kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Realiti kroni dan hubungan baik

KITA sering mendengar ayat sebegini - "Hendak mudah dapat projek, kena ada kabel besar, kalau tidak, jangan haraplah".

Istilah kabel besar selalu digunakan bagi merujuk hubungan seseorang dengan orang yang mempunyai kuasa. Sampaikan sudah menjadi kebiasaan, hanya dengan mempunyai hubungan istimewa ini, seseorang yang tidak layak pun boleh diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Sesiapa yang rapat dengan mereka yang sedang berkuasa, dikatakan bahawa perjalanan karier mereka juga lebih mudah untuk berada pada tahap yang lebih tinggi lagi.

Dalam sudut perniagaan, apabila disebut sahaja kroni, ia menjurus kepada hubungan persahabatan yang cukup akrab dengan seseorang yang mempunyai kuasa sampaikan banyak urusan perniagaan hanya diserahkan kepada mereka sahaja. Tidak kiralah sama ada, ada orang lain lebih layak, janji, hanya kroni sahaja yang dapat projek.

Sering kali juga kelihatan apabila berlakunya penukaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), CEO baharu ini akan mengambil orangnya atau dengan kata lain, mengangkat kroninya! Kenapakah orangnya dibawa masuk? Jawapannya, CEO ini mudah bekerja dengan orangnya dan mempercayai mereka ini berbanding orang yang tidak dikenali nya.

Adakah perkara ini tidak berlaku dalam kalangan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat? Adakah pemilihan ahli-ahli lembaga pengarah tiada langsung unsur kronisme atau hubungan rangkaian dengan orang lain? Adakah ahli-ahli lembaga pengarah tidak mengenali antara satu sama lain? Mustahil bukan?

Sebab itulah, wujudnya kapitalisme kroni, apabila perkataan kroni digabungkan dengan perkataan kapitalisme meliputi hubungan istimewa di antara orang-orang sedang berkuasa yang selalunya merujuk kepada ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan. Ahli-ahli akademik sudah lama mengkaji tentang perkara ini. Ada di antara mereka telah menerbitkan artikel-artikel berkenaan di jurnal-jurnal terkemuka di dunia, siap dengan senarai siapa kroni siapa.

Tetapi perlu diingat, adakah kita ingin mengatakan bahawa di Amerika Syarikat dan di United Kingdom yang kononnya dikatakan sebagai negara pasaran bebas yang mengamalkan prinsip keadilan tidak berlaku kronisme dalam perniagaan? Adakah elemen negatif ini tidak berlaku di negara-negara jiran kita? Kroni ini berlaku di mana-mana sahaja. Sama ada dalam organisasi mahu pun negara.

Cuma di Malaysia ini, isu kroni ini timbul secara berleluasa selepas krisis kewangan yang melanda negara dalam 1997-98.

Barat menyalahkan Malaysia mengamalkan kronisme dalam perniagaan, walhal mereka sendiri mengamalkannya. Apabila berlakunya krisis kewangan, seperti biasa pemerintah akan dipersalahkan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini pembacaan secara meluas mengenai isu ini perlu dilakukan bermula daripada era selepas merdeka lagi terutamanya selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Adakah isu ini hanya membabitkan sesuatu kaum semata-mata? Kalau dirujuk kepada artikel-artikel berkenaan, jelas bahawa kroni ini meliputi semua kaum. DEB sememangnya dilaksanakan untuk memajukan semua kaum. Cuma tatkala itu, hanya segelintir ahli perniagaan yang menerima nikmat DEB. Maklumlah negara kita baharu sahaja beralih kepada sektor industri secara besar-besaran. Ada di antara mereka ini sudah menjadi kaya raya dan harta mereka tidak terhitung nilainya.

Tidak kurang juga ada yang tidak berjaya dalam perniagaan. Terdapat juga pihak yang mengalibabakan perniagaan kepada orang lain semasa DEB. Perkara ini berlanjutan sehingga kini. Cuma bezanya, kali ini banyak perniagaan dialibabakan kepada pendatang asing. Jangan terkejut kalau suatu hari nanti, pendatang asing menguasai ekonomi Malaysia dan tersenarai dalam golongan yang terkaya di Malaysia.

Senario politik negara yang berubah bermula 2008 menyebabkan isu kronisme semakin panas diperdebatkan. Rakyat semakin kritis dalam perkara sebegini. Ini terjadi kerana masyarakat terpaksa mengharungi kehidupan kos sara hidup yang semakin tinggi, manakala mereka yang dikatakan mempunyai "kabel besar" ini pula cukup mewah dalam kehidupan.

Kalau dilanjutkan isu ini, terdapat kajian akademik yang membuktikan bahawa untuk pengambilan para pekerja dalam sektor swasta pun terdapat unsur pilih kasih yang melibatkan satu kaum sahaja. Walhal negara kita adalah negara majmuk, kenapa perlu ada sikap sebegini yang jelas menggambarkan ketidakadilan.

Golongan sebegini jugalah yang sentiasa memomokkan dalam laman-laman sosial mahupun Internet bahawa berlakunya ketidakadilan kepada mereka. Sebenarnya perkara ini sudah lama diketahui, cuma ia hanya berlegar dalam bentuk pemerhatian masyarakat dan bukannya dalam bentuk kajian akademik. Jadi, apabila kajian akademik membuktikan ketidakadilan dalam pengambilan para pekerja di sektor swasta, usahlah melaung-melaungkan slogan, kononnya mereka mengamalkan kesaksamaan dan kesamarataan!

Sebelum menyalahkan orang lain, baik melihat batang hidung sendiri! Adilkah mereka ini kepada kaum lain? Itu belum disentuh mengenai prospek kenaikan pangkat kaum tertentu dalam sektor swasta yang sering menjadi rungutan kerana sikap berat sebelah majikan di sektor swasta. Tidakkah ini menggambarkan diskriminasi secara terang-terangan?

Jadi, perbetulkan dasar diskriminasi yang tidak bertulis ini dalam sektor swasta agar lebih adil dan saksama untuk semua kaum. Begitu juga berilah peluang kepada mereka yang benar-benar layak dan bukannya kepada kroni-kroni yang hanya pandai berdamping ke sana ke sini dengan mereka yang mempunyai kuasa kerana inginkan nama mereka dijulang bagi mengaut untung atas angin tetapi sebenarnya tidak mampu melakukan kerja dengan baik.

Pemilihan mereka ini bukan setakat merosakkan sesebuah organisasi tetapi juga boleh meruntuhkan sesebuah negara. Letakkan prinsip keadilan di tempat yang betul melebihi segala-galanya. Hanya mereka yang benar-benar layak sahajalah berkeupayaan untuk mengerjakan sesuatu amanah dengan baik.

* Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140611

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments