kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu perumahan perlu komitmen semua pihak

SEMUA pihak tidak kira peringkat pemimpin mahupun rakyat perlu sedar bahawa isu perumahan perlu dilihat dari pelbagai sudut sebelum kita melihat ia dari sudut politik atau komersial semata-mata.

Tanpa merujuk kepada mana-mana isu sebagai rujukan, isu perumahan adalah masalah nombor satu rakyat di negeri-negeri tertentu khususnya negeri yang berkembang maju seperti Selangor.

Ia menjadi isu nasional kerana kebanyakan yang bekerja di Selangor dan Lembah Klang seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah warga negeri dari seluruh negara malahan dari seluruh dunia.

Di Johor isu perumahan memasuki dimensi baru apabila Rang Undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Johor tidak memberi kuasa mutlak kepada Sultan Johor, sebaliknya peranan baginda tertakluk atas nasihat Menteri Besar.

Kita harus melihat komitmen setiap penguasa negeri untuk memberi kemudahan kediaman kepada semua rakyat atas dasar kepentingan untuk menjadikan ia institusi yang menjana kemajuan negara dari sudut ekonomi dan soial itu sendiri.

Di Selangor rakyat negeri tersebut dan rakyat yang datang dari negeri lain berlumba-lumba memiliki rumah sendiri hingga menyebabkan kenaikan harga rumah ibarat batu berlian yang mahal harganya. Pangsapuri tiga bilik boleh melambung hingga RM150,000 lebih mengalahkan rumah atas tanah dua tingkat dengan keluasan 70 kali 20 kaki persegi.

Sebagai bekas peguam yang menjadi saksi kepada perjanjian pembelian rumah beratus buah rumah pembeli atau peminjam turut menghadapi masalah membayar yuran guaman sehingga ada yang gagal menyelesaikan urusan pembelian rumah memakan masa berbulan-bulan. Adakala sebagai peguam, penulis melihat sendiri kepayahan pembeli rumah untuk membeli rumah walaupun mempunyai kedudukan kewangan mereka agak stabil.

Pernah terjadi kes di mana, apabila bakal pembeli mahu membeli rumah namun malangnya pinjamannya ditolak kerana harga rumah yang hendak dibeli dengan nilai harga semasa jauh berbeza. Kadangkala berlaku suasana pelik apabila harga rumah baru tinggi tetapi rumah lama yang sudah bergeran tidak senilai dengan harga rumah semasa. Apakah permainan sebenar penjual rumah yang merupakan pemaju perumahan?

Sebaiknya semua pihak perli sedar bahawa rumah adalah syurga pemiliknya dan di situlah pemiliknya membina keluarga dan mendidik anaknya .

Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) misalnya adalah komitmen kerajaan untuk membina syurga untuk rakyat di negara ini. Di Selangor dengan nilai premium tanah yang tinggi rumah PR1MA terpaksa melabuh sauh di negeri lain. Kalau premium tanah tinggi bagaimana pula harga jualan boleh dijual pada kadar RM150,000?

Di Pahang kecekapan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob perlu dipuji. Inilah yang boleh dikatakan tentang projek pembinaan rumah mampu milik PR1MA Pahang, yang terkandung di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berjanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun di antara 2014 dan 2018.

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas PRU-13, sebanyak 13,257 unit atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit telah pun bermula serta dalam pelbagai peringkat pembinaan. Kesemua 13,257 unit ini meliputi seluruh daerah di negeri ini, merangkumi 29 kawasan dengan keluasan tanah kerajaan kira-kira 669 hektar.

Di bawah PR1MA Pahang ini, spesifikasi unit rumah ditetapkan, yang utama, harga jualannya cuma RM150,000 untuk rumah berkembar setingkat berkeluasan lantai minimum 93 meter persegi (1,000 kaki persegi) berbanding harga di pasaran antara RM270,000 dan RM300,000.

Sebaiknya komitmen semua pihak dari pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri-negeri dan pemaju-pemaju perumahan perlu melihat masalah perumahan sebagai masalah nasional jika ia gagal ditangani dengan sempurna.

Ini disebabkan dengan masalah rakyat yang masih menyewa dan bersaing dengan warga asing untuk mempunyai kediaman sendiri mahupun menyewa maka masalah perumahan perlu dilihat dari luar kotak bukan melibatkan masalah tempat tinggal itu sendiri. Masalah gelandangan di kota raya bukan melibatkan bangsa asing tetapi rakyat negara ini yang tersepit antara kemampuan kewangan dan kos hidup yang tinggi.

Maka semua pihak perlu berhenti menjadikan isu rumah sebagai isu titik bengik sesebuah negeri dan kelompok sahaja, kerana tanpa rumah sendiri yang selesa maka segala bentuk masalah sosial akan terbit dari rumah itu. Masalah sumbang mahram, buang bayi, dadah, remaja lari dari rumah semuanya berpunca dari rumah.

Namun adakah kita mahu terus tuding-menuding bahawa ia tidak boleh diselesaikan kerana tiada tanah, kos meningkat, perbezaan politik dan lain-lain alasan memperbanyakkan rumah, jika Pahang boleh mengapa negeri lain tidak boleh?

Apa yang penting komitmen semua pihak dalam soal ini dan yang penting jangan menangguk di air keruh, kerana isu rumah bukan untuk dijadikan modal politik.   ABDUL RAZAK IDRIS Utusan/Rencana/20140612
Tags: rumah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments