kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Piala Dunia kembali lagi!

BERBEZA dengan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung selama 10 bulan setiap tahun, kejohanan Piala Dunia pula diadakan setiap empat tahun. Faktor ini mendorong ramai orang menanti-nanti tarikh sepak mula Piala Dunia pada 12 Jun ini. Tarikh untuk temasya paling hebat di dunia!

Perbezaan waktu di Amerika Selatan bermakna siang di Brazil, malam di Malaysia. 12 Jun di sana, 13 Jun di sini. Acara perasmiannya di Sao Paolo bermula 2 pagi (waktu Malaysia) dan perlawanan pertama tuan rumah menentang Croatia jam 4 pagi. Tamat perlawanan, jangan lena sampai tengah hari. 13 Jun ialah Jumaat!

Secara peribadi, saya tidaklah seronok sangat kerana pasukan negara ini tidak semestinya sekuat pasukan kelab. Pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, ada Cristiano Ronaldo dalam Portugal pun tidak ke mana. Lionel Messi juga 'senyap' bersama Argentina. Ini dua pemain terhebat dunia hari ini dan empat tahun lalu.

Fakta tepat: Ronaldo bersama skuad Real Madrid dan Messi di Barcelona dibantu oleh pemain hebat daripada pelbagai negara yang membentuk pasukan idaman dunia. Portugal dan Argentina memerlukan lebih daripada sekadar dua pemain itu untuk memenangi Piala Dunia kali ini. Nyatanya, pasukan Sepanyol dilihat berpeluang mempertahankan kejuaraannya, selain Brazil memiliki kelebihan sokongan penyokong sendiri.

Satu-satunya pasukan yang sering dilabel sebagai 'terlebih publisiti' ialah England. Memang benar ketika England diketuai David Beckham dan kemudiannya, John Terry, England gagal melangkah jauh atau menyumbat sepakan penalti. Pasukan England 2014 ini berbeza.

Diketuai Steven Gerrard, pasukan ini dibarisi ramai pemain muda dan terbentuk daripada nukleus kelab Liverpool yang menduduki tangga kedua liga 2013/2014. Terdapat tujuh pemain Liverpool dengan enam daripadanya dijangka berada dalam kesebelasan utama. Satu lagi pasukan yang orang tidak pandang di Afrika Selatan empat tahun lalu ialah Uruguay. Hari ini, orang semua kenal siapa itu Luis Suarez. Penyerang berbisa Liverpool.

Pernah tengok Piala Dunia dari jarak dekat? Piala ini dibawa ke Malaysia awal tahun ini sebagai satu daripada promosi FIFA. Direka oleh pengukir Itali, Silvio Gazzaniga pada 1971 pada harga AS$50,000. Kini trofi tersebut bernilai AS$10 juta (RM32 juta). Namun, melihatkan kepada usaha membida menjadi tuan rumah dan persediaan pasukan, nilai Piala Dunia jauh lebih tinggi daripada nilai trofi yang disalut emas 18 karat itu.

Penganalisis ekonomi meletakkan anggaran kos yang lazim digunakan pada tiga temasya Piala Dunia yang memberi impak positif kepada ekonomi iaitu AS$9 bilion (Jepun dan Korea Selatan pada 2002), AS$12 bilion (Jerman pada 2006) dan AS$5 bilion (Afrika Selatan 2010).

Bagi kejohanan di Brazil ini, penganalisis ekonomi memberi unjuran impak positif ekonomi daripada AS$3 bilion hingga AS$14 bilion.

Satu laporan memberi anggaran kejohanan tersebut akan menambah hampir AS$30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Brazil antara tahun 2010 dan 2013, menjana 3.63 juta pekerjaan setahun dan menambah AS$8 bilion daripada segi perolehan cukai. Temasya ini bakal menarik 3.7 juta pelancong ke negara itu, dengan jangkaan akan berbelanja purata AS$2,488 seorang.

Faktor feel good yang dikaitkan dengan Piala Dunia juga memberi kesan positif, dan penyelidikan ekonomi menyokong faktor ini. Sebelum Piala Dunia 2006, sebanyak 70 peratus lelaki dan 62 peratus wanita British bersetuju temasya itu akan memberi impak kepada kerjaya mereka. Sebanyak 62 peratus lelaki dan 52 peratus wanita berkata jika pasukan mereka mencatat keputusan baik, ia akan melonjakkan semangat mereka.

Daripada segi perniagaan, sektor peruncitan British menikmati peningkatan jualan bernilai AS$2 bilion kerana inilah masa orang membeli televisyen baru, piza, arak dan sebagainya untuk menonton perlawanan.

Sama seperti ekonomi bola sepak peringkat kelab, pemenang Piala Dunia tahun ini akan meraih AS$35 juta.

Syarikat-syarikat pengiklan yang digelar 'rakan kongsi komersial rasmi FIFA' juga menikmati laba besar. Semasa Piala Dunia di Afrika Selatan, Adidas menjual enam juta baju bola sepak, meningkat daripada tiga juta semasa Piala Dunia Jerman 2006. Saluran YouTube Visa 2010 World Cup ditonton 7.5 juta kali, 50 peratus ganda daripada jangkaan.

Profesor Fakulti Strategi Perniagaan Sukan di Coventry University, Simon Chadwick berkata, semua fakta di atas bagaimanapun, boleh dipersoalkan kerana lazimnya ia diumumkan oleh kerajaan atau juruperunding yang mereka lantik.

"Pengkritik menyatakan walaupun Brazil akan menikmati pulangan ekonomi lebih AS$3 bilion kesan limpahan Piala Dunia tetapi kos sebenar ditanggung negara itu ialah AS$11.5 bilion. Kos pembinaan stadium, misalnya, telah meningkat berganda kepada AS$3.68 bilion,’’ ujarnya.

Semasa kejohanan Piala Persekutuan (Federations) tahun lalu di Brazil, berlaku banyak tunjuk perasaan dan bantahan rakyat terhadap pelbagai isu daripada kenaikan tambang bas hingga kes rasuah kepada pengecualian cukai kepada FIFA. Protes seumpamanya menambah lagi kos kepada bajet. Kerajaan Brazil dipercayai berbelanja sekitar AS$855 juta untuk pasukan keselamatan.

Menurut kaji selidik Datafolha yang terkini pada 8 April lalu, hanya 48 peratus rakyat Brazil bersetuju penganjuran Piala Dunia di negara itu sebagai idea yang bagus, menurun daripada 79 peratus pada 2008.

Pada 2007, apabila Brazil diumumkan sebagai pemenang bidaan tuan rumah Piala Dunia 2014, Presiden Brazil ketika itu, Luiz Inácio Lula da Silva menyifatkannya sebagai kemuncak kejayaan negara itu muncul sebagai negara maju. Setelah berdekad-dekad bergelumang dengan krisis ekonomi, Brazil memiliki ekonomi berasaskan mata wang yang stabil. Kelas pengguna baharu berjaya diwujudkan dalam kalangan rakyatnya yang miskin. Dan dengan harga komoditi meningkat, Brazil menemui telaga minyak yang terbesar di dunia di perairan Rio de Janeiro. Pasaran saham Brazil melonjak 44 peratus pada 2007. Dua tahun kemudiannya, Rio memenangi bidaan penganjuran Sukan Olimpik 2016.

Tetapi ekonomi Brazil terencat. Selepas mencatat pertumbuhan 7.5 peratus pada 2010, ekonomi negara itu kini berada dalam tahun keempat merudum, sebahagiannya akibat penurunan harga komoditi. Kelas pengguna mencair setelah mencatat hutang kad kredit yang besar. Sektor perkilangan juga teruk disebabkan cukai tinggi manakala projek prasarana terbantut, sekali gus menjejaskan daya saingnya di benua Amerika Latin.

Apakah penganjuran Piala Dunia ini berbaloi? Tiada jawapan mudah dan bergantung kepada siapa yang anda tanyakan. Bagi FIFA, tentunya amat menguntungkan. Bagi penonton seperti kita, tahanlah mata berjaga subuh-subuh buta sehingga ke perlawanan akhir. Penyokong England sekalian, anda tidak akan menonton berseorangan.   Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan/Rencana/20140608

Subscribe

  • Pakar Pakau

    Saya sedang membaca beberapa berita sensasi di portal media apabila satu mesej WhatsApp diterima bersama satu lampiran fail disertakan. Mesej…

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments