kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perangi 'musuh dalam selimut'

"Dalam membanteras kegiatan ini, saya tidak bimbang musuh yang nyata sebab kita nampak, tetapi apa yang paling saya takuti ialah musuh dalam selimut.’’


Itulah kata-kata seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa yang diberi tanggungjawab untuk membanteras penyelewengan diesel bersubsidi yang ketika ini dikatakan berada pada tahap cukup serius.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah bagaimana terdapat kelemahan dan penyalahgunaan kuasa termasuk dalam kalangan agensi penguat kuasa sehingga memungkinkan usaha membanteras kegiatan jahat itu menghadapi kesukaran.

Akibat daripada keadaan itu jugalah, sindiket yang terlibat dalam perbuatan tersebut tidak pernah berasa takut atau gerun dengan mana-mana agensi penguat kuasa kerana mereka tahu bagaimana hendak menangani pihak itu bagi memastikan 'perniagaan' mereka tidak diganggu.

Persoalannya, sampai ke bilakah kita harus membiarkan 'musuh dalam selimut' ini terus bermaharajalela sehingga ia mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit akibat penyelewengan diesel bersubsidi?

Usahlah kita bercakap soal mekanisme atau cara untuk mengelakkan penyelewengan itu berlaku kerana ia tidak akan membawa apa-apa erti jika ada dalam kalangan agensi penguat kuasa kita sudah begitu selesa untuk menikmati kemewahan dengan menjamah rezeki daripada sumber yang haram.

Penulis bukanlah bercakap kosong atau membuat tuduhan melulu tetapi berdasarkan pengalaman bertemu dengan pelbagai pihak dalam usaha mendedahkan penyelewengan diesel bersubsidi.

Rasuah

Cakaplah di mana sahaja, laut mahupun darat, di sungai mahupun laut, di jeti persendirian mahupun pelabuhan, amalan rasuah menjadikan pelindung kepada sindiket untuk melaksanakan aktviti penyelewengan itu.

Apa akan berlaku jika ada agensi penguat kuasa sanggup menerima rasuah secara bulanan? Apa akan terjadi jika ada anggota tersebut bersedia menjadi tali barut kepada sindiket apabila serbuan hendak dilakukan? Dan sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan apabila ada agensi penguat kuasa membiarkan sahaja peraturan sekadar menjadi hiasan dalam buku undang-undang.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ‘keajaiban’ berlaku apabila serbuan di syarikat yang lesen perniagaan sudah tamat tempoh sejak setahun lalu, secara tiba-tiba boleh dihidupkan dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas serbuan dilakukan.

Akhirnya, serbuan yang bertujuan membanteras penyelewengan diesel bersubsidi hanya menjadi sia-sia, malah penulis diberitahu ada kejadian di mana bukti berupa bahan bakar itu akan 'berubah wajah' menjadi air disebabkan ada anggota agensi penguat kuasa bersedia 'membantu' sindiket.

Kesemua faktor inilah yang memungkinkan penyelewengan diesel bersubsidi tidak mampu dihapuskan kerana sindiket sudah memastikan anggota agensi terlibat menjadi 'balaci’ kepada mereka.

Oleh itu sudah tiba masanya, pembanterasan kegiatan haram itu bukan sekadar melalui operasi-operasi yang hanya menyasarkan sindiket kecil sahaja tetapi lebih utama sindiket besar.

Tetapi masalahnya seperti mana dimaklumkan oleh satu sumber kepada penulis ialah amalan rasuah dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa menjadi halangan utama.

"Mereka inilah yang menjadi 'musuh dalam selimut’ dan selagi kelompok ini tidak dihapuskan habis-habisan, percayalah usaha kita akan menjadi sia-sia," kata sumber tersebut.

Namun begitu, kerajaan sama sekali tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu memikirkan untuk mewujudkan sebuah pasukan khas yang diketuai satu agensi tertinggi yang boleh memberi arahan ke atas agensi lain. Penubuhan petugas khas ini adalah penting bagi menangani jenayah terancang berkaitan dengan penyelewengan diesel bersubsidi. Dalam memperkatakan soal ini kewujudan pasukan petugas yang dikoordinasi oleh Jabatan Peguam Negara adalah model yang terbaik.

Apa yang perlu difahami, ketirisan dan penyelewengan bahan bakar itu bukannya melibatkan wang berjumlah ribuan ringgit tetapi sudah mencecah berbilion ringgit sejak lima tahun lalu, oleh itu apakah wajar kita mahu terus bergantung kepada beberapa agensi penguat kuasa di peringkat kementerian atau jabatan, yang kita tahu dalam kalangan mereka sendiri pun ramai yang disahkan menjadi 'musuh dalam selimut'. Siapakah mereka? Jawapannya ada kepada agensi terlibat. Zulkifli Bakar Utusan/Rencana/20140608

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments