Oleh sebab itulah, antara lain, undangundang am yang terpakai kepada semua orang dan yang melibatkan ketenteraman negara seperti undangundang jenayah dijadikan undang-undang Persekutuan yang tidak terhad kepada orang Islam dan sempadan sesebuah negeri sahaja.
Untuk melaksanakannya dengan berkesan diwujudkan pasukan polis, Jabatan Penjara dan mahkamah sivil yang bidang kuasanya meliputi seluruh negara dan semua orang. Perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai kerjasama membanteras jenayah seperti Interpol adalah perjanjian di antara negara dengan negara. Undang-undang antarabangsa tidak mengiktiraf negeri seperti Kelantan. Ia mengiktiraf negara seperti Malaysia untuk menjadi pihak-pihak (parties) dalam sesuatu perjanjian. Undang-undang ekstradisi juga melibatkan negara, bukan negeri.
Kuasa membuat undang-undang yang diberi kepada negeri adalah yang terkandung dalam Senarai II Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) hanya berkaitan undangundang diri dan keluarga orang Islam. Itu sahaja.
Sepanjang ingatan saya, pada masa Perlembagaan Persekutuan digubal, tiada pihak yang mempertikaikan pembahagian kuasa itu. Apabila mahkamah syariah ditubuhkan dan undang-undangnya digubal, mula timbul rasa tidak puas hati di kalangan hakim dan pegawai mahkamah itu.
Mereka membandingkan bidang kuasa mahkamah syariah dengan bidang kuasa mahkamah sivil, kedudukan mahkamah syariah dengan kedudukan mahkamah sivil, kedudukan mereka dengan kedudukan hakim dan pegawai mahkamah sivil. Mereka merasakan bahawa mahkamah syariah dan mereka berada dalam serba kekurangan. Maka, mereka menuntut bidang kuasa mahkamah itu diperluaskan.
Isu pembahagian bidang kuasa ini menjadi lebih serius apabila Kelantan hendak melaksanakan hudud. Pada 1993, Badan Perundangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993. Kerana halangan keperlembagaan dan undang-undang, sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.
Anehnya, setakat yang saya tahu, sehingga saya menyebutnya dalam syarahan saya anjuran Yadim pada 7 Januari 2014, tidak ada sesiapa pun, termasuk ahli akademik, yang mengatakan bahawa sebahagian daripada kesalahan yang terdapat dalam enakmen itu adalah "undangundang jenayah" yang terletak dalam bidang kuasa Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa mengenainya. Misalnya, menyebabkan kematian, merogol, merompak dan mencuri.
Ahliahli akademik, setakat yang saya pernah temui, berhujah bahawa oleh sebab kesalahan-kesalahan itu adalah "kesalahan-kesalahan hudud", hukum syarak, undangundang Islam, dan oleh sebab agama Islam terletak dalam bidang kuasa negeri, maka Badan Perundangan Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenainya. Di samping itu mereka juga cuba memberi tafsiran yang lebih luas kepada katakata "Islam" dan "Islamic law" yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyokong pendapat mereka.
Biar apa pun, selepas syarahan saya itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, pada 2 April 2014, memutuskan untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private members bill) di Parlimen untuk mendapat kebenaran Parlimen bagi Badan Perundangan Negeri membuat undangundang mengenai perkaraperkara yang terletak dalam bidang kuasa Persekutuan, seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan akhbarnya Menteri Besar Kelantan, antara lain, dilaporkan berkata:
"Sebahagian besar kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code)..."
Nampaknya, Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima pandangan saya itu dan mencari jalan untuk mengatasinya. Ini disahkan oleh Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Exco kerajaan negeri itu dalam kertas kerjanya bertajuk "Ke arah Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993" di Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan anjuran Yadim pada 29 Mei 2014. Antara lain, katanya:
"Selain itu satu lagi rang undang-undang persendirian (private members bill) akan dibawa ke Parlimen bagi meluaskan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri Kelantan sebagaimana peruntukkan 76A(1)."
Sebenarnya, apa yang hendak dilakukan oleh Kelantan itu dalam bahasa mudah, ia hendak mengambil bidang kuasa Persekutuan dalam perkara tersebut. Katakanlah Persekutuan yang hendak mengambil kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan kepada negeri Kelantan, bagaimanakah agaknya reaksi Kelantan dan Pas? Saya percaya, Persekutuan akan dituduh "merampas" hak negeri Kelantan, "zalim" dan lainlain.
Tetapi, oleh sebab apa yang hendak dilakukan itu kerana hendak melaksanakan hudud, maka ia dilihat sebagai satu perjuangan Islam dan Persekutuan sebagai mementang Islam. Orang ramai juga bersimpati dengan tindakan Kelantan itu atas nama Islam dan soal hendak mengambil hak orang lain tenggelam.
Biar apa pun, sekurangkurangnya Kelantan mengakui bahawa kesalahan itu terletak dalam bidang kuasa Persekutuan dan mencari jalan, mengikut Perlembagaan untuk mengatasinya. Dalam katakata lain, Kelantan bertindak dalam kerangka keperlembagaan dan bukan membelakangkannya. Kelantan bersandar kepada Perkara 76A(1) untuk menyelesaikan masalahnya.
Peruntukan itu memberi kuasa kepada Parlimen untuk membenarkan Badan Perundangan Negeri, dalam hal ini Kelantan, untuk membuat undangundang bagi kesalahan menyebabkan kematian dan kecederaan, merompak, merogol dan mencuri dan mengenakan hukuman hudud, qisas diyat. Beberapa persoalan timbul di sini.
Pertama, undang-undang itu kekal sifatnya sebagai undangundang jenayah atau ia bertukar menjadi undangundang yang dibuat di bawah Senarai Negeri? Pada pandangan saya, sifatnya kekal sebagai udang-undang jenayah. Saya berkata demikian kerana:
l Dari asalnya kesalahankesalahan itu adalah undangundang jenayah yang terletak dalam Senarai Persekutuan. Ia tidak termasuk dalam Senarai Negeri, sebab itulah Kelantan terpaksa meminta kebenaran di bawah Perkara 76A(1).
l Parlimen tidak meminda Perlembagaan untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri. Apa yang dilakukan oleh Parlimen hanya membenarkan Badan Perundangan Negeri membuat undangundang dalam perkara itu untuk dipakai di negeri itu. Sifatnya tidak diubah. Saya tekankan bahawa untuk meletakkannya di bawah Senarai Negeri memerlukan pindaan kepada Perlembagaan dan majoriti dua per tiga. Jika demikianlah halnya, apakah kesannya? Pada pandangan saya:
l Ia mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam sebab ia adalah undangundang jenayah Persekutuan dan bukan undangundang yang dibuat di bawah Senarai Negeri. Jika tidak ia tak keperlembagaan (unconstitutional) kerana bercanggah dengan Perkara 8.
l Mahkamah mana yang mempunyai bidang kuasa membicarakan keskes itu? Jawabnya, mahkamah sivil. Sebabnya, pertama, ia adalah undangundang jenayah dan bukan undangundang yang dibuat di bawah Senarai Negeri. Kedua, mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam manakala mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam sahaja.
Semua ini bukanlah apa yang dikehendaki oleh Kelantan. Kerajaan Negeri Kelantan menyangka Perkara 76A(1) akan dapat menyampaikan hasratnya. Tetapi, hasilnya bukanlah apa yang mereka kehendaki.
Dalam perenggan kedua rencana ini saya memberi satu alasan mengapa undangundang jenayah diletakkan di bawah bidang kuasa Persekutuan. Kita akan namakannya alasan pertama.
Maka alasan kedua ialah, jika undangundang jenayah dijadikan undangundang negeri, besar kemungkinan, akan berlaku perbezaan undangundang itu dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Dalam undangundang yang ada sekarang pun sudah terdapat perbezaan di antara sebuah negeri dengan sebuah negeri. Itu baru mengenai undangundang diri dan keluarga. Apatah lagi dalam undangundang jenayah yang lebih rumit dan serius. Keadaan ini akan menyebabkan ketidakpastian undangundang.
Ketiga, jika semua negeri melakukan perkara yang sama, kita akan mempunyai 15 set undangundang jenayah, satu undangundang Persekutuan dan 14 undangundang negeri, satu ditadbirkan oleh Persekutuan dan 14 ditadbirkan oleh negeri. Saya khuatir, ia mewujudkan keadaan yang kelam kabut.
Keempat, jika Parlimen membenarkan Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat undangundang mengenai undangundang jenayah Persekutuan dan ia membuatnya dan, di samping itu, ia juga membuat undangundang "jenayah syariah" mengikut Senarai Negeri, di Kelantan akan ada dua set "undangundang hudud". Set pertama ialah undangundang yang dibuat di bawah Senarai Negeri, misalnya bagi kesalahankesalahan berzina, menuduh orang berzina dan meminum minuman yang memabukkan.
Kesalahankesalahan itu hanya terpakai kepada orang Islam, disiasat dan didakwa oleh pegawai penyiasat dan pendakwa syariah dan dibicarakan oleh mahkamah syariah. Set kedua ialah undangundang yang dibuat berikutan kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A(1) itu. Undangundang itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam, disiasat oleh polis, didakwa oleh pendakwa raya dan dibicarakan mahkamah sivil.
Semua masalah ini timbul bukan kerana salah penggubal perlembagaan. Mandat yang diberikan kepada mereka adalah jelas bahawa Persekutuan mestilah teguh, bahawa undangundang am yang melibatkan ketenteraman awam hendaklah diletakkan di bawah Kerajaan Persekutuan dengan jentera pelaksanaannya sekali.
Segalagalanya berjalan dengan baik dan berkesan selama 56 tahun. Apa yang menimbulkan masalah sekarang ialah kerana Kelantan hendak mengambil bidang kuasa Persekutuan. Maka timbullah berbagai masalah. Sambil ulama mempunyai prinsip dan keadaan yang perlu ditimbang dalam menetapkan hukum, pemerintah pula mempunyai faktorfaktor tambahan yang perlu diambil kira dalam pelaksanaannya.
Tun Abdul Hamid Mohamad ialah Bekas Ketua Hakim Negara Utusan/Rencana/20140606