas jika provokasi dilakukan oleh negara lain. Situasi sebegini yang perlu dihindarkan oleh ASEAN dan pendirian terbaharu Jepun tidak banyak membantu.

Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM   Utusan/Rencana/20140605

Tags: china, jepun
Subscribe

  • Marah bawa padah

    ELAK pertengkaran dan pastikan anda tidak menjadi 'road bully' jika terlibat dengan kemalangan jalan raya untuk mengelak perlakuan amarah…

  • 10 faktor kemarahan

    SEBELUM dijadikan filem, watak komik The Incredible Hulk merupakan siri televisyen yang popular pada awal 1980-an. Ya, saya sempat menontonnya…

  • Kita melahirkan manusia marah-marah

    Kemalangan itu kecil sahaja, di tengah kesesakan lalu lintas sebuah kereta melanggar bahagian belakang kereta di hadapan. Pemandu kereta keluar,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments