BILANGAN MENTERI MCA
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 6 Jun 2014 menyiarkan ura-ura bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merombak barisan Kabinet dalam waktu terdekat ini.
Artikel bertajuk Bilangan wakil MCA dalam Kabinet mendapat perhatian yang merupakan rencana pengarang akhbar berkenaan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.
Terdapat ramalan bahawa sekarang adalah masa paling sesuai untuk Perdana Menteri membuat rombakan Kabinet.
Sememangnya rombakan Kabinet tidak boleh ditangguhkan begitu lama, kerana ada perkara lebih penting lain selepas ini yang perlu diberi tumpuan iaitu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Jika benar rombakan akan dibuat, yang paling mendapat perhatian adalah bilangan ahli Kabinet kaum Cina daripada MCA dan Gerakan.
Berikutan kejayaan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong membantu Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP, sudah pasti yang paling layak mendapat jawatan menteri ialah Gerakan.
Ini adalah janji-janji Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan dan sepatutnya tidak berlaku sebarang perubahan dan perkara di luar jangkaan kita. Gerakan juga mungkin mendapat satu jawatan timbalan menteri.
Bagaimanapun, yang paling mendapat perhatian ramai ialah bilangan ahli Parlimen MCA yang akan menyertai Kabinet.
Pada PRU-13, MCA bertanding di 40 kerusi Parlimen dan hanya menang tujuh kerusi berikutan tindakan kebanyakan orang Cina untuk berpihak kepada pembangkang. Hakikat ini menyebabkan MCA tidak mempunyai kekuatan politik untuk merebut jawatan menteri.
Jika Perdana Menteri menggunakan markah merit dalam pembahagian jawatan menteri, sudah pasti susah bagi MCA untuk mendapat lebih banyak jawatan menteri dan timbalan menteri.
Pada zaman kegemilangan MCA dahulu, parti itu pernah mendapat empat jawatan menteri dan tujuh jawatan timbalan menteri.
Sebelum ini, pemimpin MCA ada menyuarakan hasrat untuk mendapat sekurang-kurangnya tiga jawatan menteri dan lima jawatan timbalan menteri.
Hasrat berkenaan dijangka sukar untuk dipenuhi oleh Najib. Besar kemungkinan MCA hanya akan mendapat dua jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri. Ada juga yang beranggapan, paling banyak MCA akan dapat ialah dua jawatan menteri dan dua timbalan menteri.
Ramalan itu adalah lebih baik berbanding hanya mendapat satu jawatan menteri. Sebelum ini, ada pemimpin atasan MCA yang menyatakan, jika parti itu hanya mendapat satu jawatan menteri, lebih baik MCA tiada wakil dalam Kabinet.
Garis panduan paling minimum yang diguna oleh MCA adalah parti itu tidak boleh mempunyai bilangan menteri yang kurang daripada menteri yang mewakili MIC. Buat masa ini, parti mewakili kaum India itu mempunyai dua jawatan menteri.
Dari segi rombakan Kabinet, pertimbangan Perdana Menteri sudah pasti mempunyai kaitan dengan bilangan ahli Parlimen yang dipunyai setiap parti dan beberapa fakta politik lain. Beliau tidak mungkin akan menyerahkan jawatan menteri yang dipegang ahli Parlimen UMNO kepada MCA.
Oleh itu, jika mahu menambah bilangan jawatan menteri untuk memenuhi permintaan MCA dan Gerakan, salah satu caranya adalah dengan menambah bilangan kementerian.
Cara lain adalah dengan mengambil jawatan menteri yang dipegang ahli Parlimen daripada parti selain UMNO untuk diserahkan kepada MCA dan Gerakan.
Bagaimanapun, semua kuasa rombakan Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri. Sama ada bilangan ahli Kabinet diperbesarkan ataupun dikecilkan saiznya, sama-samalah kita menunggu keputusan beliau.
PERTIKAI TINDAKAN JAIS
AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 9 Jun 2014 menyiarkan artikel mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Zarena Abdul Majid ketika majlis perkahwinannya sedang berlangsung di sebuah kuil di Petaling Jaya pada 1 Jun lalu.
Status agama Zarena dalam sijil kelahiran dan MyKad didaftarkan sebagai seorang Islam setelah bapanya memeluk agama itu ketika dia masih kecil, namun dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Dia pernah cuba menukar status agama di kad pengenalannya sejak tujuh tahun lepas namun gagal.
Artikel bertajuk Tiada cara penyelesaian yang lebih baikkah? yang ditulis oleh Lim Yan Ching disiarkan di halaman 30.
Berkaitan kes Zarena yang ditahan ketika upacara perkahwinannya sedang berlangsung dan dibawa ke pejabat JAIS, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, perkara itu berlaku kerana jabatan berkenaan tidak mengikut peraturan dan ajaran al-Quran sebenar.
Katanya, kakitangan dan pegawai JAIS hanya mengikut pandangan mereka sendiri dalam melaksanakan tugas.
Beliau juga beranggapan, jika pihak JAIS mahu melakukan siasatan, jabatan itu tidak sepatutnya menghalang majlis perkahwinan.
Pendapat Dr. Mahathir wajar diberi perhatian serius memandangkan beliau pernah memegang jawatan Perdana Menteri di Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum selama 22 tahun.
Kata-kata beliau begitu ringkas tetapi dapat menjelaskan tentang ajaran sebenar Islam yang mahukan umatnya menghormati kaum dan agama lain di negara ini.
Pandangan Dr. Mahathir ini menunjukkan beliau adalah seorang yang bersikap terbuka dan berlapang dada. Sikap beliau sepatutnya dijadikan contoh oleh pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan.
Yang paling mengecewakan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri langsung tidak mengambil tindakan terhadap kakitangan JAIS yang berani merosakkan perpaduan antara agama.
Ini menyebabkan orang ramai beranggapan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengambil sikap lepas tangan, tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung menyokong tindakan JAIS itu.
Sebenarnya dalam isu ini, JAIS sepatutnya menggunakan budi bicara yang berasaskan pertimbangan terutama sekali apabila pihak pengantin perempuan dilihat sanggup bekerjasama.
Lebih-lebih lagi apabila pengantin perempuan dan adik-beradiknya tidak tahu apa-apa. Selepas mereka ditinggalkan oleh ayah sejak kecil, mereka dibela oleh ibu kandung yang beragama Hindu.
Walaupun mempunyai nama Islam, mereka sejak kecil menyembah berhala dan tidak pernah mengamalkan ajaran agama itu.
Satu realiti yang tidak boleh dinafikan adalah nasib yang menimpa Zarena bukanlah kes terpencil. Dalam beberapa tahun ini, ramai anak bukan Islam yang telah ditukar agama secara senyap-senyap oleh bapa yang berpisah dengan isteri dan memeluk agama Islam.
Anak-anak tidak tahu apa-apa dan dibesarkan oleh ibu kandung atau penjaga yang bukan beragama Islam. Apabila dewasa, mereka sudah pasti akan menghadapi masalah menukarkan status agama secara rasmi kepada bukan Islam berikutan undang-undang yang ketat.
Isu ini sepatutnya diberi perhatian serius kerana ia berpotensi untuk mewujudkan perpecahan dan pergeseran antara agama jika tidak ditangani dengan baik. Utusan/Rencana/20140612