kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hormati keluhuran Raja Berperlembagaan

Saya pernah bangkitkan perbincangan berkaitan pemahaman dan penerimaan kita terhadap sistem Raja Berperlembagaan. Rumusannya ialah kita tidak mempunyai definisi khusus terhadap istilah ‘Raja Berperlembagaan.’

Kita hendaklah membentuk tradisi dan amalan Raja Berperlembagaan kita sendiri.

Kita juga sebenarnya sudah cuba membentuk acuan dan pendekatan khusus dan diterima dalam bentuk undang-undang bertulis, terutama Perlembagaan Malaysia, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri. Dalam kita menekuni peredaran semasa, sama ada dari segi politik dan gelombang demokrasi dan hak asasi, kita dapati peruntukan Perlembagaan mengenai Raja Berperlembagaan, terutama kuasa budi bicara, sentiasa menjadi tumpuan dan perbahasan. Keadaan ini menjadikan ia amat penting untuk difahami dan mendapat penjelasan supaya institusi raja tidak diheret dalam kontroversi.


Fahami hak kuasa eksekutif raja

Raja Berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri mempunyai pendekatan khusus. Seumpama negara lain, Perlembagaan Malaysia meletak hak kuasa eksekutif ke atas institusi raja. Pada peringkat Persekutuan, ia diletak hak kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala pada peringkat negeri, kepada sultan atau raja bagi negeri.

Pada peringkat Persekutuan, fungsi eksekutif ini boleh dilaksana oleh Yang di-Pertuan Agong, jemaah menteri atau mana-mana menteri atau mana-mana orang yang diberikan fungsi eksekutif oleh Parlimen, manakala peringkat negeri, fungsi eksekutif ini boleh dilaksana oleh raja atau EXCO, atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh undang-undang.

Sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri, antara kuasa eksekutif raja ialah membuat lantikan kepada apa-apa jawatan yang diperlukan dalam undang-undang. Fungsi eksekutif raja terbahagi kepada dua, iaitu perkara yang dilaksana dengan nasihat dan kuasa yang boleh dilaksana tanpa nasihat.

Dalam prinsip umum, semua fungsi raja hendaklah dilaksana dengan nasihat. Ini dipanggil kuasa bukan budi bicara, manakala dalam beberapa perkara tertentu, raja boleh bertindak sendiri tanpa nasihat pihak kerajaan. Ini dinamakan kuasa budi bicara.

Fungsi budi bicara raja disenaraikan dengan jelas dalam Perlembagaan dan bilangannya agak sedikit. Dalam Perlembagaan Persekutuan, tiga sahaja perkara yang disenaraikan secara khusus. (Walaupun ada perbahasan akademik dalam perkara berkaitan proklamasi darurat, sama ada ia di bawah budi bicara atau bertindak atas nasihat). Antara kuasa budi bicara raja ialah melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar. Dalam Perlembagaan Persekutuan, kita lihat perkara 40(2).

Perlembagaan negeri juga begitu. Fungsi budi bicara raja disenaraikan dengan jelas. Negeri menyenaraikan tujuh fungsi yang boleh dilaksana dengan budi bicara, iaitu tanpa menepati nasihat EXCO. Antara lain, fungsi raja yang boleh melantik menteri besar, tidak memperkenan permintaan pembubaran DUN, permintaan diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja, fungsi sebagai Ketua Agama Islam, lantikan Raja Muda/Putera Mahkota dan Majlis Perajaan Negeri, lantikan atau penganugerahan darjah kehormat dan berkenaan peraturan Istana.


Bertindak atas nasihat

Mana-mana fungsi yang tidak disenaraikan sebagai budi bicara hendaklah dilaksanakan dengan nasihat kerana ia adalah fungsi bukan budi bicara. Prinsip umum terpakai. Maka, dalam melaksanakan kuasanya yang bukan budi bicara, raja hendaklah bertindak atas nasihat pimpinan kerajaan, iaitu jemaah menteri pada peringkat Persekutuan atau barisan EXCO di peringkat negeri.

Sekiranya sesuatu undang-undang itu menjadikan kuasa bukan budi bicara sebagai kuasa budi bicara, walaupun undang-undang itu berjaya diluluskan oleh DUN, kemungkinan undang-undang itu boleh dikatakan tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan.

Dari aspek perundangan, sekiranya sesuatu undang-undang itu memberi kuasa kepada raja, maka hendaklah dipastikan terlebih dulu sama ada ia termasuk dalam skop budi bicara raja atau tidak. Sekiranya ia bukan fungsi budi bicara raja, maka undang-undang itu hendaklah menyatakan mengenai perlunya raja bertindak menurut nasihat.

Dalam pelaksanaan undang-undang itu nanti, rakyat, kerajaan dan istana hendaklah sentiasa menepati dan menghormati prinsip Perlembagaan. Perlembagaan adalah perjanjian yang perlu ditaati. Keluhuran Perlembagaan hendaklah sentiasa dihormati kerana ia adalah resepi kesejahteraan dan faktor kepada kelangsungan demokrasi berparlimen dan juga Raja Berperlembagaan. Berita Harian Agama  2014/06/11 - 08:32:38 AM Shamrahayu A Aziz
Tags: perlembagaan, raja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments