TIDAK semua orang sanggup berjemur di bawah remang terik mentari terutama untuk bekerja di terminal minyak yang dibina di pesisiran laut. Suhu adakalanya boleh mencecah sehingga 40 darjah selsius menjadikan hanya mereka yang benar-benar kuat secara mental dan fizikal mampu bertahan lama dalam kerjaya ini.
Namun bagi Hafiz Sayudin, 25, faktor cuaca bukanlah halangan bagi dirinya untuk bergelar penyelia keselamatan tapak binaan kontraktor pembinaan di sektor minyak dan gas di selatan Semenanjung Malaysia.
Walaupun memiliki diploma yang membolehkan dirinya untuk bekerja di pejabat yang lebih selesa dan berhawa dingin, Hafiz membuktikan anak muda sepertinya bukanlah jenis yang terlalu memilih kerja.
Bagi Hafiz, pekerjaan sebagai penyelia walaupun di tempat yang tidak selesa bukanlah alasan untuk dirinya bekerja sambil lewa.
SEBELUM memulakan kerja, Hafiz Sayudin (kanan) memastikan langkahlangkah keselamatan diambil oleh semua pekerja di tapak binaan |
Saya tidak menafikan minat antara faktor saya memilih kerjaya ini. Semuanya selepas sepupu memperkenalkan saya dengan kerjaya lasak yang sebenarnya sudah lama diperkenalkan namun tidak ramai yang mengetahui tentang kepentingannya.
Kerjaya ini sebenarnya amat mulia iaitu kami memastikan keadaan 'fizikal' setiap pekerja sebelum masuk dan selepas keluar dari tapak binaan adalah sama. Umpamanya jika dia mempunyai 10 jari kaki dan tangan sebelum masuk ke tapak binaan, begitulah juga ketika keluar. Tiada secarik luka di mana-mana anggota tubuh mereka.
Tetapi seringkali perkara ini tidak dititikberatkan. Kami sering dilabel sebagai golongan yang melambatkan kerja. Ini kerana untuk mencapai satu objektif keselamatan terdapat beberapa langkah tambahan kerja selamat yang perlu dipatuhi," katanya.
Memanglah kata Hafiz, tanpa mengikuti prosedur ini, urusan akan menjadi lebih cepat, namun risikonya menjadi semakin tinggi dan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini pastinya bukan sahaja menyusahkan semua pihak, malah akan melambatkan perjalanan projek itu secara keseluruhan.
Warga asing
Bila dibandingkan dengan jabatan lain di tapak bina, bahagian keselamatan yang paling banyak berhubung dengan pekerja yang terdiri daripada warga asing seperti dari Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Filipina.
Kepercayaan warga asing ini kepada para penyelia itu pula bukan sekadar membabitkan urusan kerja, malah melibatkan hal peribadi seperti menyerahkan kad ATM mereka untuk kemasukan dan pengeluaran wang tunai.
Penyelia juga diibaratkan sebagai kaunselor yang mendengar masalah mereka yang jauh daripada keluarga dan anak-anak.
Walaupun wujud sedikit masalah komunikasi, namun bukanlah penghalang untuk merapatkan diri dengan pekerja warga asing.
Saya adakalanya meletakkan diri saya di tempat mereka. Bayangkan mereka berkelana ke negara yang beribu batu jauhnya dari negara asal semata-mata untuk mencari pendapatan halal. Meninggalkan keluarga demi sebuah kehidupan yang bukanlah terlalu selesa demi mencari rezeki untuk ahli keluarga," kata Hafiz yang juga sering ke hospital dan balai polis menyelesaikan masalah peribadi melibatkan pekerja warga asing.
Cerita Hafiz, pekerja warga asing ini sebenarnya amat baik hati. Mereka langsung tidak kedekut untuk mengeluarkan belanja daripada pendapatan mereka yang tidak seberapa untuk membeli makanan dan minuman kepada semua yang bekerja di tapak binaan.
Penyelia sering juga dianggap sebagai abang besar oleh pekerja warga asing terutama bila berhadapan dengan masalah di tempat kerja. Malah sesekali kami dipanggil doktor kerana melakukan pertolongan cemas sebelum kehadiran ambulans atau dihantar ke hospital," imbas Hafiz.
Peristiwa aneh
Satu pengalaman yang sukar dilupakan Hafiz di satu projek yang disertainya sebelum ini ialah apabila dia didatangi dua lelaki misteri yang mengarahkan supaya kontraktor menghentikan projek yang sedang dijalankan. Dalam dakwaan dua lelaki tersebut, kawasan itu merupakan bekas tapak istana kesultanan di zaman dahulu dan ia adalah keramat.
Mereka memberikan masa selama sebulan untuk mengosongkan tempat kerja dan mengugut sekiranya kami mengabaikan nasihat tersebut musibah seperti tsunami akan melanda.
Pada mulanya kami semuanya menyangkakan dua lelaki tersebut hanya mahukan wang pampasan, namun setelah ditawarkan sagu hati mereka berdua menolak, malah mengingatkan kami sekali lagi tentang amaran tersebut.
Kebetulan sehari selepas itu, cuaca di tapak binaan sering berlaku ribut-ribut kecil, dengan ombak yang agak meninggi sedikit sebanyak membuatkan kami terfikir kembali amaran dua lelaki misteri tersebut," katanya. NOOR FAZRINA KAMAL Utusan/Bicara_Agama/20140606