Ada yang menyebut ia tidak wajar, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, boleh menjejas kan imej Tuanku kerana isu tanah dan perumahan adalah isu yang boleh melibatkan kontroversi malah meminta ia dikaji semula dan ditangguhkan pembentangannya.
Khalayak masih tertanya-tanya apakah ia permintaan Sultan Johor atau cadangan daripada pihak eksekutif atas maksud-maksud tertentu? Bagi khalayak apa pun pertimbangan yang diberi sultan tidak elok dilibatkan dalam hal-hal polisi dan pentadbiran negeri kerana Johor mempunyai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Kedudukan sultan dan raja di Malaysia secara Perlembagaan tidak bersifat eksekutif melainkan hal-hal berkaitan dengan Islam di negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja dan sultan.
Krisis Perlembagaan pada 1983 dan 1993 yang berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan mengemukakan pindaan ke atas beberapa peruntukan yang menyentuh kuasa dan kedudukan raja-raja masih segar dalam ingatan rakyat.
Sudah tentu pindaan itu terjadi disebabkan perlunya garis pemisah eksekutif dan raja supaya pentadbiran berlaku dengan baik dan lancar. Kelemahan dan kesilapan pihak eksekutif dan kerajaan boleh ditegur malah kerajaan juga boleh diganti tetapi tidak pada raja dan sultan kerana statusnya mengatasi politik dan kerajaan dan lambang perpaduan negeri serta negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan enakmen ini mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.
Walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan ada pindaan dibuat hasil pandangan pelbagai pihak tetapi maksud asal melibatkan Sultan Johor dalam urusan eksekutif masih menjadi persoalan.
Isu pokok dalam kontroversi ini adalah atas keperluan apa baginda sultan dilibatkan dalam hal-hal tanah dan perumahan sedangkan itu adalah bidang kuasa dan kebijaksanaan kerajaan negeri menguruskannya.
Memang isu perumahan dan harta tanah sesuatu yang amat penting bagi sesebuah negeri. Ia berkaitan dengan taburan penduduk dan kuasa beli yang juga menentukan kuasa politik jangka panjang.
Isu tanah dan perumahan sering menimbulkan kontroversi dan jika sultan dilibatkan dalam hal-hal kontroversi imej sultan akan terjejas. Sekiranya berbangkit dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri atau di media kesannya adalah tidak baik dengan status kesultanan itu sendiri.
Imej Raja Berperlembagaan harus dipertahankan kerana isu tanah dan perumahan adalah isu pentadbiran dan politik. Memang benar kemajuan pembangunan di Johor terdedah kepada pihak asing dalam menguasai tanah, rumah dan peluang-peluang perniagaan.
Ia menuntut kebijaksanaan Menteri Besar dan Exconya mengurus dengan bijaksana dan strategik supaya orang Melayu tidak keciciran dalam pembangunan negeri Johor. Ia tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan dalam ekonomi tetapi mengambil kira keupayaan kuasa beli dan kepentingan orang Melayu itu sendiri secara jangka panjang.
Perimbangan kuasa politik orang Melayu di Johor sedang mengalami perubahan. Taburan demografik dan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang boleh menyebabkan orang Melayu terpinggir dalam kemelut kuasa politik.
Ia menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memperbetulkannya. Melibatkan sultan secara langsung dan tidak langsung tidak memberi jaminan ia boleh diperbaiki malah boleh menimbulkan kontroversi.
Sehingga kini pihak menteri besar tidak membuat penjelasan yang menyakinkan mengapa sultan harus dilibat sama dalam hal-hal eksekutif. Ia boleh menyebabkan keraguan banyak pihak terutama yang ingin melihat imej sultan dipelihara dan dijaga.
Tentu ada sebab yang belum dapat dijelaskan mengapa tiba-tiba isu ini berbangkit. Kalau menteri besar menyatakan kuasa membuat keputusan masih lagi di tangan beliau apa perlunya sultan dilibatkan. Dasar-dasar negeri terdedah kepada kritikan dan kecaman. Apakah rakyat Johor sanggup melihat sultannya dikritik dan dikecam seperti berlaku kepada orang politik? JeNDeLA Tok Ki Utusan/Rencana/20140610/