kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cari ilmu untuk kekayaan negara

SEKARANG adalah musim anak-anak muda dan ibu bapa berdebar-debar menunggu jawapan, universiti manakah yang akan menjadi tempat untuk mengikuti pengajian nanti.


Hari ini, yang diharapkan bukan lagi keupayaan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, tetapi pada masa sama adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang berkualiti tinggi untuk keperluan masa hadapan.

Yang diharapkan ialah anak-anak akan melangkah kaki masuk ke universiti, mengikuti pengajian mengikut selera, keinginan, cita-cita atau aspirasi tertentu - yang akan keluar nanti dengan segulung ijazah dan akhirnya mendapat kerja dan memberi kesenangan material kepada anak-anak muda ini.

Sesetengahnya akan masuk dengan sejuta harapan bahawa universiti akan memberi sepenuhnya apa yang mereka perlukan dan jika tidak memperolehinya universiti dianggap gagal, apatah lagi jika terpaksa menganggur dan sukar mencari pekerjaan.

Pendidikan universiti dianggap berjaya apabila semua mereka yang masuk ke universiti berjaya melangkah keluar dengan segulung ijazah dan mendapat kerja yang diinginkan di mana sahaja, di dalam negara mahu pun di luar negara.

Dalam budaya kita, bekerja sendiri belum diterima sepenuhnya sebagai telah bekerja. Hanya dengan makan gaji sahajalah baharu seseorang itu dianggap beroleh kejayaan, lagi tinggi meniti pengiktirafan dan pendapatan, maka makin berjayalah seseorang itu.

Jarang yang risau jika siswazah yang dikeluarkan itu tidak berupaya berfikir dalam mengubah masyarakatnya, menjaga alamnya atau tidak memiliki integriti tinggi. Yang dirisaukan, bila agaknya seseorang siswazah akan mendapat kerja dan berapa pendapatan yang bakal diperolehinya.

Kerana itu jugalah maka, tumpuan besar diberikan kepada usaha ini. Walaupun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, usaha keras dibuat untuk membangunkan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, namun kejayaan yang dicapai belumlah sampai ke tahap yang boleh dibanggakan di mana mereka yang keluar dari universiti akan lebih berbangga jika berupaya bekerja sendiri.

Walaupun hakikatnya, seseorang siswazah seharusnya dididik untuk berfikir, menggunakan ilmunya dengan baik, mampu berdikari dan menjadi seorang yang mencipta pekerjaan daripada mengharapkan kepada orang lain, namun hal ini belum dapat dilihat hasilnya secara menyeluruh.

Pendidikan universiti dianggap sebagai satu jambatan untuk terus bekerja makan gaji daripada menjadikan universiti untuk mencari dan mencuri peluang bagi membina jaringan untuk masa hadapan dalam membangunkan peluang-peluang baharu.

Ini juga sebahagian dari sebab mengapa misalnya satu ketika dahulu, begitu sukar untuk mendapat mereka yang menyokong usaha penyelidikan negara. Sebahagian besar siswazah yang keluar universiti lebih tertarik untuk terus bekerja daripada menyambung di peringkat lebih tinggi sebagai sokongan kuat kepada usaha penyelidikan.

Hanya apabila beberapa tahun kebelakangan ini, apabila kerajaan melalui kementerian-kementerian seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan beberapa kementerian lain menyediakan insentif termasuk insentif cukai pendapatan, maka bilangan itu nampak berubah dengan ketara.

Semua usaha ini harus dilihat dengan serius jika kita ingin merakyatkan ilmu dan membudayakan penyelidikan bagi mencapai status sebuah negara maju pada masa hadapan.

Keusahawanan misalnya menyediakan pelbagai peluang dan ruang yang cukup luas untuk diterokai bukan sahaja di dalam negara malah juga di pentas dunia.

Kebergantungan kepada majikan untuk memberikan pekerjaan dalam ekonomi yang terhad tentu sahaja akan memberi kesan kepada pendidikan di universiti. Walaupun hakikatnya universiti berusaha keras untuk memahami dan kerap kali juga memenuhi kehendak industri, yang tidak sering juga mengharapkan sumber manusia terlatih untuk bekerja, namun terdapat banyak faktor lain yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Secara idealnya, universiti diharapkan dapat mengeluarkan siswazah yang mempunyai peribadi, perwatakan dan keupayaan diri yang holistik - bijak berkomunikasi, mampu berfikir, berilmu pengetahuan yang luas, sedia mengubah diri dengan keperluan pasaran dan pelbagai lagi.

Kriteria ini juga akan terus bertambah - penguasaan pelbagai bahasa, boleh bertoleransi budaya yang kuat, mempunyai nilai antrabangsa dan pelbagai lagi yang boleh dianggap "prominence" dan hebat dalam pasaran terbuka.

Hakikatnya, jika mereka memiliki kesemua nilai holistik sedemikian, sewajarnya mereka menerokai kemampuan diri untuk berdikari dan mencipta pekerjaan baharu dengan ilmu pengetahuan dan jaringan yang ada - tentu sahaja dengan dorongan, bantuan dan segala yang perlu untuk mereka memasuki dunia sebenar.

Pada masa sama, mereka yang berpeluang mengikuti pengajian di peringkat lebih tinggi, dengan keupayaan berfikir, membuat pertimbangan, kelulusan dan kemampuan untuk menerokai penyelidikan dan inovasi yang lebih luas, berupaya pula untuk menghasilkan produk baharu dan ilmu-ilmu baharu yang segar sesuai dengan keperluan industri dan dunia seluruhnya.

Kedua-duanya perlu berjalan seiring dan lebih berdaya maju dalam merakyatkan ilmu dan penyelidikan secara menyeluruh. Usaha-usaha yang lebih realistik dengan keanjalan pemikiran dan mental perlu dilihat secara bersama. Hal ini perlu difahami tatkala anak-anak mula melangkah masuk ke universiti nanti.

Adakah misalnya mereka akan meneruskan apa yang sedia ada - belajar dan mendapat segulung ijazah serta kemudiannya bekerja atau pilihan-pilihan lain yang terbuka luas untuk diterokai seawal mungkin.

Misalnya mereka menguasai segala ilmu fundamental dalam pengajian di universiti, sama ada sains dan teknologi mahu pun kesusasteraan, budaya, sains sosial dan sebagainya dengan sebaik mungkin, meneruskan ke peringkat lebih tinggi dan menjadi peneroka ilmu yang akan meneruskan usaha penyelidikan dan inovasi.

Atau pun menjadi pencipta peluang-peluang baharu - dalam bidang ilmu apa sahaja dengan melihatnya sebagai kaedah menghasilkan kekayaan dan akhirnya membangunkan ekonomi diri tanpa bergantung kepada orang lain secara kreatif dan inovatif dengan bersikap bijaksana dan jiwa usahawan yang akan mencorakkan masa hadapan yang bermakna.

Atau kita masih jauh daripada impian itu?

MOHAMAD ABDULLAH ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia Utusan Rencana 20140612

Tags: ilmu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments